04 Jan 2012
by wewr
in Koleksi Tip & Petua, Mantera Sastera
Tags: buku kita, menulis, royalti
Sebagai penulis, terutamanya penulis yang baru sahaja menulis dan masih lagi mencari rentak dalam penulisan, kita sering diburu dengan rasa ketakutan dari dalam diri. Penulis yang baru, cenderung merasakan bahawa karya mereka tidak akan diterima orang, karya mereka masih terlalu banyak kekurangan dan seribu satu kelemahan lain.
Antara contoh ketakutan yang biasa dialami oleh penulis-penulis adalah seperti berikut :
- Malu karya tersiar.
- Bimbang karya dikritik oleh pakar.
- Bimbang karya dicemuh dan dianggap sampah.
- Tidak suka menjadi popular dan menjadi buah mulut orang.
- Malu diusik orang yang mengenali kita.
- Takut sekiranya karya tidak laku dan tidak mendapat sambutan.
Kesannya, penulis akan mengedit karya terlalu banyak dan terlalu kerap. Justeru, akhirnya penulisan akan terhenti ataupun buku yang ingin dihasilkan tidak siap sama sekali. Apabila buku tidak siap, maka kita tidak dapat menghantarnya kepada penerbit bagi diterbitkan, pencetak tiada bahan bagi diterbitkan, pembaca juga tidak dapat manfaat daripada buku kita, dan semestinya kita tidak dapat royalti buku itu.
Tip 1 : Karya Kita Bukanlah al-Quran.
Ya. Karya kita bukanlah al-Quran yang sempurna. Sudah pasti, karya kita mengandungi kelemahan dan kekurangan, selaras dengan sifat kita sebagai manusia, bukan Pencipta.
Jika kita mengesan sebarang kelemahan, dan kita mampu memperbaikinya, dan kesalahan itu melibatkan isi yang penting, maka kita boleh memperbaikinya.
Terlalu sempurna bukanlah sifat bagi buku yang dihasilkan oleh yang bernama manusia.
Tip 2 : Teruskan Menulis dan Menulis.
Teruskan menulis dan menulis. Perbetulkan isi dan isu, selepas selesai menulis. Elakkan mencantas perjalanan idea dan menghentikan proses berfikir yang lancar semasa kita sedang menulis. Sekiranya proses ini terbantut, penulisan pun akan terbantut.
Selepas kita merasakan buku atau bab yang kita tulis itu sudah selesai, barulah kita berikan masa bagi memperbaiki dan memperbetulkannya pula.
Tip 3 : Mencincang dan Mencantikkan Karya adalah Tugas Editor.
Tugas penulis adalah menulis dan menghasilkan buku. Kadangkala, sebagai penulis, kita tidak nampak apa-apa kekurangan dan kelemahan buku kita. Kadangkala juga, kita sebagai penulis, asyik nampak kekurangan dan kelemahan buku kita.
Apa solusinya? Hantar kepada editor ataupun orang yang kita boleh percayai, sebagai penyemak kedua. Pastikan buku yang kita hantar itu sudah boleh dikategorikan sebagai buku yang sudah siap.
Tip 4 : Kenalpasti Ketakutan Kita. Berdialog Dengannya.
Ketakutan kita terhadap sesuatu yang kita tidak tahu dan jahil mengenainya, kadangkala menimbulkan masalah yang kita sendiri tidak pasti apa dia. Apa kata, kita cuba merangka penyelesaian bagi ketakutan kita itu? Cubalah berdialog dengan diri kita sendiri.
Saya : Mengapalah saya tidak dapat menyiapkan buku ini? Apa masalahnya?
Ketakutan : Sebab sekiranya awak mengatakannya sebagai ‘sudah siap’, awak mungkin akan perasan kelemahan-kelemahannya. Kalau buku itu tidak pernah siap, awak tidak perlu menghantarnya kepada editor, dan awak takkan mengetahui apa kelemahan-kelemahan buku awak. Jadi awak lebih selamat begitu.
Saya : Apa masalahnya sekiranya orang lain tahu buku saya itu buku yang tidak bagus?
Ketakutan : Nanti orang akan anggap awak sebagai penulis yang tidak bagus!
Saya : Berdasarkan persepsi siapa?
Ketakutan : Orang yang membacanya. Penerbit yang mungkin menolak buku saya.
Saya : Tetapi, bukankah dengan menyiapkan buku saya, dan mendapatkan maklum balas berkenaan buku saya itu, sama ada bagus atau tidak bagus, dapat membantu saya menambah baik buku saya, supaya saya dapat melangkah lebih jauh ke arah matlamat saya sebagai penulis?
Ketakutan : Betul juga, ya? Hmmm….
Tip 5 : Fokuskan Kepada Proses Penulisan, Bukan Hasil yang Sempurna.
Penulisan mempunyai prosesnya sendiri. Daripada proses mendapatkan kajian dan idea, sehinggalah kepada proses membukukan idea dan dapatan kita itu.
Bagi mengatasi ketakutan kita, fokuskan pada proses penulisan yang betul dan tepat. Ikuti langkah-langkahnya. Jangan fikirkan berkenaan hasilnya nanti sama ada bagus ataupun tidak. Biarkan editor yang fikirkan sama ada hasil itu sesuai diterbitkan ataupun tidak.
Sekiranya hasil penulisan kita itu nanti sesuai diterbitkan, editor akan berkata “Bagus!” . Jika tidak, editor akan memulangkan dan mencadangkan penambah baikan. Baiki dan hantar semula. Sehinggalah editor berkata, “Bagus!”.
Tip 6 : Fokuskan Kepada Matlamat Penulisan dan Apa yang Ingin Dicapai.
Adakah kita penah menulis sehelai kertas yang mengandungi matlamat-matlamat penulisan kita? Ingatkah lagi apa matlamat yang kita tulis sewaktu kita mula-mula menulis? Sekiranya belum ada, tulis sekarang. Ya, sekarang!
Sudah tulis matlamat penulisan kita?
Adakah buku yang sedang kita tulis itu berkaitan dengan matlamat penulisan kita dan dapat mencapai matlamat penulisan kita?
Jika ya, teruskan menulis. Jika tidak, berhenti dahulu. Semak semula matlamat kita dan teruskan kemudian selepas setting matlamat sudah betul.
Tip 7 : Tukar Persepsi Negatif Kepada Persepsi Positif.
Kadangkala, manusia sering berfikiran negatif lebih banyak berbanding berfikiran positif. Hal ini menyebabkan apa sahaja percubaan kita mahu melakukan sesuatu yang baru, dianggap mustahil dilakukan. Sehinggakan diri kita tidak berani keluar dari kepompong keselesaan. Inilah yang dikatakan sebagai pesimistik. Apa yang difikirkan, akan menjadi satu doa dan penarik aura.
Jika yang baik didoakan, maka yang baiklah yang akan datang. Jika yang buruk, maka yang buruklah yang bertandang.
Gejala pesimistik bukan sahaja dapat mecarik peluang dan ruang kita sebagai penulis, malah dapat menyerang kita hingga ke sudut terpencil daripada masyarakat. Justeru, dengan menukar persepsi diri daripada negatif kepada positif, kita dapat keluar dari zon selesa hidup kita.
Contoh :
Takut sekiranya karya tidak laku dan tidak mendapat sambutan
TUKAR
Gembira karya kita sangat laku dan sangat laris di pasaran.
Tip 8 : Cium Bau Ganjaran Penulisan yang akan Diperolehi.
Terdapat pelbagai jenis ganjaran yang diperolehi daripada penulisan. Ada ganjaran berbentuk dalaman, dan ada juga ganjaran berbentuk luaran.
Ganjaran berbentuk instrinsik adalah seperti rasa puas dapat menulis, rasa gembira apabila pembaca berubah ke arah yang lebih baik selepas membaca buku kita dan banyak lagi motivasi dalaman yang kita perolehi.
Manakala ganjaran berbentuk ekstrinsik pula adalah ganjaran luaran seperti hadiah, royalti, anugerah penulisan, honorarium, nama terpampang di akhbar dan pujian orang ramai.
Bagi mendapatkan bau ganjaran penulisan, kita perlu membayangkan apakah ganjaran yang akan kita perolehi nanti. Dengan membayangkan kita akan mendapat ganjaran itu, kita dapat menggerakkan tubuh kita berusaha mengelakkan kebimbangan, dan terus bersikap positif semasa menulis. Insya-Allah.
Tip 9 : Fikirkan Kejayaan Penulis-penulis lain Mengatasi Ketakutan Mereka.
Kita tidak pernah keseorangan dalam bidang penulisan. Sudah ada jutaan manusia yang pernah mengalami dan merasai pengalaman menulis dan ketakutan yang sama. Bacalah pengalaman mereka. Fikirkan kejayaan-kejayaan yang mereka kecapi sesudah berjaya mengatasi kebimbangan mereka. Fikirkan kekuatan yang mereka perolehi selepas mereka mendapat kejayaan-kejayaan tersebut.
Jika kita mampu, bertanyalah dengan mereka. Dapatkan tip dan panduan daripada mereka.
Tip 10 : Sentiasa Tingkatkan Ilmu Berkenaan Penulisan, dan Bidang Berkaitan.
Ketakutan wujud apabila kita berada dalam situasi tidak tahu. Contohnya, kita takut untuk terlibat secara aktif dengan promosi buku anjuran penerbit, kerana kita bimbang kita tidak dapat bercakap kepada khalayak dengan baik.
Atasi ketakutan itu dengan bertanya dan mengambil tahu. Meluaskan pembacaan berkenan bidang penulisan juga dapat mengurangkan kebimbangan yang kita alami.
Like this:
Be the first to like this post.
14 Nov 2011
by wewr
in Uncategorized
Tags: editor, kerja baru, penerbitan buku, perolehan buku, training
Ya!
Secara rasminya, saya sudah masuk melaporkan diri di tempat kerja baru. Di sebuah syarikat buku yang sedang membina namanya dan sedang rancak membangun…
Saya menjadi salah seorang editor perolehan. Insya-Allah, dengan semangat baru dan peluang yang diberikan, saya akan laksanakan tanggungjawab saya sebaik mungkin.
Selepas ini, saya akan sentiasa bermain dengan dunia training, tukul penulis, dunia penerbitan buku, cincang manuskrip, bedah buku, bina konsep, ikut orang pergi training, coaching penulisan, dan banyak lagi.
Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati saya apabila diberikan peluang ini…Alhamdulillah…
Terima kasih kepada Tuan Mazni Al-Irfan Jani dan Tuan Fazrul Ismail kerana memberikan peluang. Syukurrr…
Like this:
Be the first to like this post.
28 Oct 2011
by wewr
in Uncategorized
Kali ini saya konon-kononnya mahu mendoodle. Apa itu doodle? Mohon google. Keh keh keh…

Like this:
Be the first to like this post.
28 Oct 2011
by wewr
in Terjemahan Al-Quran
Tags: bahan bacaan., kasih sayang allah, makna perkataan, saudara baru
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Mudah-mudahan tuan puan berada dalam keadaan yang sihat, serta di bawah lembayung kasih sayang Allah selalu.

Kali ini saya akan menyambung penulisan berkenaan 20 Idea Projek berkenaan al-Quran yang saya tulis siri pertamanya tempoh hari. Maafkan saya kerana agak terlambat menyambungnya.
9) Ulum al-Quran Dalam Bentuk Baru. Ulum al-Quran, iaitu ilmu-ilmu berkenaan al-Quran sangat penting dipelajari oleh orang awam, bukan oleh pelajar agama sahaja. Hal ini disebabkan, bagi memudahkan mereka memahami dan memanfaatkan al-Quran, mereka perlu memahami nature al-Quran itu sendiri, berdasarkan ilmu-ilmu yang banyak ditulis oleh para ulama’ silam. Namun, situasi pada zaman sekarang ialah, pertama, kebanyakan buku mengenai ilmu-ilmu Quran ini masih lagi tersimpan kemas di dalam bahasa Arab. Kedua, buku-buku mengenai ilmu-ilmu Quran ini sudah pun diterjemahkan, namun gaya bahasanya tidak menarik minat pembaca bagi membacanya. Ketiga, penghasilan buku-buku berkaitan ilmu ini, seolah-olah terhenti setakat perbahasan ulama’ silam sahaja, iaitu tidak banyak ilmu baru yang dihasilkan. Ilmu-ilmu ini, perlu ditulis semula dalam bentuk yang menarik minat pembaca, misalnya dalam bentuk game book, ataupun questionnaire, word search, puzzle dan sebagainya. Boleh juga dihasilkan dalam bentuk flash card, buku bergambar, peta minda, carta, jadual dan lain-lain.
10) Buku-buku Panduan Menghafaz al-Quran. Buku ini bukan sekadar memaparkan tip-tip menghafaz al-Quran, malah menampilkan beberapa teknik praktikal yang boleh digunakan oleh pelajar-pelajar tahfiz, malah orang awam yang mahu menghafaz al-Quran.
Contoh tajuknya :
10 Tip Menghafal al-Quran dengan Cepat dan Mudah.
Realisasikan Impi Menghafal al-Quran Bagi Orang Yang Sibuk.
11) Siri Buku Biografi Tokoh-tokoh berkenaan al-Quran. Siri ini boleh mengandungi puluhan malah ratusan biografi berkenaan tokoh-tokoh ilmuwan dalam pengajian al-Quran. Siri ini boleh merangkumi tokoh dalam bidang penerbitan al-Quran, penulisan al-Quran, tokoh periwayatan, tokoh qari, tokoh penterjemah al-Quran, tokoh ilmuwan dalam bidang berkenaan al-Quran dan lain-lain.
12) Diari Penurunan al-Quran. Lazimnya, kita hanya mengetahui beberapa ayat atau surah yang pertama dan terakhir diturunkan dalam al-Quran. Namun, kita tidak mengetahui ataupun mengambil tahu perbahasan dan ilmu lebih lanjut berkenaan penurunan al-Quran. Diari ini akan mengulas penurunan al-Quran surah demi surah, berdasarkan peristiwa dan timeline turunnya. Justeru, pembaca dapat menghayati bagaimana perjalanan kehidupan Nabi dan penurunan al-Quran.
13) Buku Manual Bagi Penerbit dan Pencetak al-Quran. Buku ini boleh dihasilkan dengan gabungan pengalaman penerbit-penerbit dan pencetak al-Quran. Manual ini menjadi satu ilmu yang berharga kerana perkongsian pengalaman penerbit dan pencetak al-Quran ini dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai penerbit lain, yang mahu turut menyumbangkan usaha mereka dalam mengembangkan lagi percetakan al-Quran. Antara topik yang boleh dimasukkan ialah, perlesenan terjemahan, penyusunan layout dalaman, rekaan khat, seni pakejing al-Quran, isu-isu berbangkit dalam percetakan dan penerbitan, isu halal haram, pelupusan bahan bercetak yang rosak, pelaburan modal dan lain-lain.
14) Ensiklopedia Bergambar al-Quran. Ensiklopedia ini menerangkan berkenaan sejarah penurunan al-Quran dan mushaf-mushaf yang pernah dicetak dan ditulis tangan sejak dahulu sehingga kini. Dalam ensiklopedia ini juga, kita boleh meletakkan siri soal jawab lazim berkenaan al-Quran.
15) Siri Buku Ideator al-Quran. Buku ini lebih sesuai dibuat dalam bentuk buku kecil ataupun ebook. Ideator ialah orang yang mendapat idea. Kita tahu bahawa al-Quran adalah sumber ilmu dan sumber idea terhebat. Buku ini memaparkan tip-tip bagaimana memperolehi idea, ilham dan sumber ketenangan yang hebat melalui al-Quran.
16) TV al-Quran edisi Internet, yang berbahasa Melayu. Dalam perkembangan teknologi yang pantas ini, kita memerlukan TV internet al-Quran yang mudah dilayari oleh pelbagai peringkat umur. TV al-Quran ini adalah alternatif bagi TV-TV internet, iaitu IP TV yang ada di pasaran sekarang. Justeru, disebabkan kurangnya bahan berbentuk Islamik dalam pengisian IPTV, maka kita perlukan TV al-Quran ini, supaya dapat mengisi hati-hati yang gersang, dan supaya dakwah Islamiah dapat sampai ke setiap rumah di seluruh pelusuk dunia!
17) Mengenali Tafsir. Ramai orang tidak mengenali buku-buku tafsir, Buku tafsir mana yang bagus, buku tafsir mana yang tidak bagus. Apa pegangan dan metod penulisan tafsir seseorang penulis tafsir, adakah tafsir itu boleh diterima ataupun bercanggah berdasarkan pandangan ulama. Dan banyak isu lagi yang perlu dikupas, supaya masyarakat dapat memilih tafsir yang tepat sebagai permulaan, dan mengelakkan tafsir yang sukar serta tidak disyorkan.
18) Fadilat Surah-surah di dalam al-Quran. Surah-surah di dalam al-Quran mengandungi fadilat ataupun kelebihannya masing-masing. Kebanyakan kelebihan ini disebut dalam hadis-hadis yang sohih. Namun, kita perlu berhati-hati berkenaan hadis-hadis yang direka berkenaan kelebihan surah-surah ini. Justeru, buku ini perlu disusun berdasarkan kelebihan yang diperakui oleh hadis sahih, dan menyebutkan juga hadis-hadis yang tidak sahih malah palsu.
19) Mukjizat al-Quran berbicara. Mukjizat adalah sesuatu yang luar biasa, yang membuatkan manusia mengakui bahawa orang ataupun kitab yang didatangkan sebagai mukjizat itu adalah sesuatu yang benar-benar datang dari Tuhan. Al-Quran dipenuhi dengan mukjizat, sama ada yang sudah berlaku, mahupun yang akan berlaku. Penulisan buku ini memperkenalkan kepada pembaca, jenis-jenis mukjizat di dalam al-Quran, contoh-contoh yang sudah berlaku, persamaan situasi di dalam al-Quran dengan realiti semasa dan pelbagai perkara lain.
20) Kamus Topikal al-Quran. Al-Quran mengandungi pelbagai jenis topik. Setiap topik itu disebut merata-rata di dalam al-Quran. Justeru, kamus topikal ini memudahkan pengkaji dan masyarakat, yang mahu mendalami al-Quran melalui topik-topik tertentu.
Artikel siri pertama mendapat respon yang baik daripada beberapa orang pembaca dan editor. Alhamdulillah, bagi saya, idea yang saya paparkan ini tidak semestinya saya sendiri yang akan menuliskan ataupun merealisasikannya. Saya melontarkan idea, sekiranya ada pihak yang sudi menyambut dan mahu perbincangan lebih lanjut, saya sudi bekerjasama.
Saya berfikir-fikir, pada tahun hadapan, saya sudah penuh dengan projek-projek yang akan saya jalankan. Namun, saya mahu menyediakan sedikit ruang bagi salah satu projek berkenaan al-Quran ini.
Justeru, saya mencari sesiapa yang berminat untuk menyertai tim projek berkenaan al-Quran ini, yang akan memulakan pengkajiannya pada tahun hadapan. Hanya 5 orang sahaja. Sekiranya anda berminat, mohon emelkan sedikit maklumat diri, seperti nama, pengajian, pengalaman, nombor telefon dan emel, ke asyraffdini@gmail.com.
Semoga bermanfaat. Terima kasih kerana sudi membaca.
Wassalam
Like this:
Be the first to like this post.
24 Oct 2011
by wewr
in Terjemahan Al-Quran
Tags: bahan bacaan., kasih sayang allah, makna perkataan, saudara baru
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Mudah-mudahan tuan puan berada dalam keadaan yang sihat, serta di bawah lembayung kasih sayang Allah selalu.

Projek terjemahan al-Quran yang saya usahakan bersama PTS kini sudah hampir ke penghujung. Cuma tinggal 12 surah sahaja yang belum lengkap dan sempurna. Sebahagian besarnya sudah saya mulakan dan gerakkan terjemahannya. Namun, masih belum lengkap sehingga ke akhir ayat setiap surah. Mohon doa sahabat-sahabat pembaca dan tuan puan yang budiman agar terjemahan al-Quran untuk saudara baru ini berjaya disiapkan, dan kesilapan dapat diminimumkan. Amin…
Dalam pada melaksanakan terjemahan al-Quran ini, otak saya selalu ligat berfikir idea-idea berkenaan projek al-Quran. Hal ini disebabkan, masih banyak lagi ruang kosong yang perlu diisi, terutamanya bagi bahan bacaan pembaca jenis Fasa Mekah, dan pembaca Generasi Y. Mari kita lihat, apakah idea-idea yang terhasil sepanjang tahun ini…Mana tahu, ada di antara idea-idea ini boleh direalisasikan pada masa akan datang.
1) Kamus al-Quran. Kamus ini fokusnya kepada setiap perkataan yang disebut di dalam al-Quran. Boleh kita katakan sebagai terjemahan ataupun edisi bahasa Melayu bagi buku Mu’jam Mufahras Li Alfazil Qur’an. Fungsi kamus ini adalah memudahkan pembaca mencari apa sahaja perkataan yang disebut di dalam al-Quran, dan kamus ini akan menunjukkan ayatnya. Kamus ini berbeza sedikit berbanding Kamus al-Quran yang diterbitkan oleh PTS dan diusahakan oleh Prof Madya Dr. Zulkifli Mohd Yusoff dan rakan-rakan, kerana fungsinya bukanlah untuk memahami makna perkataan, tetapi lebih kepada fungsi carian. Kamus ini boleh meraikan beberapa jenis terjemahan yang ada di pasaran.
2) Novel berkenaan al-Quran. Apa? al-Quran mahu dibuat novel? Bagaimana? Novel berkenaan al-Quran ini mengandungi cerita yang kita ambil wataknya daripada al-Quran (optional), dan kita ciptakan jalan ceritanya, sama ada berdasarkan al-Quran ataupun tidak. Objektif novel ini adalah mengangkat tema-tema dan pembelajaran berkenaan al-Quran. Selain memperkenalkan pembaca kepada sebahagian kandungan al-Quran, pembaca juga dapat menghayati isu-isu berkaitan al-Quran.
3) Al-Quran Miracle 22 in 1 dalam bentuk e-book. Idea ini adalah antara idea yang paling saya suka, kerana sekiranya kita dapat mendigitalkan al-Quran Miracle ini, dengan mempermudahkan lagi bahasa yang digunakan, saya yakin ia akan menjadi most downloaded e-book ataupun best seller apps dalam pasaran. Konsep e-book al-Quran Miracle ini adalah, pembaca akan menghayati ilmu-ilmu al-Quran dengan cara menerokainya seperti game book. Hanya dengan klik ataupun sentuhan, satu-satu ayat itu dapat dikupas dan digali lebih mendalam maknanya. Contohnya, bagi satu ayat, kita boleh sentuh pada perkataan yang tidak kita fahami, kemudian popup kamus akan keluar. Kemudian ada huraian daripada tafsir yang boleh kita pilih untuk membacanya. Kemudian ada pula pautan sebab turunnya ayat itu. Dan pelbagai jenis lagi pautan pada satu ayat…Seronoknya pengalaman membaca ebook al-Quran seperti ini.
4) Indeks Buku-buku berkenaan al-Quran. Pada zaman Nabi, mushaf al-Quran masih belum dibukukan. Lalu, pada zaman sahabat, lembaran-lembaran al-Quran mula dikumpulkan dan disusun. Justeru, semakin lama semakin banyak buku yang berkembang berkenaan al-Quran. Kemuncaknya pada zaman sekarang, kita dapat melihat ratusan buku yang ditulis hanya berkenaan al-Quran. Penyusunan Indeks ini boleh dilakukan dengan dua atau tiga cara, sama ada secara timeline/kronologi, mengikut alphabet nama buku ataupun mengikut alphabet nama penulisnya.
5) Buku Motivasi al-Quran. Kita seringkali menghadapi kesukaran dalam hidup, dan hidup kita kadangkala tidak seindah yang diimpikan. Buku motivasi al-Quran hadir untuk memberikan cahaya dalam kehidupan, dan memberikan jalan keluar kepada masalah hidup yang kita hadapi. Tajuk cadangan :
Ajaibnya al-Quran
Dahsyatnya al-Quran
Indahnya Hidup di Bawah Kasih al-Quran.
6) Buku Panduan Membina Pusat Mengajar al-Quran. Fokus buku ini adalah bagaimana membina sebuah konsultan ataupun pusat pengajian al-Quran, sama ada secara swasta, berdasarkan sumbangan orang ramai, ataupun mendapat bantuan kerajaan. Buku ini mendapat inspirasi daripada Jam’iyyah Muhafazah alal Quran, iaitu Pertubuhan Menjaga al-Quran di Jordan, yang mempunyai banyak cawangan di serata Jordan. Pertubuhan ini ditubuhkan oleh sukarelawan seluruh Jordan, dan bernaung di bawah parti Ikhwan, sebagai NGO. Dalam masa yang sama, mereka mempunyai pelbagai aktiviti seperti menganjurkan sistem pengajian Quran, menubuhkan NGO-NGO berkaitan al-Quran dan membuat penerbitan pelbagai tajuk buku berkenaan al-Quran. Salah satunya adalah berkenaan panduan membina pusat mengajar al-Quran.
7) Terjemahan Tafsir. Kita masih perlukan terjemahan tafsir yang masih kurang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu moden. Naskhah tafsir yang banyak berada di pasaran, adalah tafsir yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, justeru banyak istilah dan pemahaman yang berbeza diperolehi apabila membaca tafsir itu. Sekiranya pun ada buku tafsir al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, namun kebanyakannya sudah dikira menggunakan bahasa Melayu klasik, yang sukar difahami oleh masyarakat moden kita pada hari ini.
8) Diari Aku dan al-Quran. Saya tidak ingat saya baca di mana, tetapi ada seorang mualaf yang masuk Islam, hanya kerana setiap hari dia berdebat dengan al-Quran. Apa yang dimaksudkan dengan istilah berdebat dengan al-Quran? Berdebat dengan al-Quran bermaksud, kita menimbulkan persoalan, dan kita memohon Allah menjawabnya melalui al-Quran. Pengalaman debat seperti ini sangat penting dibukukan, kerana dari situ kita akan dapat memahami agama ini, dan memahami sifat al-Quran itu sendiri, berdasarkan gaya al-Quran yang tersendiri.
Cukup setakat itu dahulu. Ada banyak lagi ideanya, insya-Allah saya akan sambung pada masa yang lain.
Semoga bermanfaat. Terima kasih kerana sudi membaca.
Wassalam
Like this:
Be the first to like this post.
13 Sep 2011
by wewr
in Koleksi Tip & Petua
Salamun alaikum.
Semoga kesejahteraan dan keselamatan melimpahi dunia tuan puan dan akhiratnya juga. Allahumma amin…
Pada hari ini saya ingin berkongsi tip menjimatkan perbelanjaan di hipermarket. Pada masa sekarang, kewujudan hipermarket sangat meluas, dan mulai masuk ke pinggir-pinggir bandar dan bandar satelit. Justeru, semakin ramai yang terkena perangkap hipermarket.
Ramai orang beranggapan, membeli-belah di hipermarket lebih murah dan lebih jimat, kerana kita dapat membeli murah dan dapat lebih banyak. Namun, ramai yang tidak menyedari, ungkapan ‘jimat apabila beli banyak’ ini sebenarnya memerangkap kita supaya membeli lebih banyak barangan melebihi keperluan kita. Kadangkala kita terpaksa membeli banyak, kerana kita tidak dibenarkan membeli sedikit. Oleh itu, di sini saya kongsikan beberapa tip menjimatkan belanja apabila kita berbelanja di hipermarket. Semoga bermanfaat!
10 Tip Jimat Belanja di Hipermarket
1) Gunakan wang tunai. Elakkan penggunaan kad kredit. Kad kredit membuatkan kita merasakan kita mampu membayar barangan yang dibeli, meskipun troli sudah penuh. Sedangkan, sekiranya kita menggunakan wang tunai, kita tidak mampu membayarnya. Statistik awal 2011 menunjukkan, lebih 50% golongan muda di bawah umur 35 tahun menjadi muflis disebabkan oleh perangkap kad kredit. Ingat, hipermarket mempunyai pelbagai taktik bagi memerangkap kita supaya membeli lebih banyak.
2) Gunakan bakul. Elakkan menggunakan troli, melainkan barang yang mahu dibeli itu sangat banyak dan tidak muat dimasukkan ke dalam troli. Mengapa kita perlu menggunakan bakul dan bukan troli? Kajian tingkahlaku pembeli menunjukkan, pembeli yang membawa troli kosong akan merasa malu kerana trolinya tidak penuh dan melihat pembeli lain memenuhkan troli. Justeru, pembeli tersebut cenderung memenuhkan trolinya sendiri meskipun wang yang dibawanya belum tentu cukup.
Jika perangkap jenis ini digabungkan dengan perangkap kad kredit, habislah kita!
Jika kita menggunakan bakul, kita cenderung untuk tidak menambahkan barangan ke dalamnya kerana beban bakul semakin berat. Oleh itu, wang kita pun jimat!
3) Dapatkan katalog hipermarket dan baucar diskaun dan percuma yang dikeluarkan setiap tahun. Dapatkan juga kalendar promosi hipermarket, supaya kita dapat merancang masa yang sesuai pergi membeli-belah. Promosi tempoh terhad seperti ini, membolehkan kita membeli barangan yang kita perlukan dengan menggunakan baucar. Namun, berhati-hati, kerana kita mungkin terperangkap untuk membeli barangan yang ditawarkan murah, meskipun kita tidak perlukannya, dan tidak menggunakannya dengan kuantiti yang banyak.
4) Gunakan kad ahli supaya lebih banyak mendapat diskaun. Hipermarket seperti Tesco dan Mydin, menawarkan kad keahlian bagi pemilik-pemilik bisnes. Sekiranya kita mempunyai kenalan atau ahli keluarga pemilik kedai runcit, mohon supaya mereka mendapatkan kad tambahan bagi kita. Harga barangan bagi pemilik kad seperti ini, jauh lebih murah berbanding kad keahlian biasa dan kad keahlian pengguna biasa. Dokumen yang diperlukan adalah salinan sijil SSM. Kita akan diminta mengisi borang keahlian dan membayar yuran tertentu.
5) Rancang perbelanjaan terlebih dahulu sebelum pergi ke hipermarket. Bagi barangan basah, pembelian boleh dibuat dalam tempoh dua minggu sekali atau seminggu sekali. Bagi barangan kering, pembelian boleh dibuat dalam tempoh sebulan sekali.
6) Bawa wang secukupnya sahaja, apabila kita ke hipermarket. Pastikan wang yang dibawa selaras dengan rancangan perbelanjaan yang kita buat.
7) Beli barangan di luar musimnya. Pada musim tertentu seperti musim perayaan, sesetengah hipermarket menaikkan harga barangan mereka, berbanding pada luar musim. Contohnya, sebelum hari raya, kuih raya dijual dengan harga yang tinggi. Tetapi pada malam raya, harga kuih raya jatuh mendadak. Sedangkan, kuih raya diperlukan bukan sahaja pada hari raya, tetapi juga pada hari-hari selepas raya, seperti untuk rumah terbuka dan lain-lain. Oleh itu, kita perlu membelinya pada waktu barangan itu masih murah.
8) Berhati-hati dengan barangan promosi murah. Sesetengah hipermarket meletakkan harga yang murah pada barangan stok lama, hampir tamat tarikh lupus, stok rosak dan tercemar. Periksa barangan terlebih dahulu sebelum membelinya.
9) Catitkan harga barangan di rak, pada kertas, dan bandingkan dengan harga di kaunter. Sesetengah hipermarket menipu pengguna apabila harganya tidak selaras. Justeru, kadangkala pengguna terpaksa membayar lebih tanpa disedari kerana perbezaan harga ini.
10) Baca doa masuk pasar sebelum kita memasuki hipermarket. Nabi Muhammad menggalakkan kita membaca doa masuk pasar sebelum masuk pasar. Apatah lagi dengan HIPERmarket yang sudah tentu lebih besar dan hebat perangkapnya. Membaca doa masuk pasar dapat mengelakkan kita meliarkan pandangan kepada pengunjung yang tidak menutup aurat, mengelakkan kita daripada terkena perangkap kewangan dan menjaga kita daripada nafsu membeli-belah apa yang tidak perlu. Juga mengelakkan kita lalai dalam tanggungjawab, seperti menunaikan sembahyang dan menjaga anak-anak.
Doa Masuk Pasar
Umar bin al-Khattab melaporkan, “Rasulullah berpesan, “Sesiapa masuk ke dalam pasar dan mengucapkan,
لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ حَيٌّ لاَ يَمُوْتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ.
“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, yang satu, tiada rakan lain bagi-Nya. Milik-Nya kerajaan, milik-Nya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan. Dialah yang hidup, tidak akan mati. Di tangan-Nya kebaikan. Dialah yang sangat berkuasa ke atas setiap perkara.”
Maka Allah akan menuliskan baginya sejuta kebaikan, dan menghapuskan darinya sejuta keburukan, serta membangunkan baginya sebuah rumah di syurga.’”
(Direkodkan oleh Tirmizi: 5/291 dan Al-Hakim: 1/538. Dan Al-Albani menyatakan,
hadith tersebut hasan dalam Sahih Ibnu Majah: 2/21
dan Shahih At-Tirmidzi: 2/152)
Like this:
Be the first to like this post.
Previous Older Entries
Komen Terkini