Teknik Surah Yusuf Yang Pro Tauhid

TEKNIK SURAH YUSUF YANG PRO TAUHID

In Allah We Trust
In Allah We Trust

Setiap cerita, setiap kisah yang disampaikan mempunyai tujuan dan matlamatnya yang tersendiri. Ada kisah diceritakan dari generasi ke generasi demi mengekalkan tradisi dan budaya. Ada pula yang memberi peringatan kepada generasi seterusnya. Contohnya, penceritaan lisan bangsa Melayu, dari satu generasi ke satu generasi, bertujuan mendidik generasi seterusnya terhadap budaya dan adat bangsa.

Cerita di dalam Al-Quran turut mempunyai matlamat tersendiri. Selain menceritakan kisah kaum terdahulu, semua cerita di dalam al-Quran berkongsi ciri yang serupa, iaitu tauhid. Ini kerana, setiap nabi yang diutus, membawa misi tauhid yang jelas, konsep penyembahan kepada Yang Esa. Cerita yang pro tauhid ini, menyuntik minda manusia agar bersinergi dengan fitrah sanubari bahawa adanya Pencipta alam ini. Semua cerita menjawab 3 persoalan utama manusia terhadap kehidupan dunia, iaitu dari mana kita datang, apa tujuan hidup di dunia dan ke mana pula kita selepas ini.

Di dalam surah Yusuf, cerita tentangnya sangat sarat dengan mesej mengesakan Allah. Jika dikaji ayat demi ayat di dalam Surah Yusuf, majoriti ayatnya mengingatkan kita tentang adanya kuasa besar Pencipta. Kuasa Allah yang mengatur setiap plot di dalam cerita. Setiap babak tidak lepas daripada mengetuk fikiran manusia agar ingat dan beriman kepada Allah dan hari akhirat. Cuba perhatikan perkataan-perkataan seperti Allah, Rabb (Tuhan), Huwa (Dia), Nahnu @ Na (Kami) dan lain-lain, semuanya menunjukkan kepada kewujudan dan sifat-sifat Allah. Ini lebih ketara kepada hampir setiap pengakhiran babak, terdapat penegasan tauhid.

Melalui teknik Surah Yusuf, pengarang boleh menyelitkan seberapa banyak unsur tauhid yang boleh. Menerusi naratif atau dialog, unsur tauhid boleh diselitkan melalui pelbagai bentuk. Unsur tauhid terkandung di dalam kalimah Allah, sifat-sifat Allah, dan juga nama-nama Allah.

Begitu juga selepas tamat cerita, Allah membuat rumusan cerita. Terdapat penegasan motif cerita, balasan baik dan buruk, kekuatan sifat-sifat Allah, dan apa yang Allah mahu sesudah cerita disampaikan. Apakah dia? Allah mahu kita beriman kepada-Nya!

Penulis boleh menyelitkan pembuka dan penutup cerita sebagaimana yang diamalkan, iaitu melalui prolog dan epilog. Kewujudan 2 unsur ini, mampu mempertegaskan lagi ciri-ciri pro tauhid di dalam cerita.

Mewujudkan unsur pro tauhid di dalam karya adalah tugas pengarang yang inginkan pembacanya mentauhidkan Allah. Oleh itu, tanggungjawab ini adalah amanah Allah untuk setiap yang bergelar penulis. Marilah kita menulis dari Allah, kerana Allah, demi Allah!

Add comment June 3, 2009

Khutbah Jumaat : Agenda Lena Ummat?

Setiap minggu, ummat Islam berkumpul di mana-mana masjid untuk menunaikan kewajipan bersolat fardhu Jumaat. Ada yang cuti pada hari tersebut, mengambil peluang bersiap dan berwangi-wangian sebelum keluar menuju ke masjid. Manakala yang bekerja, mengambil kesempatan waktu rehat tengahari untuk keluar bersolat. Sesetengah jemaah datang awal dengan semangat berkobar-kobar untuk mendapatkan pahala seumpama mengorbankan unta. Ada juga yang tiba sebaik saja azan pertama berkumandang.

Selepas sahaja azan kedua selesai dikumandangkan, kelihatan mata para jemaah mula kuyu. Apatah lagi khatib yang naik ke mimbar mula ‘membaca’ khutbahnya. Semangat yang berkobar tadinya mula malap. Mata yang segar meskipun penat bekerja mula terkelip-kelap. Sudahnya, cuma tabung masjid yang beredar di antara saf-saf yang mampu mengejutkan kita!

Mengapa?
Kita amat hairan apabila melihat senario yang mendarahdaging ini. Khutbah Jumaat yang sepatutnya menjadi medan membasuh iman mingguan, bertukar menjadi pesta lena berjemaah.

Selepas meneliti dan merenung kembali, kita akhirnya tersedar. Bahawa khutbah Jumaat hari ini sukar ditelan isinya. Dicampak bulat-bulat dengan gaya bahasa moden terlalu, keAraban selalu, dibaca teks jawinya tersangkak-sangkak. Dibaca ayat dan doanya terangkak-rangkak. Tidak hairanlah jika jemaahpun mula berpura-pura pekak!

Gaya penyampaian khutbah kita sudah ketinggalan. Nada yang sama dari mula hingga akhir, mengundang aura lena yang menggoda mata. Kadangkala khatib membebel-bebel dengan keadaan tidak difahami bahasanya. Bukankah syarat khutbah itu mesti difahami bahasanya? Otak yang penat bekerja, badan yang lesu sahaja, baharu menjamah kari kepala ikan pula, bagaimana lemak yang enak dapat memproses ilmu khatib? Lebih muak lagi apabila khatib asyik bercakap bahasa Arab sahaja, dari mula pula, Al-Quran dan terjemahan pula kadangkala salah baca, doa panjang berjela-jela, satu apapun kita tidak faham ertinya. Bagaimana hati pula mahu hadir sama berdoa, kalau telinga sudah jelak dibebel, mata digoda panasnya cuaca, minda sudah lenguh berfikir?

Teks jawi sukar dibaca laju dan sukar pula dihadamkan terlebih dahulu. Sebab itu ada ulama komited jadi ulama kemetot. Ada keldai jadi keladi. Ada bumi jadi bom. Kita tidak bangkang penggunaan jawi. Tapi biarlah kena pada tempatnya. Biarlah ada pilihan jawi dan rumi. Biarlah teks berbeza-beza mengikut tempat. Jika lebih berani, biarkan khatib mereka sendiri khutbahnya. Kerana khatib yang faham keperluan jemaah. Kerana di bahu khatib, letaknya agenda membangkitkan lena ummat!

Kita sedar, bukan mudah perjuangan ini. Namun, jika kita ambil contoh sunnah Nabi Muhammad, Nabi berkhutbah hingga merah padam mukanya. Aura yang sampai ke minda jemaah adalah aura semangat. Tapi aura yang sampai ke minda kita adalah aura tidur!

Bagaimana?
Hentikanlah situasi ini. Kita tidak akan maju jika khutbah Jumaat kita tiada fungsi sosial. Kita tidak akan keluar daripada neraka bala, jika apa yang sepatutnya disampaikan setiap minggu, hanya mengetuk minda supaya lebih lena lagi. Jika tiada kepentingan sosial, tiadalah Islam mengujar bahawa tidak solat Jumaat 3 kali berturut-turut tanpa uzur adalah munafiq! Jangan pula terlalu disalahkan mereka yang tidak mahu ke masjid.

Kerana kitalah sebagai salesman yang silap teknik menjual produk Islam!

Add comment May 29, 2009

Ciri Linguistik Dalam Teknik Surah Yusuf

Untuk menghasilkan kesan linguistik kepada telinga kita, mari kita sama-sama dengar bacaan Mp3 Surah Yusuf dahulu. Sila download di bawah.

Bacaan Surah Yusuf oleh Syeikh Yahya Hawwa.mp3
(15.3MB)
Bacaan Surah Yusuf oleh Syeikh Abdullah Muhammad Al-Matrud (11.8MB)

Salah satu ciri keindahan dalam mana-mana karya sama ada karya puisi atau cerpen, gurindam atau pantun, syair dan lagu, adalah ciri melodi metafora (pengakhiran suku kata) bunyinya yang mempesonakan.

Oleh kerana ayat-ayat Al-Qur’an adalah ‘ayat-ayat cinta’ Tuhan, sudah tentu kalam Tuhan ini mengatasi segala bunyi melodi di dalam semua jenis karya di dunia ini!

Di dalam Al-Quran, ciri melodi yang diambil daripada fonologi bahasa Arab sendiri, menjadikan semua ayat Al-Quran mempunyai kesan linguistiknya tersendiri. Sesetengah ayat memberi kesan yang berbeza kepada pendengar. Bahasa Arab yang unik, apabila disinergikan dengan ayat Al-Quran, menghasilkan metafora, melodi yang begitu indah di jiwa manusia bahkan haiwan. Ciri-ciri linguistik Arab yang kita lihat aplikasinya dalam ilmu tajwid, menjadi salah satu sumber perubatan kepada rohani manusia. Sama seperti yang dilakukan pada zaman Abbasiyah, di mana hospital-hospital menggunakan muzik yang lembut untuk mengubati pesakit.

Jika dihitung-hitung jumlah metafora di dalam Surah Yusuf, hanya terdapat empat huruf sahaja yang digunakan, iaitu huruf nun, mim, ra dan lam. Kesemua huruf ini adalah huruf idgham (huruf yang mudah dicantumkan bunyinya dengan huruf lain), antara huruf yang paling tinggi kesan melodinya. Metafora dengan huruf lam terdapat pada ayat 66. Manakala untuk huruf ra, hanya ayat 39 & 65. Sedangkan untuk huruf mim, terdapat pada 15 ayat. Bakinya, iaitu 93 ayat, dikhususkan untuk huruf nun, huruf yang mempunyai kesan melodi paling indah dalam bahasa Arab!

Meskipun bahasa Melayu tidak sama dengan bahasa Arab terutama dari segi linguistiknya, namun kita mengharapkan agar pakar-pakar linguistik dapat mengutarakan satu kesan linguistik paling indah di dalam bahasa Melayu. Suku kata yang bagaimanakah yang paling sedap didengar dan dibaca agar kesannya melantun-lantun dalam jiwa? Bunyi metafora yang bagaimanakah dapat mempengaruhi pembaca menghabiskan karya kita dengan rasa puas?

Pada hemat saya, sekiranya kita dapat memaksimumkan penggunaan metafora di dalam karya kita, karya kita akan menjadi indah untuk dibaca.  Terfikir saya, melihatkan warisan sastera nenek moyang yang kerap menggunakan ciri metafora di penghujung ayat, karya mereka tetap evergreen sepanjang zaman. Mungkinkah manusia ini fitrahnya sukakan muzik linguistik?

Add comment May 27, 2009

Pesta Buku Negeri Sembilan : Mari Borong Buku Lagi!

Seremban Parade. Gambar diambil dari web allmalaysia.info

Seremban Parade. Gambar diambil dari web allmalaysia.info

Pesta Buku Negeri Sembilan 2009 akan diadakan seperti butiran di bawah :

Tempat : Seremban Parade, Seremban, Negeri Sembilan. Berdepan dengan Stesen Komuter, Seremban.

Tarikh : 27-31 Mei 2009.

Masa : 10 pagi sehingga 10 malam.

Untuk ke sana :

Kereta & Motor: Pandu sahajalah ke sana.

Bas : Ambil mana-mana bas pusing bandar di Terminal One yang akan lalu di hadapan Seremban Parade. Harga sekitar Rm1-Rm2 (tak pernah naik bas ini)

Teksi : Ambil mana-mana teksi untuk ke sana. Harga sekitar RM3-RM5.

Jalan kaki : Anda boleh berjalan kaki dari Terminal One ke Seremban Parade melalui pesisiran jalan. Atau gunakan denai pejalan kaki berhampiran kuarters KTM di hadapan Terminal One.

Komuter : Berhenti di stesen akhir laluan Seremban-Rawang di Komuter Seremban. Keluar stesen dan seberang jalan untuk ke Seremban Parade.

Antara yang menyertai, UjanaIlmu.com.my. Pastinya UjanaIlmu kali ini menjual buku secara offline! Dapatkan buku-buku edaran mereka pada pesta kali ini.

p/s : Pesanan ini dibawakan untuk anda oleh isteri CEO UjanaIlmu.Com.My, Puan Nisah Haron…Selamat membeli-belah!

Add comment May 26, 2009

Multi-Ujian : Menyorot Konflik Dalam Teknik Surah Yusuf

Salam

Alhamdulillah. Allah telah memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dengan salah seorang guru terbaik dalam bidang penulisan. Sebelum sesi Bengkel Menurunkan Indeks Kabus tempohari bermula, Sifu Ainon telah mengamanahkan saya agar saya menulis siri-siri entri berkenaan Surah Yusuf dan Teknik Surah Yusuf, berdasarkan olahan terhadap kitab Surah Yusuf : Dirasah Tahliliah (Surah Yusuf: Kajian Terperinci) oleh Prof. Dr. Ahmad Naufal, salah seorang guru saya. Dr Ahmad Naufal adalah pakar Qasas Qurani, kisah-kisah dalam Al-Quran, yang terkenal di Jordan.

Baiklah, kali ini kita akan mengupas berkenaan mehnah, ujian dan tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Yusuf.

Dalam teori Sastera Teknik Surah Yusuf, secara ringkasnya diterangkan, watak utama atau hero mengalami banyak konflik, yang secara tidak langsung menyerlahkan idealnya watak tersebut. Watak hero bukan sahaja dihadapkan dengan pelbagai ujian, bahkan pelbagai jenis orang pula yang memberi tekanan kepada watak utama. Selepas melalui pelbagai ujian, sebagaimana istilah ‘imtihan‘ (peperiksaan) – perkataan imtihan sendiri memberi maksud besi yang ditempa dengan api – watak yang ditempa dengan multi-ujian ini, akan menjadi watak superhero yang kuat!

Hal ujian ini bertepatan sangat dengan firman Allah:

“Aiff lam mim, Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa ‘Kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut : 1-3)

Terdapat banyak hadith dan ayat Al-Quran yang menunjukkan bahawa para mu’min itu akan diuji untuk mengetahui kebenaran iman mereka. Dan seberat-berat ujian yang dihadapi, adalah ujian ke atas para Nabi dan Rasul, sebab itu ada di kalangan mereka yang digelar Rasul Ulul Azmi (Rasul yang mempunyai keazaman yang kuat).

Mari kita lihat, berapakah jenis cabaran yang dihadapi oleh watak utama yang mu’min kepada Allah dan Rasul-Nya. Terdapat satu hadith yang diriwayatkan daripada Anas r.a. yang menyebut bahawa Orang Mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang susah:
1. Mukmin yang dengki padanya

2. Munafiq yang benci kepadanya

3. Kafir yang memeranginya

4. Syaitan yang menyesatkannya

5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya

(Hadith ini telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dan hadith Anas
dalam tajuk: “Akhlak Yang Luhur.”) – dikutip dari buku Bahtera Penyelamat, Fathy Yakan, Dewan Pustaka Fajar.

Tanah-tanah Sejarah. Gambar Ihsan : My Computer..hehe..Copyright Controlled.

Tanah-tanah Sejarah. Gambar Ihsan : My Computer..hehe..Copyright Controlled.

Secara asasnya, semua mu’min menghadapi ujian seperti di atas. Dan mungkin sahaja konflik yang dihadapi berbeza antara satu sama lain. Jika kita sorot di dalam Surah Yusuf, Nabi Yusuf menghadapi beberapa cabaran dan konflik. Iaitu :

1. Konflik keluarga.

2. Konflik kasih sayang.

3. Konflik maruah diri (apabila dihambakan dan dijual murah).

4. Konflik dengan lawan jantina. Dalam hal ini, Dr Ahmad Naufal tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Nabi Yusuf juga bernafsu terhadap wanita Al-Aziz. Ini kerana apabila kita membenarkan pandangan ini, ia seolah-oleh satu kekejian kepada para Nabi sedangkan para Nabi adalah maksum iaitu terpelihara daripada dosa. Apa yang boleh kita simpulkan di sini, kerana kuatnya godaan wanita tersebut, hampir saja Nabi Yusuf terpedaya sekiranya tidak melihat tanda kebesaran Tuhannya. Tanda itu boleh ditakwilkan (ditafsirkan) sebagai istighfar atau lintasan di dalam hati yang segera mengingatkan kepada Allah.

5. Konflik dengan penguasa. Termasuk di dalam konflik ini adalah konflik penguasa eksekutif (al-Aziz) dan legislatif (hakim). Sedangkan dengan raja Mesir sendiri, Nabi Yusuf tidak menunjukkan pertentangan yang nyata berbanding kisah Nabi Musa dan Firaun.

6. Konflik dengan harta dan pangkat. Dalam hal ini, Nabi Yusuf menunjukkan cara terbaik menghadapi konflik dengan harta dan pangkat.

Jika kita merujuk kepada sebab turunnya surah Yusuf yang unik ini, kita akan dapat memahami mengapa kisah terbaik dan indah ini sebegitu rupa konfliknya. Surah Yusuf ini diturunkan dalam fasa Makkah, iaitu semasa Nabi Muhammad dan Bani Hasyim dipulau habis-habisan di sebuah lembah sekitar tahun ke-12 pengutusan Nabi. Ada riwayat juga mengatakan surah ini turun ketika Nabi sedang berdukacita kerana kehilangan Saidatina Khadijah dan pakciknya Abu Talib dalam Tahun Dukacita, 10 tahun selepas pengutusan Nabi. Dengan ujian yang berat, makanan yang kehabisan, daun-daun kayu telah habis dimakan, lembah yang gersang, umat yang malang, sehingga ramai yang bertanya-tanya, bilakah bantuan akan datang?

Maka turunnya surah ini menghilangkan keraguan sama sekali di jiwa para umat. Memberi harapan kemenangan, menenangkan jiwa yang kehausan pertolongan, sekaligus memberi persediaan untuk HIJRAH!

Demikianlah, multi-konflik dan multi-ujian dalam kisah indah Surah Yusuf, mematangkan minda umat mengurus konflik gaya mu’min. Oleh itu, pengarang-pengarang berdasarkan Teknik Surah Yusuf menulis untuk memberi sinar baru kepada mu’min yang lelah bertarung dengan dunia. Penulis gaya Surah Yusuf menonjolkan impian masa depan gemilang, terhadap watak utama dalam cerita, dan watak pembawa konflik agar mereka bekerjasama secara realitinya menghijrahkan dunia silam mereka kepada gaya hidup Islam.

Marilah, wahai penulis sekalian, kita tanamkan semangat baru dalam hidup para pembaca karya kita!

3 comments May 26, 2009

Teknik Surah Yusuf Wajar Jadi Mazhab Rasmi Penulis Fiksyen

Salam

Pada pagi tadi saya telah hadir ke Bengkel Menulis Mengikut Gaya & Teknik Surah Yusuf (advanced level) anjuran Sifu PTS, Puan Ainon Mohd, yang semakin popular meletup-letup itu, sejak berada di baris hadapan dalam perjuangan memansuhkan PPSMI. Senyum.

Sebagaimana hasil kajian Puan Ainon yang dibentangkan itu, Teknik sastera Aliran Surah Yusuf ini telahpun menjadi ‘mazhab rasmi’ gaya penulisan di bawah ’syarikat bakal gergasi’, PTS. Amin!

Entri kali ini menyorot Teknik Penulisan Aliran Surah Yusuf yang saya boleh rumuskan sebagai, sangat tafsir sastera! Mengapa tafsir sastera? Mengikut pelopor tafsir sastera abad ke-20, iaitu Syed Qutb (melalui Tafsir Fi Zilalil Quran nya), kekuatan Al-Quran banyak terletak pada kekuatan sasteranya dan kekuatan bahasanya yang menggunakan bahasa Arab tinggi. Sehinggakan, mengikut ramai pengkaji Al-Quran dan para mufassir (pentafsir), kekuatan Al-Quran adalah pada ilmu bayannya. Boleh dikatakan, hampir kesemua jenis mukjizat Al-Quran (penemuan sains, balaghah, makna, susunan ayat dan macam-macam lagi) yang telah terlihat penemuannya hingga kini, bertitik-tolak daripada ilmu bayan.

Sebelum saya bermula, kalian boleh merujuk sebahagian besar maklumat mengenai Teknik Surah Yusuf ini sama ada di blog Puan Ainon sendiri atau di http://sasteraislami.blogspot.com

Baiklah. Mengapa Surah Yusuf? Mengapa tidak surah-surah lain?

Jawapannya (menggabungkan jawapan Puan Ainon dan jawapan yang saya kutip daripada kitab Surah Yusuf – Dirasah Tahliliah, Dr Ahmad Naufal):

1) Surah Yusuf satu-satunya surah cerita tentang Nabi Yusuf yang lengkap dan agak terperinci yang dimuatkan dalam satu surah. Maknanya, cerita-cerita tentang Nabi lain, kebanyakannya tidak terletak di dalam satu surah, bahkan banyak kisah nabi-nabi yang lain, hanya disentuh sedikit sahaja berkenaan nabi tersebut, dan bukan sebuah kisah perjalanan hidup yang lengkap!

2) Surah Yusuf adalah satu-satunya surah yang paling dekat menunjukkan ciri-ciri manhaj(cara,teknik) Al-Quran mengkisahkan apa-apa jua kisah. Kerana dalam kisah ini, watak-wataknya pelbagai, emosinya pelbagai, latar setting pelbagai dan babak peristiwanya berkembang.

3) Setiap babak di dalam kisah Nabi lain seperti kisah nabi Musa, boleh dibahagi-bahagikan mengikut episod. Mungkin kita boleh gambarkan sebagai episod drama bersiri. Contohnya Nabi Musa di Madyan, Nabi Musa dengan abid soleh dan lain-lain. Manakala, surah Yusuf boleh kita gambarkan sebagai filem, di mana kita tidak mungkin menjuzuk-juzukkan setiap babak di dalam kisahnya kepada satu episod. Inilah mukjizat Al-Quran yang menunjukkan bahawa Al-Quran bukan ditulis oleh Nabi Muhammad, tapi adalah kalam Allah!

4) Surah inilah satu-satunya surah yang dijamin Allah sebagai sebuah kisah yang indah, sebagaimana di dalam ayat ketiga surah ini, “Kami kisahkan kepadamu sebuah kisah yang terbaik.”

5) Gambaran dan perumpamaan yang terlukis di dalam surah ini tidak terdapat di dalam surah lain. Contohnya : Ahada Asyara (sebelas), Ghayabatil Jubb, Yarta’, Az-Zi’b (serigala), Qamisahu (bajunya), dan banyak lagi. Ada sesetengah perkataan, walaupun terdapat di dalam surah lain, namun konteks maknanya berbeza daripada yang di dalam surah Yusuf, seperti Al-Aziz, Al-Malik.

6) Kalau dibaca berulang kali, melodi ayat Al-Quran yang diperdengarkan sangat indah. Sangat berbeza berbanding surah-surah lain.

Masih banyak lagi yang perlu digali. Untuk kali ini, saya tulis setakat ini dahulu berkenaan muqaddimah Teknik Surah Yusuf. Insya-Allah, saya akan sambung dan cuba membantu Puan Ainon (kalau dikatakan membantu) memperkembang dan memperkemaskan lagi teknik ini. (Baru satu hari mendengar teknik ini sudah mahu melawan sifu….hehe..Geleng-geleng)

Untuk lebih menarik, mungkin Quran Syamil Harfi yang menggunakan terjemahan secara harfiah (ditulis maknanya di bawah perkataan Arabnya dapat membantu memahamkan lagi istilah dan makna yang digunakan di dalam ayat).  Buku-buku berkaitan Qasas Qurani juga wajar dirujuk bagi memahamkan kita tentang uniknya surah Yusuf yang kita kaji ini.

p/s: Saya masih lagi sedang maraton baca blog (baca : marcalog) Unika PTS. Sangat seronok!

Add comment May 17, 2009

Antologi Cinta Dan Rona Kinanah

Salam

Di bawah ini dipaparkan gambar kulit muka depan Antologi Cinta dan Rona Kinanah cetakan Malaysia. Cetakan asalnya adalah dari Mesir, pada tahun 2007. Alhamdulillah, syarikat Hijjaz berminat untuk menerbitkan semula antologi ini di Malaysia. Semoga kalian beroleh manfaat daripadanya. Sebelum terlupa sekalung terima kasih ditujukan kepada Saudara Mohd Zaki kerana bertongkos lomos mengusahakan penerbitan ini bermula cetakan pertama hingga cetakan kedua dengan seribu satu mehnah. Terima kasih juga kepada pihak penerbit HIJJAZ Records PUBLISHING yang sudi menerbitkan CDRK dengan wajah yang lebih segar dan menarik. Tidak dilupakan ucapan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan dan kenalan yang banyak membantu dalam proses pembikinan dan pemasaran CDRK. Semoga Allah membalas segala jasa baik kalian dengan limpahan rezeki yang barakah.

Cinta & Rona Kinanah versi Malaysia.
Cinta & Rona Kinanah versi Malaysia.

Cuma alangkah moleknya kalau antologi ini dapat diedit semula sebelum diterbitkan cetakan kedua. Dan alangkah cantiknya sekiranya gadis di dalam gambar itu tidak menggayakan gaya sebegitu…

Antologi ini menampilkan empat buah karya puisi saya.

Untuk memesannya, boleh ke Laman Penerbit Hijjaz Records Publishing.

Add comment May 17, 2009

PPSMI : Perjuangan Menguburkan Pengubur Bahasa!

Salam.

14 Mac 2009, saya sempat mengikuti Seminar PPSMI : Halatuju PPSMI dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan…Ternyata, seminar yang dihadiri dan beberapa kertas kerja yang dibentangkan memberi kesan dan idea yang cukup luas kepada saya. Kesimpulan yang saya buat – PPSMI membunuh anak bangsa dan bahasa Melayu! Sedangkan perjuangan menegakkannya sudah berlangsung lama sejak Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan di Malaysia. Hasil dasar mengutamakan bahasa Melayu ini telah melahirkan ramai anak bangsa yang mampu berdiri sendiri atas bahasanya sendiri. Meskipun masih belum betul-betul perkasa, tapi ciri-ciri keperkasaan bahasa Melayu sudahpun terlihat mutakhir ini di arena antarabangsa.

Untuk pejuang pembunuh bahasa, janji kami untuk kamu; biarkan dasar PPSMI kamu ini menjadi kubur buat kamu selama-lamanya!

——-

Klik di sini untuk melihat blog seminar tersebut.

Klik di sini untuk memuatturun sebahagian kertas kerja seminar. Akan ditambah bergantung kepada bahan yang diperolehi daripada AJK seminar.

Add comment March 16, 2009

Urdun Yang Ditinggalkan

Salam sejahtera.
Memo ini kucatatkan sebagai mencarik tabir setahun lalu yang kualaskan permaidani rumah yang terpaksa kutinggalkan demi sesuap ilmu.

Alhamdulillah…

Setelah hampir setahun, barulah saya dapat kembali menulis di sini. Terlalu banyak perkara yang telahpun berlaku sepanjang setahun. Alhamdulillah. Saya telah tamat pengajian di Jordan sekitar musim panas 2008 lalu, dan kini telah selamat menjadi usahawan bebas (lebih kurang macam penceramah bebas jugalah), membuka rangkaian kedai perkhidmatan dan peruncitan di Nilai, Negeri Sembilan. Telah hampir 5 bulan saya pulang. Dan alhamdulillah, rezeki perancangan Allah yang Maha Sempurna, saya dapat mencapai sebahagian impian saya selama ini.

Kedai apa yang saya (dan kami, ahli keluarga saya)usahakan?
1) Kedai runcit diberi nama Shabab Shoppe. Kedai ini dibuka pada awal Januari 2009.

2) Kedai perkhidmatan serbaneka : Batik, songket, busana muslim/ah(t-shirt, tudung, jubah, stokin kaki/lengan dll), perkhidmatan membaiki telefon bimbit/komputer dan aksesorinya, perkhidmatan dobi, menggambar foto pasport, perkhidmatan tambah nilai telefon bimbit,menjual buku ilmiah, cd kaset agama dan lain-lain. Diberi nama Shabab Variety Services. Kedai ini telah berusia lebih setahun.

3) Kedai Dobi yang diberi nama Dobi Shabab Jati. Kedai ini juga hampir setahun usianya.

4) Kerjasama dengan syarikat Simple.Com membuka kios runcit di Pusat Komuniti Pelajar USIM, Nilai. Seminggu selepas membuka kedai runcit, kami mendapat tawaran ini.

Apa jadi dengan penulisan?

Benar kata Kak Nisah Haron, apabila berniaga, masa menulis banyak dicuri ke arah perniagaan. Setakat ini, saya baru selesai mengikuti beberapa bengkel. Salah satunya Bengkel Penulis Bebas, yang dikendalikan oleh Penulis Bebas Prolifik, sahabat ‘hampir ketat’ saya, Tuan Zamri Mohamad. Benar penulis tidak lahir daripada bengkel. Tapi penulisan yang lahir selepas penulis dibengkelkan.

Jadi, sekarang ini, masih mengejar dan mencuri masa sendiri untuk menulis. Oh!

Telefon Bimbit

Saya sempat mengikuti beberapa siri bengkel membaiki telefon bimbit. Alhamdulillah, Allah temukan dengan seorang tenaga pengajar yang sangat baik, tidak lokek ilmu, bantuan sepanjang masa, murah yurannya dan cepat dapat ilmunya. Kini saya boleh membaiki telefon bimbit!

Apa relevannya seorang graduan Fakulti Syariah Jurusan Usuluddin membaiki telefon bimbit?

Menjadi usahawan telefon bimbit dan telekomunikasi, adalah satu kerjaya yang mengasyikkan, bukan kerana kerjaya ruwet membaiki masalah-masalah telefon itu sendiri, tapi lebih kepada kepuasan menambah nilai ilmu diri, dan membantu memperbaik komunikasi dengan manusia. Kata hukamak : “Kalau mahu hubungan dengan manusia elok, maka perelokkkanlah hubungan kita dengan Allah.” Itulah yang saya rasa. Segala yang kita perbuat, dalam kerjaya, amat berkait rapat dengan ibadah. :) Di situlah letaknya nilai kerjaya berdasarkan minat. Doakan kami menjadi usahawan yang bertaqwa…Fuh..Susah tu… Lagipun, apabila kita berkerjaya memperbaiki komunikasi manusia dengan manusia, secara tidak langsung, kita terdidik memperbaiki komunikasi kita dengan Allah.  Komunikasi telefon bimbit hari ini telah banyak terseleweng dan tersekular. Tugas kamilah yang sedar untuk memperislamkan kembali teknologi.

Lebih relevan lagi, apabila teknologi telekomunikasi hari ini terlalu disalahgunakan oleh masyarakat. Maka, kita perlu usahawan-usahawan telekomunikasi yang lebih proaktif dakwah dan bernilai murni agar dapat mencegah penyakit salahguna telefon bimbit daripada berleluasa. Terlalu banyak pula senarai penyakit untuk disebut, memadailah merujuk akhbar harian..:)

Saya tidak pernah termimpi untuk menjadi juruteknik telefon bimbit, tapi ini adalah impian baru dalam hidup…Lebih puas lagi, dapat menjadi agen menjual peralatan telefon bimbit dan gajet Al-Quran yang semakin popular dewasa ini. Rujuk Harakah untuk iklan telefon bimbit Al-Quran.

Akan datang…Bagaimana?

Akan datang, saya ingin menikah!

Add comment March 16, 2009

Saya, Perpustakaan & Buku

Hakcipta Terpelihara 2008. Tidak dibenarkan mengulangcetak, mengambil hakmilik, menyebarkan, sama ada secara fotokopi, elektronik atau sebagainya tanpa kebenaran daripada pemilik laman. Terima kasih atas kerjasama.

Continue Reading 2 comments June 10, 2008

Previous Posts


Amalan Membahagiakan Hari

Qiamullail> Solat 5 waktu berjamaah> Solat Dhuha> Zikrullah > Bacaan Al-Ma'thurat Pagi & Petang > Bacaan Al-Qur'an 1 Juzu'> Menuntut Ilmu> Memberi Salam Sesama Mukmin> Puasa Sunat>

Raudhah Multimedia

My Twitter

Error: Twitter did not respond. Please wait a few minutes and refresh this page.

Affiliate

Arkib

Kategori

Entri Terkini

Puisi Pinggir

MASIHKAH KAU SAYANG PADAKU?


Derap langkahku yang sumbang (Toha : 124),
Tersepak nafsu lalu tumbang (Al-Furqan : 25),
Tersungkur lesu menuju ambang....


Mautkah yang menjemputku? (Al-A'raf : 34)....


Masihkah Kau sayang padaku?
Setelah tubuh dikencing syaitanku (Al-Baqarah : 14),
Setelah akal diinjak beku (Al-A'raf : 179)....


Yang mana maha dalam atmaku...
Kau atau syaitan membelenggu? (Al-An'am : 125)


Pada janji manis yang tertabur
setiap pertemuan yang didesak akur (Luqman : 32)
Pada lafaz taubat bersyarat (Al-An'Am : 63-64)
Siapa aku mahu mengikat syarat,
pada Raja segala raja dunia akhirat? (Ghafir : 16)


Masihkah Kau sayang padaku?
Setelah darah dosa diwuduk lulur (At-Tahrim : 8)
Setelah azam setia kembali dihulur (Al-Maidah : 83)
Setelah titis air mata suam mengguyur (An-Nur : 31)


Allah, katakanlah...
Masihkah Kau sayang padaku? (Hud : 90)

AdabunA

Beli-Belah

Blog-Blog Lama

Blogroll

E-Kitab @ Buku

Forum

Media Audio Video

Membaiki Handphone

PTS & Angkatannya

Qur'an & Qari

Sastera Elektronik

Tokoh

Torrent Tracker

WeWR @ Multiply

Komen Terkini

hamimnasoha on Multi-Ujian : Menyorot Konflik…
wewr on Multi-Ujian : Menyorot Konflik…
hamimnasoha on Multi-Ujian : Menyorot Konflik…
soulof99 on Saya, Perpustakaan & …
nai on Saya, Perpustakaan & …

Top Clicks

Awan Gemawan Tag

Kalendar

July 2009
M T W T F S S
« Jun    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Posts

Telah Dilawati Sejak Februari 2008 Sebanyak

Meta

Sekatan Spam