10 Tip Jimat Belanja di Hipermarket
13 Sep 2011 Leave a Comment
Salamun alaikum.
Semoga kesejahteraan dan keselamatan melimpahi dunia tuan puan dan akhiratnya juga. Allahumma amin…
Pada hari ini saya ingin berkongsi tip menjimatkan perbelanjaan di hipermarket. Pada masa sekarang, kewujudan hipermarket sangat meluas, dan mulai masuk ke pinggir-pinggir bandar dan bandar satelit. Justeru, semakin ramai yang terkena perangkap hipermarket.
Ramai orang beranggapan, membeli-belah di hipermarket lebih murah dan lebih jimat, kerana kita dapat membeli murah dan dapat lebih banyak. Namun, ramai yang tidak menyedari, ungkapan ‘jimat apabila beli banyak’ ini sebenarnya memerangkap kita supaya membeli lebih banyak barangan melebihi keperluan kita. Kadangkala kita terpaksa membeli banyak, kerana kita tidak dibenarkan membeli sedikit. Oleh itu, di sini saya kongsikan beberapa tip menjimatkan belanja apabila kita berbelanja di hipermarket. Semoga bermanfaat!
10 Tip Jimat Belanja di Hipermarket
1) Gunakan wang tunai. Elakkan penggunaan kad kredit. Kad kredit membuatkan kita merasakan kita mampu membayar barangan yang dibeli, meskipun troli sudah penuh. Sedangkan, sekiranya kita menggunakan wang tunai, kita tidak mampu membayarnya. Statistik awal 2011 menunjukkan, lebih 50% golongan muda di bawah umur 35 tahun menjadi muflis disebabkan oleh perangkap kad kredit. Ingat, hipermarket mempunyai pelbagai taktik bagi memerangkap kita supaya membeli lebih banyak.
2) Gunakan bakul. Elakkan menggunakan troli, melainkan barang yang mahu dibeli itu sangat banyak dan tidak muat dimasukkan ke dalam troli. Mengapa kita perlu menggunakan bakul dan bukan troli? Kajian tingkahlaku pembeli menunjukkan, pembeli yang membawa troli kosong akan merasa malu kerana trolinya tidak penuh dan melihat pembeli lain memenuhkan troli. Justeru, pembeli tersebut cenderung memenuhkan trolinya sendiri meskipun wang yang dibawanya belum tentu cukup.
Jika perangkap jenis ini digabungkan dengan perangkap kad kredit, habislah kita!
Jika kita menggunakan bakul, kita cenderung untuk tidak menambahkan barangan ke dalamnya kerana beban bakul semakin berat. Oleh itu, wang kita pun jimat!
3) Dapatkan katalog hipermarket dan baucar diskaun dan percuma yang dikeluarkan setiap tahun. Dapatkan juga kalendar promosi hipermarket, supaya kita dapat merancang masa yang sesuai pergi membeli-belah. Promosi tempoh terhad seperti ini, membolehkan kita membeli barangan yang kita perlukan dengan menggunakan baucar. Namun, berhati-hati, kerana kita mungkin terperangkap untuk membeli barangan yang ditawarkan murah, meskipun kita tidak perlukannya, dan tidak menggunakannya dengan kuantiti yang banyak.
4) Gunakan kad ahli supaya lebih banyak mendapat diskaun. Hipermarket seperti Tesco dan Mydin, menawarkan kad keahlian bagi pemilik-pemilik bisnes. Sekiranya kita mempunyai kenalan atau ahli keluarga pemilik kedai runcit, mohon supaya mereka mendapatkan kad tambahan bagi kita. Harga barangan bagi pemilik kad seperti ini, jauh lebih murah berbanding kad keahlian biasa dan kad keahlian pengguna biasa. Dokumen yang diperlukan adalah salinan sijil SSM. Kita akan diminta mengisi borang keahlian dan membayar yuran tertentu.
5) Rancang perbelanjaan terlebih dahulu sebelum pergi ke hipermarket. Bagi barangan basah, pembelian boleh dibuat dalam tempoh dua minggu sekali atau seminggu sekali. Bagi barangan kering, pembelian boleh dibuat dalam tempoh sebulan sekali.
6) Bawa wang secukupnya sahaja, apabila kita ke hipermarket. Pastikan wang yang dibawa selaras dengan rancangan perbelanjaan yang kita buat.
7) Beli barangan di luar musimnya. Pada musim tertentu seperti musim perayaan, sesetengah hipermarket menaikkan harga barangan mereka, berbanding pada luar musim. Contohnya, sebelum hari raya, kuih raya dijual dengan harga yang tinggi. Tetapi pada malam raya, harga kuih raya jatuh mendadak. Sedangkan, kuih raya diperlukan bukan sahaja pada hari raya, tetapi juga pada hari-hari selepas raya, seperti untuk rumah terbuka dan lain-lain. Oleh itu, kita perlu membelinya pada waktu barangan itu masih murah.
8) Berhati-hati dengan barangan promosi murah. Sesetengah hipermarket meletakkan harga yang murah pada barangan stok lama, hampir tamat tarikh lupus, stok rosak dan tercemar. Periksa barangan terlebih dahulu sebelum membelinya.
9) Catitkan harga barangan di rak, pada kertas, dan bandingkan dengan harga di kaunter. Sesetengah hipermarket menipu pengguna apabila harganya tidak selaras. Justeru, kadangkala pengguna terpaksa membayar lebih tanpa disedari kerana perbezaan harga ini.
10) Baca doa masuk pasar sebelum kita memasuki hipermarket. Nabi Muhammad menggalakkan kita membaca doa masuk pasar sebelum masuk pasar. Apatah lagi dengan HIPERmarket yang sudah tentu lebih besar dan hebat perangkapnya. Membaca doa masuk pasar dapat mengelakkan kita meliarkan pandangan kepada pengunjung yang tidak menutup aurat, mengelakkan kita daripada terkena perangkap kewangan dan menjaga kita daripada nafsu membeli-belah apa yang tidak perlu. Juga mengelakkan kita lalai dalam tanggungjawab, seperti menunaikan sembahyang dan menjaga anak-anak.
Doa Masuk Pasar
Umar bin al-Khattab melaporkan, “Rasulullah berpesan, “Sesiapa masuk ke dalam pasar dan mengucapkan,
لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ حَيٌّ لاَ يَمُوْتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ.
“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, yang satu, tiada rakan lain bagi-Nya. Milik-Nya kerajaan, milik-Nya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan. Dialah yang hidup, tidak akan mati. Di tangan-Nya kebaikan. Dialah yang sangat berkuasa ke atas setiap perkara.”
Maka Allah akan menuliskan baginya sejuta kebaikan, dan menghapuskan darinya sejuta keburukan, serta membangunkan baginya sebuah rumah di syurga.’”
(Direkodkan oleh Tirmizi: 5/291 dan Al-Hakim: 1/538. Dan Al-Albani menyatakan,
hadith tersebut hasan dalam Sahih Ibnu Majah: 2/21
dan Shahih At-Tirmidzi: 2/152)
Tim Projek Kajian Psikologi Hadith Nabi Muhammad
09 Sep 2011 2 Comments
in Lari Sebuah Diari, Tim Psikologi Hadith Nabi Muhammad Tags: kajian hadith, Nabi Muhammad, psikologi, psikologi hadith, tim hadith
Salamun Alaikum.
Dengan nama Allah yang sangat pengasih dan sangat mengasihani.
Alhamdulillah, kita masih diberikan kesempatan oleh Allah bagi bernafas dalam dunia pinjaman-Nya ini. Tidak dapat dibayangkan, sekiranya kita bangun pagi tadi, kita sudahpun dibangunkan sebagai mayat. Ataupun sebagai roh yang sudah mula meninggalkan jasad. Ngeri sekali!
Betapa dosa masih banyak belum terampun, betapa pahala masih banyak belum dihimpun, betapa syurga masih belum layak dihuni dan betapa neraka sedia menanti diri. Allah sangat besar! Bimbang sekali, sekiranya pada suatu saat, kita tidak sedar, rupa-rupanya iman kita atau kepercayaan kita kepada Allah dan rukun iman yang lain, sebenarnya sudah rosak akibat perbuatan yang kita tidak sedari. Pada masa kita sedar itu pula, sudah pun terlambat bagi kita untuk merubahnya.
Tuan puan,
Pokok dan asas bagi sumber agama kita adalah al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad. Tiada sumber yang lebih hebat dan lebih autentik, bagi menggantikan dua jenis percakapan ini, iaitu percakapan Allah dan percakapan Nabi. Dalam entri kali ini, saya menulis berkenaan kajian hadith.
Belajar Hadith
Semasa saya di Jordan dahulu, saya seringkali berasa cemburu kepada sahabat-sahabat yang berpeluang mengikuti pengajian hadith secara mendalam. Di Jordan, ada beberapa pengajian yang memfokuskan kepada pembelajaran hadith.
Antara kelas hadith yang popular adalah kelas-kelas talaqqi (menadah buku secara bersemuka) bersama syeikh-syeikh salafi, sebahagian besarnya adalah anak-anak murid kepada Syeikh Nasiruddin al-Albani. Anak murid beliau yang terkenal antaranya adalah Syeikh Musa AL Nasr, Syeikh Ali Hasan Al-Halabi dan Syeikh Masyhur AL Salman. Manakala kelas musim panas yang dianjurkan oleh Pusat Penjagaan Al-Quran (Jami’yyah Muhafazah Alal Quran), yang mempunyai cawangan yang bertaburan di seluruh Jordan pula, biasanya menampilkan Prof Hammam Said dan Dr. Yasir Ahmad Syimali, selain Dr. Ahmad al-Awaisyah dan lain-lain.
Namun, mungkin disebabkan sikap saya pada masa itu, ditambah dengan tugasan sebagai pemimpin pelajar, saya tidak dapat menyertai kelas hadith setiap minggu. Ditambah lagi dengan kesihatan saya yang kurang memberangsangkan sejak menetap di Jordan, saya menjadi jejaka pingitan insan yang kurang keluar rumah.
Sebahagian kitab-kitab hadith dan fiqh mazhab yang
dimiliki oleh Ustaz Wan Yusrizal
(Gambar diambil pada tahun 2007)
Teman serumah saya, Ustaz Wan Yusrizal, berpeluang melanjutkan pengajian sarjananya ke dalam bidang Hadith, sementelah minat beliau yang cukup tinggi terhadap hadith. Beliaulah sumber mentor dan motivasi saya dalam pengajian hadith. Antara tindakan beliau yang saya kagumi, adalah beliau bertukar bidang dari bidang Fiqh dan Usul Fiqh, kepada bidang Hadith. Selepas diselidik, memang beliau seorang yang cukup hebat. Bayangkan, beliau pelajar sekolah sains, pergi ke Jordan tanpa asas Bahasa Arab. 3 tahun beliau belajar bahasa Arab di Pusat Bahasa, kemudian menyambung ke peringkat sarjana muda dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh. Sarjana pula dalam bidang Hadith. Inilah salah satu tanda-tanda kebesaran Allah yang saya lihat sepanjang di Jordan. Sebab itu, saya cemburu kepada beliau.
Kecemburuan saya sedikit terubat apabila saya dapat belajar hadith di Universiti. Antara syeikh dan doktor yang pernah mengajar saya adalah Prof Madya Dr Syaraf Al-Qudhah, Dr. Basim al-Jawabirah dan Dr. Abdul Karim Warikat. Kesemua doktor ini mengajar saya memahami hadith dengan cara yang berbeza. Metod Dr Basim mengajarkan saya cara memahami dan mempelajari hadith sebagaimana yang diajarkan oleh salafussoleh. Manakala Prof Dr. Syaraf pula mengajarkan hadith dengan menggabungkan ilmu maqasid syariah, ilmu fiqh dan ilmu reasoning, dan ilmu kontemporari (memahami dunia semasa). Dan Dr. Abdul Karim Warikat mengajarkan saya bagaimana menyelam ke dalam lautan ilmu hadith dan buku-bukunya. Allah jualah yang tahu, mengapa saya secara automatik kebetulan tidak dirancang, memilih ketiga-tiga orang guru yang mengajar dengan tiga metod yang berbeza. Kesemua kelas hadith di universiti ini, menjadikan saya cukup enjoy belajar hadith.
Keseronokan saya itu membuatkan saya sanggup mencari dan membeli hampir kesemua buku Dr Syaraf, Dr Basim, dan Dr Abdul Karim Warikat. Saya juga mendapatkan hampir kesemua buku terbitan Persatuan Hadith Syarif (Jami’yyah hadith Syarif yang mempunyai beberapa cawangan di seluruh Jordan(, termasuk buku kuiz tahunan mereka. Saya juga pernah menyuarakan hasrat saya menterjemahkan beberapa buku Dr Syaraf ke dalam bahasa Melayu, kepada beliau sendiri. Namun, beliau menjawab, “Penterjemahan di Malaysia sangat lembab. Dua tahun buku saya diberikan untuk diterjemah, sehingga sekarang masih belum terbit.” Saya tersenyum pahit. Tetapi, hasrat itu rupa-rupanya tidak termakbul, kerana sudah ada penterjemah yang dilantik sebelum itu.
Sebahagian kecil buku hadith saya.
Sebelum pulang ke Malaysia, saya pernah terfikir-fikir, adakah saya akan mendalami bidang pengajian hadith selepas ini? Ataupun, paling kurang, menulis beberapa buku yang memudahkan lagi pengajian hadith kepada masyarakat awam. Ternyata, selepas dua tahun berada di Malaysia, bidang lain pula yang saya ceburi. Sebenarnya, hasrat dan fikiran itu masih lagi bertapak di dalam dada saya. Tambah bersemarak apabila melihat sendiri, rakan saya, Ustaz Hasnan Abu Bakar, menulis buku ‘Apa Itu Ilmu Hadith?‘ di bawah terbitan PTS.
Tim Psikologi Hadith Nabi Muhammad
Selepas beberapa tahun berlalu, saya diperkenalkan dengan insan kreatif yang menjawat jawatan Editor dalam bidang Pendidikan, di bawah PTS Professional, iaitu Tuan Mohammad Yusry Mohd Yusopp. Sepanjang mengenali beliau, saya meyakini beliau seorang yang sukakan aktiviti, suka mereka aktiviti berfikir dan aktiviti berkumpulan, dan seorang yang mudah dibawa berbincang.
Pada suatu hari, beliau bertanya di FB beliau berkenaan sebuah buku, ‘Rasulullah sebagai Pendidik’ yang diterjemahkan dan diterbitkan di bawah PMRAM. Kebetulan Tanpa sebarang kebetulan, saya sebagai lelaki ensiklopedia pengumpul buku, memiliki buku berkenaan. Saya pun menyerahkan kepada beliau.
Tidak lama selepas itu, berlaku lagi perbincangan yang lebih besar dan rancak. Sifu Puan Ainon Mohd. pun turut menyertai. Rupa-rupanya, ada projek besar sedang dirancangkan. Rupa-rupanya lagi, Puan Ainon dan Tuan Yusry berkongsi hasrat yang sama, iaitu mengkaji, bagaimana teknik Nabi dalam menyampaikan dakwah dan mendidik orang-orang di sekeliling beliau.
Tiba-tiba, nama saya turut ditag dalam perbincangan tersebut. Tiba-tiba lagi, nama saya turut diserapkan sebagai ahli tim kajian. Allah sangat besar dan sangat memahami hamba-hamba-Nya! Hasrat saya mengkaji hadith dimakbulkan selepas beberapa tahun saya pulang ke Malaysia!
Pada mulanya, saya tidak terlalu teruja dengan perkembangan ini, sementelah saya masih sibuk dengan projek penterjemahan al-Quran. Dalam perbincangan pertama yang dilakukan, saya masih lagi blur, lampi, lembab, tidak cepat menangkap dan banyak teknik mengkaji yang saya masih belum fahami. Justeru, apabila tim berbincang di FB, saya lebih banyak duduk diam dan membaca komen ahli tim lain. Duduk diam-diam itu ada dua tanda. Satu, tandanya orang itu tidak faham. Kedua, tandanya orang itu faham dan berfikir lebih dalam!
Tim Kajian Psikologi Hadith Nabi Muhammad ini ditubuhkan bagi mengkaji hadith-hadith Nabi, dan seterusnya melaksanakan misi seperti di bawah :
- Misi: Mengangkat dan Meletakkan Prinsip, Strategi, Metod, Prosedur, Prioriti, Teknik-Teknik, dan Taktik Pengurusan Nabi Muhammad ke Dalam SOP Organisasi
- Ahli-ahli :
Puan Ainon Mohd (Penasihat & Ketua Projek),
Puan Wan Mazwati (Timbalan Ketua Projek),
Puan Rihan Hashim (Setiausaha),
Tuan Ahmad Saifuddin Yusof,
Tuan Mohammad Yusry Mohd Yusopp,
Tuan Asyraff Hafdzan Abdullah,
Puan Muna Izzah Fadzil dan
Cikpuan Nor Hayati Mohd Redzwan.Kesemua ahli tim mempunyai kepakaran dan kelebihan masing-masing. - Objektif penyelidikan:
1.Menggali prinsip-prinsip, strategi-strategi, prosedur-prosedur, teknik-teknik dan tool-tool yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau melaksanakan proses pembangunan tenaga manusia.2.Menggunakan penemuan-penemuan dalam penyelidikan ini bagi menghasilkan modul-modul latihan pembangunan sumber manusia dalam organisasi. - Blog : http://hadithpsikologi.blogspot.com/
Ini bukan kajian hadith yang biasa-biasa kerana kajian yang dilakukan adalah pada apa yang tersurat dalam teks hadith dan konteksnya. Juga bukan seperti metod mengkaji hadith yang digunakan oleh ulama’-ulama’ silam yang biasanya mengkaji hadith dari sudut teks, jalur pelapor, kategori pelapor, kategori hadith, kategori bab dan topik serta beberapa cabang yang lain. Mungkin saya boleh katakan, kajian hadith dengan metod ini, adalah metod yang keempat yang saya tahu, dan ia berlainan berbanding metod belajar hadith yang saya pernah pelajari.
Sekiranya diizinkan Allah, tim ini akan menerbitkan bukunya pada akhir tahun ini, dan pada tahun hadapan, kita akan mula memasarkan modul-modul yang dihasilkan ke syarikat-syarikat. Semoga dengan usaha kecil ini, dapat menambahkan lagi rasa cinta kepada Nabi Muhammad, dan dapat merubah masyarakat Islam dan dunia. Amin.
15 Tip Mudah Bangun Subuh
07 Sep 2011 Leave a Comment
in Koleksi Tip & Petua Tags: tip mudah bangun subuh
Salamun alaikum…Semoga kesihatan dan kesejahteraan melimpahi hari tuan-puan semua.
Dengan nama Allah yang sangat pengasih dan sangat mengasihani.
Hari ini saya berkongsi tip mudah bangun subuh, tip yang sebahagiannya saya perolehi dari satu buku yang sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Buku tersebut bertajuk 21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh, ditulis oleh Syeikh Muhammad Shalih Al-Munajjid dan Syeikh Murid al-Kullab. Sebahagian tip pula saya perolehi hasil pengalaman saya sendiri. Tip ini juga saya pernah kongsikan di Facebook saya. Selamat membaca!
1. Tip Mudah Bangun Subuh | Elakkan membuat maksiat pada siang harinya. Sekiranya ada, solat sunat taubat sebelum tidur.
2. Tip Mudah Bangun Subuh | Sebelum tidur, bacalah Tasbih Fatimah iaitu tasbih 33x, tahmid 33x dan takbir 34x
3. Tip Mudah Bangun Subuh | Elakkan mengunci jam terlalu awal. Kunci jam mendekati waktu subuh supaya sempat bersolat malam sementara menunggu subuh.
4. Tip Mudah Bangun Subuh | Elakkan tidur terlalu banyak pada waktu siang terutamanya waktu selepas asar dan maghrib.
5. Tip Mudah Bangun Subuh | Elakkan makan dengan banyak sebelum tidur. Nanti buncit!
6. Tip Mudah Bangun Subuh | Elakkan berjaga malam terlalu lama.
7. Tip Mudah Bangun Subuh | Gunakan jam loceng atau handphone bagi mengejutkan kita.
8. Tip Mudah Bangun Subuh | Mohon hidayah Allah dan bantuan malaikat bagi mengejutkan kita.
9. Tip Mudah Bangun Subuh | Mohon ahli keluarga atau rakan yang baik mengejutkan kita.
10. Tip Mudah Bangun Subuh | Baca ucapan pujian kepada Allah selepas bangun tidur.
11. Tip Mudah Bangun Subuh | Bertekadlah untuk bangun bersolat subuh. Awas, sekiranya kita tidak berniat mahu bangun, dan kita memang tidak bangun kemudiannya, kita dikira berdosa besar.
12. Tip Mudah Bangun Subuh | Sebelum tidur, ambil wuduk dan berzikirlah sehingga tertidur.
13. Tip Mudah Bangun Subuh | Tidurlah mengikut sunnah Nabi. Jangan tidur ikut suka hati dan syaitan.
14. Tip Mudah Bangun Subuh | Tidur sebentar pada waktu siang, memudahkan kita bangun waktu subuh.
15. Tip Mudah Bangun Subuh | Tidur awal supaya dapat bangun awal.
12 Tip Menterjemahkan al-Quran
07 Sep 2011 1 Comment
Salamun Alaikum.
Salam sejahtera kepada kalian, semoga Allah mengurniakan kesihatan berpanjangan. Amin.
Dengan nama Allah yang sangat pengasih dan sangat mengasihani.
Pada hari ini, saya mahu berkongsi tip-tip bagaimana menterjemahkan Al-Quran. Projek yang saya usahakan bersama PTS, merupakan projek terjemahan al-Quran bagi saudara baru, justeru, tip-tip yang diberikan ini sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan projek tersebut.
Tip ini disalin daripada perkongsian saya di laman Facebook saya. Ada juga tip yang saya tidak pernah tampalkan di sana. Selamat membaca!
Tip 1
Tip Menterjemahkan al-Quran | Dapatkan bantuan secara rohani daripada Allah. Selain itu, mohon doa dan mohon sahabat-sahabat bersolat sunat khas bagi membantu kita memperoleh bantuan secara maya. Justeru, saya mohon doa dan solat sunat hajat daripada sahabat-sahabat supaya memudahkan kerja-kerja terjemahan al-Quran yang sedang saya jalankan. Moga Allah membalasnya berlipat kali ganda. Amin.
Tip 2
Tip Menterjemahkan al-Quran | Sentiasa berwuduk dan sentiasa ingat kepada Allah. Lazimi solat sunat seperti solat Dhuha dan Tahajjud supaya lebih mudah menterjemah dengan minda dan hati yang bersih.
Tip 3
Tip Menterjemahkan al-Quran | Sebelum mula menterjemah, baca surah tersebut secara lengkap terlebih dahulu. Baca pula terjemahannya. Selepas itu, apabila mula menterjemah, baca keseluruhan ayat dengan lengkap. Fahamkan isinya dan maknanya, dan terjemahkan mengikut gaya bahasa yang mudah difahami, dan bersesuaian dengan objektif projek kita.
Tip 4
Tip Menterjemahkan al-Quran | Banyakkan meminum air masak ataupun air mineral bagi melancarkan pergerakan fikiran dan meningkatkan kandungan oksigen dalam darah. Kelancaran terjemahan bergantung kepada kekuatan fikiran dan kesediahan tubuh menghadap skrin komputer dan menghadap buku tulis.
Tip 5
Tip Menterjemahkan al-Quran | Gunakan kaedah KJ metod bagi menterjemahkan al-Quran kerana al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat dan bertaburan. Sekiranya kita menterjemahkan secara linear, iaitu berturutan dari surah Al-Fatihah sehingga Surah An-Nas, usaha kita lebih mudah terbantut di pertengahan jalan.
Tip 6
Tip Menterjemahkan al-Quran | Sekiranya merasa buntu di mana-mana pertengahan surah, teruskan pula dengan surah yang lain. Adakalanya, cerita dan ayat lain lebih senang dan sedap diterjemahkan berbanding yang sedang kita usahakan.
Tip 7
Tip Menterjemahkan al-Quran | Pada peringkat awal, menterjemahkan al-Quran sungguh sukar dilakukan, dan memerlukan lebih banyak penggunaan kamus, glosari, tesaurus bahasa, dan tafsir lain. Namun, selepas menterjemahkan sekitar 25 muka surat, penterjemahan menjadi lebih mudah dan lancar.
Tip 8
Tip Menterjemahkan al-Quran | Elakkan melakukan kesilapan ejaan mahupun tatabahasa seboleh yang mungkin. Hal ini disebabkan, menyemak tatabahasa dan ejaan bagi sebuah buku sekitar lebih 600 muka surat, bukanlah sesuatu yang mudah. Sikap hati-hati ini juga membantu dan mempermudahkan tugas editor al-Quran nanti, menyemak dan mempruf terjemahan yang kita lakukan.
Tip 9
Tip Menterjemahkan al-Quran | Bagi menterjemahkan al-Quran, sekurang-kurangnya kita memerlukan ilmu asas berkenaan al-Quran itu sendiri. Ilmu ini boleh didapati melalui pengajian, pembacaan, berguru, berbincang mahupun melalui pengalaman kita sendiri. Sebaik-baiknya, kita mendalami bahasa Arab, dan ilmu berkaitan, supaya kita lebih mudah memahami gaya bahasa Al-Quran.
Tip 10
Tip Menterjemahkan al-Quran | Pastikan bahasa yang kita gunakan adalah bahasa terjemahan yang mudah difahami oleh pembaca. Sekiranya pembaca tidak mahu membaca al-Quran, malah lebih teruk lagi menjauhi al-Quran disebabkan oleh terjemahan buruk yang kita lakukan, ada kemungkinan besar dosanya kita akan tanggung. Kita tidak mahu pembaca buku Allah yang penuh dengan hidayah ini, menjadi terhijab hanya disebabkan terjemahan yang sukar difahami.
Tip 11
Tip Menterjemahkan al-Quran | Dapatkan khidmat pakar tafsir dan pakar terjemahan bagi menyemak terjemahan yang kita lakukan. Semakan yang mereka lakukan, akan meningkatkan kredibiliti terjemahan kita, sekaligus menjadi penyemak imbang bagi terjemahan kita. Sekiranya kita tidak mampu mendapatkan khidmat mereka, mintalah pandangan rakan-rakan yang tinggi ilmu agamanya terutamanya dalam bidang tafsir, bagi memberi pandangan kedua terhadap terjemahan yang kita lakukan.
Tip 12
Tip Menterjemahkan al-Quran | Terdapat 4 cara bagi menerangkan maksud istilah atau perkataan tertentu atau konteks tertentu di dalam al-Quran.
- Memasukkan makna secara langsung ke dalam ayat. Contohnya : “..orang yang beriman, iaitu orang yang percaya kepada Allah,…”
- Memasukkan maknanya ke dalam nota kaki di bawah muka surat. Contohnya, “…orang yang beriman1….”
___
1 Orang yang beriman ialah orang yang percaya kepada Allah, kepada hari akhirat, kepada para malaikat, kepada para utusan Allah, kepada buku-buku Allah yang diturunkan kepada utusan-Nya dan kepada ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. - Memasukkan maknanya ke dalam nota belakang bab, atau lebih dikenali sebagai end note.
- Memasukkan maknanya ke dalam nota akhir buku.
Cara 1 lebih disukai oleh pembaca, manakala cara 4 paling dibenci oleh mereka.






Komen Terkini