Buntu-buntu Awal Mei

Assalamualaikum…

Maafkan saya meninggalkan kalian tanpa entri baru dalam hampir sebulan, atau dah sebulan tepat pun. Saya dikejar buru-buru buntu peperiksaan dan projek bahas (tesis subjek) serta kerja-kerja rumah yang agak banyak. Baru saja usai peperiksaan pertengahan semester akhir bulan 4, awal bulan 5 ini sudah digertak buntu-buntu peperiksaan kedua (sepatutnya tiada, tapi ramai doktor yang suka adakan juga) yang mini berbanding peperiksaan pertengahan semester. 4 tesis subjek juga perlu dihantar. Lelah juga saya dikejar tarikh matinya. Belum dicampur 2 tawaran menulis lagi yang juga perlu diselesaikan pada akhir Mei.

Imtihan

Imtihan kalau mengikut mafhum dalam kamus Arab, adalah perbuatan membakar logam sehingga cair demi membuang sisa-sisa bukan logam padanya. Justeru, bila imtihan yang dilakukan berulangkali, akan menambah nilai  sesuatu logam itu, padu atau tidak. Seperti emas, dibakar beberapa kali hingga akhirnya membentuk logam emas yang padu, betul-betul tinggi nilainya.

Perkara imtihan ini disebut oleh Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 3, yang mana Allah menyatakan bahawa orang-orang beriman yang diuji dengan arahan Allah dan Rasul, merekalah orang yang diuji hati mereka agar menjadi bertaqwa, supaya mereka mendapat pahala dan keampunan yang besar.

Apabila direnung-renungkan kembali, mungkin imtihan perlu dilakukan beberapa kali, agar kefahaman terhadap sesuatu ilmu itu menjadi lebih mantap, dan kekal utuh di minda dan di jiwa setelah menjadi amalan. Peri pentingnya memahami sesuatu ilmu itu setelah belajar, apatah lagi ilmu agama, adalah kerana ilmu agama itulah yang harus diajarkan kepada masyarakat nantinya. Justeru, bagaimanalah kalau ilmu yang dipelajari tidak difahami dengan baik dan utuh malah disalahfahami pula?

Tesis

Tesis subjek adalah satu projek akhir semester yang saya suka buat. Cumanya, akhir-akhir ini baru saya dapat peluang untuk membuatnya. Tidak terlalu susah, cuma perlukan sedikit ketekunan dan kerajinan untuk menyusun, menganalisa dan menaip dengan cermat. Kalau malas, mungkin boleh tulis tangan. Cuma, keburukannya ialah, apabila tulisan tangan tidak dapat diedit sekiranya tersilap. Saya tidak mahu kertas tesis dipenuhi comotan liquid paper. Dalam kepeningan demi 4 buah kecermatan, dapatlah saya membikin tajuk kitab yang menarik. :) Saya kongsikan di bawah:

  • Tuhfatul Banin Fi Ma’rifah Pala Penin (tak tahu nak terjemah cemana)
  • Majma’ul Badrain Tamyizan Baina Suda’ Wal Migrain (Kumpulan bulan, pembeza pening kepala & migrain)
  • Raudhul Murabba’ Syarah Perut Lapar Murtabak (taman 4 segi, syarahan buat perut lapar murtabak)
  • I’anatud Darisin Li Man Kuat Bersin (bantuan pelajar bagi mereka yang kuat bersin)
  • Mafatihul Hasanat Fi Jasad Yang Penat (Kunci-kunci kebaikan bagi jasad yang penat)
  • Ittila’ul Budur Mukhtasar Kelip-Kelap Mata Nak Tidur (Kemunculan bulan-bulan, ringkasan mata terkelip-kelip mahu tidur)

Seronok pula bikin tajuk kitab. Ulama’-ulama’ zaman kurun ke-6 Hijrah ke atas, ketika zaman kemunduran fiqh, banyak membikin syarah dan mukhtasar kitab mazhab. Jadi, pada masa itulah muncul banyak tajuk kitab yang berbunyi seolah-olah bersajak. Atau bermetafora. Teman-teman serumah pula, ada yang acap kali bikin tajuk kitab sambil bersembang atau makan-makan. Cita-cita mereka hebat! Ada yang ingin tulis kitab Tafsir dalam ISA, ada yang mahu bikin kitab radd kitab kawan yang lagi satu dan macam-macam lagi. Moga cita-cita mereka tersalur pada realiti, dan hakiki, bukan sekadar sembang-sembang kala mengadap rezeki!

Karya

Seharusnya saya fokuskan sedikit masa saya untuk karya. Tapi akhir-akhir ini tak berkesempatan langsung. Saya sedang ubah jadual hidup saya agak bertepatan dengan masa sebagai hamba, pelajar, anak dan pembawa Quran. Agak susah bila kadangkala tak sempat buat semua sekali. Tapi saya mohon Allah susun jadual hidup saya agar lebih berkemampuan membuat semua perkara yang sepatutnya saya buat dalam usia yang telah melebihi suku abad ini. Han Ri jemput saya menyertai komik di Mesir. Saya ada bikin sajaknya, cuma belum ada follow up daripada Han Ri sendiri. Fahd Razy pula jemput saya menyertai Antologi 50 Penulis untuk GKLN. Insya-Allah saya akan hantarkan karya sedikit masa lagi. Dan, Ustazah Ummu Hani (yang telah buka kedai buku baru-baru ini di Tesco , Mergong,  Kedah), juga belum respon tentang  karya cerpen  untuk antologi  Jabatan Dakwahnya.

Saya berhasrat, dalam separuh tahun yang kedua ini, untuk menembusi media perdana. Tak dapat cerpen, dapat sajak pun sudah cukup berbaloi. Hasrat itu saya perlu tukar jadi azam. Saya tidak mahu menulis kerana antologi sahaja, dan tidak mahu menulis bermusim. Biarkan saya jadi penulis kerana ingin menulis dan kerana Allah. Hasrat kedua, saya ingin menterjemahkan beberapa buah buku kecil sebagai panduan mereka yang ingin mendekati Quran sebelum saya pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, saya telah jumpa beberapa buah buku kecil, yang sangat sesuai dibaca oleh khalayak. Tidak kira jika ia diterbitkan secara bercetak atau tidak nanti selepas siap terjemahan, yang penting saya mahu isi buku ini sampai kepada khalayak. Saya cemburu pada Said M. Jamaluddin yang sudahpun berjaya menerbitkan beberapa buku ilmiah, di Malaysia dan di sini, meskipun beliau sering diburu kesibukan. Sudah sampai masanya pelajar-pelajar Jordan, menulis buku dengan lebih giat lagi. PMRAM juga sudah lama menawarkan kesudian mereka untuk mencetak buku-buku tulisan pelajar Jordan, sekiranya kewangan dan kos percetakan yang membebankan yang menjadi masalah. Cuma, keazaman untuk menulis yang perlu disemai dan disematkan di minda, hati juga tangan. Insya-Allah, jika niat kita menulis kerana Allah, Allah akan gantikan kesukaran dan kepayahan kita menulis dengan ganjaran yang tidak putus-putus apabila buku kita dibaca dan diamalkan.

Kita harus cemburu dengan ulama silam. Stamina mereka menulis kitab mengkagumkan. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah menulis kitab setebal beberapa ratus muka surat, dalam satu malam sahaja. Imam At-Tabari, menulis kitabnya dalam masa 7 tahun, untuk kitab setebal 30 jilid, lengkap dengan dalil-dalil naqli (Sunnah, Athar Sahabat & Tabiin), dalil aqli (perbandingan pendapat dan pemilihan pendapat terbaik berdasarkan dalil naqli dan sumber-sumber lain seperti bahasa Arab, ijma’ dan qiyas) sehingga menjadi kitab tafsir induk yang paling lengkap dan ulung (walaupun ada beberapa kekurangan seperti riwayat Israiliyyat dan Syi’iyyat, tapi kekurangan itu ditampung oleh  sanad-sanad yang turut ditulis bersama, dengan ini, Imam Tabari terlepas daripada menanggung kesalahan pembawa riwayat). Dan ramai lagi ulama yang hebat hatta di zaman kita ini. Bila lagi kita mahu turuti jejak para ulama’?

KARISMA

Kerana tesis dan sakit yang tidak dapat dimaklumkan, saya terpaksa mengundur diri daripada menjadi ahli pasukan tarik tali untuk Amman. Alhamdulillah, dalam sekian banyak pertandingan yang dipertandingkan, cuma 5 acara sahaja yang Amman sempat wakili dan 3 daripadanya memenangi pingat. 1 emas (tarik tali), 1 perak( Pidato BA oleh Adik Syahirah, anak us Mujahid) & 1 gangsa (pingpong Us Mujahid). Alhamdulillah, kemenangan yang tak dijangka.  Bola sepak juga mendapat kedudukan yang agak tinggi berbanding tahun-tahun sudah. Semoga semangat yang ditunjukkan berkekalan sampai tahun-tahun akan datang.

Kitab

Saya sedang gila kitab sekarang ini. Minggu lepas, memborong kitab syeikh Abu Faris, Dr Fadhal, Syeikh Solah dan Dr Yusuf Qaradhawi di samping kitab-kitab lain. Minggu ini, saya teruskan kegilaan itu dengan memborong pinjam buku-buku Dr Yusuf Qaradhawi di perpustakaan jamiah, setiap kali pinjam 4 buah. Dan saya keluar fotostat kitab-kitab yang jarang dan sangat susah didapati di pasaran itu. Inilah antara sebab mengapa saya terpaksa pinjam. Kalau ada di pasaran, memang saya sanggup beli walaupun mahal. Setakat ini, sudah 60% kitab syeikh yang berjaya saya kumpul. Insya-Allah, seminggu lagi saya akan habiskan koleksi ini, selepas itu saya akan tumpukan pada kitab Anwar Jundi dan Syeikh Abu Hassan Ali An-Nadwi. Sambil-sambil baca buku untuk imtihan, seronok juga baca buku untuk kefahaman Islam. Semoga ilmu yang dibaca dapat diterapkan dalam amalan. Insya-Allah…

Add comment May 10, 2008

FITNA : Antara Berontak, Boikot & Back To Sunnah

image1.jpg

Salamun Alaikum.

Sebetulnya, saya tidak berkesempatan melihat video yang dimaksudkan sebagai FITNA itu. Bukan alasan yang ingin saya berikan, tapi kandungannya saya tahu dan faham sangat, bahawa tentunya mengandungi tuduhan-tuduhan, fitnah-fitnah dan cetusan-cetusan api terhadap Islam, yang sebenarnya cuma recycle bin terhadap segalanya yang pernah tertuduh kepada Islam dan umatnya. Kalau diteliti sejarah Islam, semenjak kemunculannya di dunia Arab, segala macam tuduhan dipaksapalitkan kepada wajah Islam yang murni. Cubaan the so called ahli parlimen Belanda itu hanyalah salah satu daripada berjuta-juta tekanan dan kesalahfahaman manusia terhadap Islam yang pernah menguasai 2/3 dunia suatu masa dahulu.

image8.jpg

Tindakan Refleks : Berontak

Terlalu banyak tindakan refleks ummat Islam terhadap video tersebut. Ada yang berdemonstrasi, ada yang membakar itu ini, ada yang mengancam ekonomi Belanda, ada yang merancang boikot, ada yang buat tak tahu, ada yang tak perasan langsung isu ini (kerana sibuk dengan dunia) dan macam-macam lagi reaksi. Masing-masing dengan cara sendiri. Ada yang bersemangat ingin mempertahankan Islam dan ajarannya. Kadangkala, terlalu menonjolkan aksi memberontak dan  sentimen ganas (memang itupun tujuan pembuat video),  sehingga menambahkan salahfaham ummat bukan Islam terhadap Islam dan ummatnya. Benar, Islam terhijab dengan kelakuan ummatnya kini…Kita mendakwa Islam agama yang toleran, agama kasih sayang, agama yang benar, agama yang  rahmatan lil ‘alamin..Tapi bila tiba isu sebegini, yang kemungkinan besar berpunca daripada kesalahfahaman mereka terhadap Islam, kerana jahil, atau kerana terpengaruh dengan pandangan stereotaip yang diberikan kepada Islam,  maka mengapa kita terlalu cepat menghukum dan menghalalkan darah?

 image5.jpg

Kenal Pasti Duduk Punca

Apa punca video itu dibikin? Mengapa isu-isu kesalahfahaman terhadap Islam itu, dianggap sebagai satu kesalahan yang tersangat besar sehingga mahu menghukum satu negara atas kesilapan seorang ahli parlimennya? Benarkah ahli parlimen itu benar-benar tidak mahu toleran? Apapun jawapannya, kita perlu mengenalpasti dan mengkaji terlebih dahulu mengapa tindakan sebegitu yang diambil oleh ahli parlimen itu dalam menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Sekian banyak video, tulisan, gambar dan buku yang dihasilkan dalam memberi kesalahfahaman terhadap Islam, mengapa kita memberi perhatian pada video yang satu ini?

Dalam era kini, dengan dunia Islam semakin terhimpit di seluruh penjuru, sesuaikah pendekatan ‘menyerang’ di sebalik ‘menerang’? Sesuaikah pendekatan memberi kefahaman dan penerangan dalam keadaan defensif berbanding proaktif?

image7.jpg


Boikot

Untuk menjayakan sesuatu kempen boikot, kita perlu ada alternatif produk Muslim. Selain mengurangkan pergantungan kepada bukan Muslim (bukan boikot bermusim, sekejap boikot Denmark, sekejap boikot Belanda, Amerika, Israel, tak pernah pula nak boikot), kita dapat membina kekuatan dunia Islam sendiri. Setiap daripada kita perlu memahami, mengapa kita mahu memboikot. Benarkah kita mahu memboikot kerana mempertahankan Rasul & Islam, atau kita memboikot sebab kita memang tak bergantung pada produk-produk negara mereka(macam tak bermakna bila boikot sesuatu yang kita tak guna)? Benarkah boikot mampu menyelesaikan masalah kesalahfahaman bukan Muslim terhadap Muslim dan ajarannya? Saya tidak menghalang sesiapa yang ingin memboikot. Tapi sebelum boikot, pastikan kita faham mengapa kita boikot. Mengapa kita hanya menggunakan kuasa boikot? Tidak adakah cara lain?

image10.jpg
Bid’ah 

Mungkin sebahagian kita tidak nampak apa perkaitan antara bid’ah & isu video serta boikot ini. Secara mudahnya ialah, apa yang dilakukan oleh ahli parlimen itu adalah serangan dari luar untuk merosakkan Islam umpama semburan api yang membakar. Tetapi bid’ah, adalah ibarat api dalam sekam, membakar dalam diam. Antara serangan di dalam dan di luar, yang manakah yang lebih mudah menghancurkan kita? Antara perang melawan bisikan syaitan & godaan nafsu, dengan perang melawan musuh Islam dari golongan musyrikin, mulhid dan munafik, yang mana lebih susah kita kalahkan? Dalam kita sibuk-sibuk menyerang musuh di luar, sedarkah kita bahawa kekuatan dalaman kita masih rapuh? Dalam kita sibuk-sibuk meraikan bid’ah, sedarkah kita bahawa kita telah membunuh sunnah?

Islam tidak akan tertegak hanya dengan semangat. Islam tertegak dengan ilmu dan hujjah. Dengan aqidah yang benar.

image12.jpg

Back To Sunnah

Marilah muhasabah diri. Sejauh mana kita kenal ajaran Islam yang kita anuti ini? Sejauh mana kita kenal Rasul A’zham(agung) yang kita pertahankan ini? Sejauh mana kita bersemangat mengamalkan sunnahnya? Sejauh mana kita ‘memboikot’ bid’ah dalam ajaran-Nya? Sejauh mana kita bersemangat memadamkan api bid’ah dengan air sunnah?

image2.jpg image9.jpg

image6.jpg image3.jpg

Ya Allah, ummat akhir zaman ini terlalu banyak taqsir (kekhilafan). Terlalu banyak kelemahan kami. Ya Allah, janganlah jadikan kami ini penghalang mereka melihat keindahan Islam. Janganlah jadikan kami ini pemusnah sunnah Nabi-Mu. Ya Allah, berilah hidayah kepada mereka agar mereka dapat melihat keindahan Islam dan beriman dengannya. Ya Allah, ampunkan kesilapan kami. Ampunkan seluruh ummat Islam. Sampaikanlah kami kepada cahaya kebenaran-Mu yang menyinar seluruh alam. Ameen Ya Rabb… 

image4.jpg
Imej yang dipaparkan adalah koleksi pelekat mempertahankan Rasulullah. Kredit untuk maktabah Syaqaiq, Amman, Jordan. Sempena bulan kelahiran Nabi, mari kita sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda. Allahumma Solli Ala Muhammad…

Add comment April 4, 2008

Entri Ini Untuk Abah

Abah,
Kumulakan warkah ini dengan selawat dan salam atas penghulu dunia dan akhirat, Nabi Muhammad S.A.W. semoga Baginda memandu dan menyuluh jalan hidup ini dengan sebaik-baiknya…

Abah…
Telah 27 tahun hijri daku hidup bersamamu. Telah lebih suku abad, usiaku kuhabiskan di bawah ketaatan kepadamu, semoga ia menjadi ketaatan kepada Allah. Sejak diriku dilahirkan Ummi, daku ditatang bagai minyak yang penuh. Meskipun kadangkala kemahuanku tidak dipenuhi atas sebab-sebab tertentu, namun daku merasakan, daku adalah anak yang dimanjakan sebagai anak lelaki tunggal dan anak bongsu. Meskipun daku tidak pernah mahu digelar anak yang manja, atau yang terlalu bergantung kepada ibu bapa, namun, atas tarbiah yang agak memanjakan itu, hatiku agak lembut dan kadangkala tidak berapa kuat untuk menghadapi dunia.

Ketahuilah abah, daku seringkali teringat beberapa peristiwa yang abah tunjukkan kepadaku, bagaimana suatu ketika daku menyeberangi jalan, tanpa sedar kereta meluru laju kepadaku, silapku kerana melepaskan tangan ummi, untuk pergi kepadamu tanpa menoleh kiri dan kanan. Akhirnya pelempang yang hinggap di belakang. Daku menangis dalam diam, sambil mendengar hujjah ummi, akhirnya daku ketahui, abah amat sayangkan daku. Terima kasih abah!

Zaman kanak-kanak dan remajaku, banyak dihabiskan bersama abah. Abah menyuruh daku memerhatinya mengenal enjin kereta (walaupun aku tak berapa mengerti sampai ke hari ini), bergelumang dengan minyak hitam, memegang lampu suluh, menukar tayar menukar bateri kereta…Hinggalah kepada kerja-kerja lain, yang mungkin tidak terbayang remaja seumpamaku melakukannya, aku diajar mengecat segala-galanya (kayu, batu, besi), menggunakan mesin pengisar sisa perkebunan (sampai jari hantuku hampir terbelah dua kerana tersilap hulur tangan), berkebun di Paya Jaras, memecah rumah (hihi…memecahkan dinding pemisah antara 2 rumah abah dan umi, sebelah-menyebelah), bercucuk tanam di rumah Rasah, menyiram halaman setiap hari, memasang pagar batu-bata, mengetam papan, memasang jeriji besi tambahan (siap guna pengimpal) selepas rumah kita dirompak, memasang karpet,membersihkan rumah, memasang pavement di halaman rumah dan seribu satu kemahiran yang tidak dapatku perolehi di mana-mana. Tarbiyyah kerja kasar ini menjadikan daku seorang yang berkemahiran dan agak kasar sebagai lelaki, selain larangan abah memanjakanku di dapur atau hal-hal keperempuanan. Terima kasih abah. Suruhanmu itu daku taati semampu mungkin, dan cuma kadangkala saja malas dan liat. Hasilnya, banyak projek tidak siap mengikut waktu. :)

Abah, pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah rendah Islam, kemudian ke sekolah menengah Islam, lalu ke kolej dan universiti Islam, memahamkanku betapa pentingnya nilai Islam dalam diri dan nilai Islam yang abah mahu terapkan dalam famili. Semakin lama aku mendalami Islam yang aku anuti, semakin terasa bahawa famili kita masih belum cukup sifat keislamannya. Biarpun kita masih menjaga solat 5 waktu dan puasa, namun kita masih kurang solat berjamaah, masih kurang pengisian jiwa di rumah atas kesibukan kita masing-masing yang mungkin terlupa bahawa dunia yang kita kejar akan ditinggalkan. Pundakku yang terbeban dengan amanah abah untuk mentarbiah famili, kadangkala tidak mampu tertanggung. Tambahan dalam keadaanku yang tidak terurus, dengan iman yazid wa yanqus, daku seringkali tewas dalam menjunjung amanah itu. Abah, maafkanku sekiranya daku tidak mampu menunaikan amanah itu. Sebenarnya, kita berdua yang patut memikulnya bersama, cuma, akhir-akhir ini, daku lihat, abah banyak menswastakan kerja-kerja itu kepadaku. Mungkin, suatu masa nanti, aku benar-benar perlu untuk memikulnya, wallahu a’lam.

Abah, daku pernah berputus asa atas amanah menuntut ilmu ini walaupun pilihan ini yang daku berdiri di atasnya, dan daku cuba berpegang dengannya kerana hanya di sini jalan selamatku. Daku pernah kecewa atas keenggananmu dan keengganan ummi memahami diri. Setelah melukakan hati kalian, atas nama cinta, dan atas nama kasih sayang, daku merajuk lebih dari setahun, enggan pulang ke Malaysia. Selepas kegagalan demi kegagalan yang daku lihat, daku cuma mampu menangis di dalam hati kerana amanah yang abah dan ummi pundakkan itu tidak mampu terlaksana sempurna. Kerana keperluan cinta dan kasih sayang yang tandus dalam diri, mungkin kerana kesibukan kalian, daku memburu kasih orang. Terjunam jatuh selepas gagal dalam perburuan, plus menambah murka kalian, daku pasrah kini. Daku cuma mampu berdoa, moga hati terisi dengan cinta yang benar. Moga hati terisi dengan cinta yang halal, yang diredhai kalian. Kalau bertahun-tahun dapatku tahan (dengan seribu kegagalan dan kekecewaan), apakan pula berbulan-bulan.

Teringat kalam murka Abah, ketika hati Abah diguris perlakuanku. Abah, maafkan daku. Abah, ampunkan daku. Harapan yang terlalu tinggi, desakan nafsu yang menghujan lagi, dihembus pula dengan kesakitan dan nyeri, memungkinkan daku menjadi anak yang dimurkai. Abah, fahamilah, ini adalah natijah beberapa tahun sudah. Natijah tandus cinta lillah, tandus cinta abah, dan ketidakmampuan diri menjadi sebagaimana yang diharapkan, daku terpaksa melukakan hati Abah. Abah, maafkan daku atas perlakuan itu.

Kini, setelah usia Abah menjejaki 57 tahun, daku sedar, betapa berharganya kesilapan yang pernah daku lakukan. Betapa peritnya sebuah pengorbanan demi anak yang dikasihi, demi menunaikan cita-cita anak yang kadangkala tidak mengingat budi. Insya-Allah abah, selagi nafas berdegup dalam diri, akan kucuba sempurnakan amanah ini dengan segala susah payah. Akan kuteruskan liku-liku kehidupan dengan cinta baru, yang berputik lagi di hati Abah dan Ummi. Doakanku tetap di atas jalan ini, jalan para Nabi, dan tetap menjunjung kasih Ilahi, bersulam redha Abah dan Ummi.

Abah, selamat hari lahir ke-57. Moga dipanjangkan usiamu dalam iman dan taqwa, dalam amal dan redha. Persiapkanlah bekal sebanyak-banyaknya untuk hari kemudian. Sesungguhnya daku, daku ingin menjadi salah satu bekalmu untuk ke akhirat nanti, ya, anak yang soleh. Doakan daku ya Abah, tulus kepada Allah, agar daku menjadi anak soleh yang kalian harap-harapkan. Ameen…

Ingatan dari jauh,
Asyraff..

Add comment March 28, 2008

Madu Yaman…Yum…Yum!

Semalam, tauke madu Yaman singgah di rumah saya. Beliau membawa banyak produk madu dari Yaman, sementelah pembekal madu dari sana, seorang pelajar Yaman, datang berziarah ke Jordan. Madu Yaman yang dibawa agak banyak, dalam sekotak kecil, sedozen mungkin.

Pamplet Madu Yaman Muka 1

Pamplet Madu Yaman Muka 1 (sila klik untuk besarkan)

Perniagaan madu adalah salah satu bisnes yang menarik untuk diterokai. Ini kerana madu terdapat dalam pelbagai jenis, pelbagai rasa, pelbagai warna dan mempunyai banyak tahap kualiti. Seperti tulisan saya dalam artikel ‘Antara Madu & Gula : Siapakah Anda?‘ yang lepas(turut tersiar di majalah Gema Negeri, Badan Kebajikan Anak Negeri Sembilan Mesir, Edisi Bumper, 3-26 Oktober 2007), saya mengutarakan beberapa kelebihan madu berbanding gula.

Selepas tauke madu pulang, sayapun tak melengahkan masa (tauke guna rak buku saya untuk display, kena cukai…haha), mencuba satu pek. Madu Yaman ini dipek dalam botol plastik kecil, sekitar setengah kilogram. Madu Yaman ini, warnanya agak gelap berbanding madu-madu yang saya pernah cuba sejak hidup di dunia ini. Madu jenis komersil, yang biasanya orang guna untuk sarapan, dijual di supermarket-supermarket, biasanya adalah madu campuran, dicampur dengan gula, berwarna keemasan dan selalunya adalah madu lebah komuniti belaan, bukan madu lebah liar. Madu dari Chechnya, biasanya dari gunung-ganang, berwarna cerah, baunya agak manis, dan harum seumpama bauan bunga. Manakala madu dari Jordan (ya, Jordanpun ada madu), berwarna kuning agak cerah, kadangkala turut dicampur gula. Harga masing-masing berbeza mengikut jenis dan kepopularitian.

Pamplet Madu Yaman Muka 2

Pamplet Madu Yaman Muka 2 (sila klik untuk besarkan)

Madu paling murah dan kurang kualitinya, adalah madu lebah komuniti belaan. Ini kerana ia telah menjadi industri komersil, maka sesuatu yang dibela dan dijaga tentulah tidak sama dengan yang dicari dengan susah payah. Macam ayam daging dan ayam kampung juga (walaupun mungkin kurang tepat, sebab ayam kampung sekarangpun ada yang dibela dengan penuh cermat, rujuk ‘Ayam Organik’, Majalah 3 2007). Madu jenis ini, harganya sekitar 2.50-3.50JD (sekitar RM12.50-17.50) sahaja untuk setengah kilo. Madu dari gunung Chechnya, harganya lebih mahal sedikit, iaitu sekitar 9-12JD. Madu Jordan pula sekitar 9-10JD sekilo. Madu yang paling mahal yang saya pernah beli adalah madu Yaman, setengah kilo, 20JD bersamaan 100RM!

Kelebihan Madu Yaman

Melihatkan warnanya yang gelap, baunya yang agak lain daripada yang lain, tentulah rasanya turut berbeza. Madu Yaman lebih likat, dan pekat, tidak seperti madu negara lain dan madu campuran. Saya hanya boleh beri perumpamaan seperti ini, anda mengunyahnya seperti gula-gula getah lembut, bukan menjilatnya! Madu Yaman tidak membuatkan tekak anda perit selepas memakannya seperti anda makan madu-madu yang lain. Ia juga lebih tahan lama, dan rasanya tidak terlalu manis. Sebagai madu yang popular dan masyhur sejak turun-temurun, ia dieksport ke merata tempat terutamanya di negara-negara Eropah dan Timur Tengah.

Berbaloi!

Saya tidak terlalu berkira soal harga, mungkin kerana bagi saya, madu Yaman ini adalah yang paling sedap. Selalunya, kalau saya beli madu campuran, saya tidak dapat menghabiskan madu tersebut. Tapi madu Yaman ini, alhamdulillah, walaupun saya makan kadangkala saja, tapi selalu habis hingga ke dasar botol. Pembelian yang berbaloi!

Ops…Saya belum makan lagi madu hari ini…Minta diri dulu!…Yum…Yum (telan air liur..) Tapi jangan makan banyak-banyak…madu ni panas!

P/s : Untuk pelajar Jordan, anda boleh hubungi Enche’ Said J di 0779 590 342 untuk mendapatkan setengah kilo madu Yaman. Sediakan 20JD ya! Kalau orang Malaysia, anda kirim saja daripada pelajar Yaman atau anda boleh hubungi Us Shamsul di YM ID madu_yaman dan emel madu_yaman@yahoo.com. Kalau beli dengan Us Shamsul, mungkin ada banyak pilihan dan dapat diskaun…Sila-sila…Jangan segan-segan.

Add comment March 22, 2008

Ahlan Wa Sahlan…

Rumah baru…semangat baru…

Waalaikumussalam…

Eh! Jemput…Jemput…Silakan masuk…

Ahlen Wa Sahlen…

Ini Khabar Dari Urdun Versi kelima…Setelah bertahun-tahun goblog memblog, saya berhajat tukar angin lagi. Kali ini ke WordPress…Entah, nampak trend bertukar ke WordPress agak berleluasa sekarang ini. Saya masih lagi mengkaji kelebihan-kelebihan WordPress berbanding weblog lain.

Insya-Allah,  kali ini, saya akan kumpulkan apa saja berkaitan saya di sini…
p/s: Meh sifu-sifu, meh la tolong ajar guna WordPress ni!

Add comment March 19, 2008

Wabak Filem Timur Melanda Pelajar MALAYSIA?

Bila wewr wewr@walasri.com menulis…
-published on 3rd January 2003 at http://khabardariurdun.blogspot.com

Masih ingat di TV3 tayangan filem yang agak hangat setiap Sabtu dan Ahad? Cerita tentang seorang guru yang berperangai aneh, pelik tetapi begitu kasihkan anak muridnya, sekolahnya dan dunia pendidikan, ingat lagi? Ya, Great Teacher Onizuka..Atau lebih dikenali sebagai GTO. Tentu anda ingat, kerana tayangan itu meski sudah lama disiarkan di televisyen, tetapi ceritanya masih segar dan memberi impak yang berkesan terhadap penontonnya…

Watak itulah yang sedang diimpot ke dalam budaya seni pelajar Malaysia di sini. Maksud saya, cerita itu sedang menjadi pilihan utama di sini. Cerita yang telah disiarkan di Malaysia itu kini diulang siaran dalam bentuk VCD di kebanyakan bayt(rumah) mahasiswa.

Mungkin benarlah apa yang dikatakan wabak menonton filem dari negara-negara sebelah matahari terbit itu sedang menular di sini. Saya kira, hampir setiap pelajar pernah menonton filem dari sana. Bukan saya maksudkan filem-filem ala Jackie Chan atau Jet Li, filem seumpama itu sudah terlalu banyak dijual di kolam pun. Maksud saya filem-filem bersiri yang seumpama drama bersiri, yang telah dijadikan VCD rupa-rupanya sedang menarik minat mahasiswa Jordan menontonnya. Selain GTO, Hero, Beachboys(BB) dan cerita-cerita lain dari Jepun, cerita-cerita dari Korea turut sama menjadi perhatian seperti cerita Winter Sonata(WS) dan Beautiful Life.

Cerita-cerita Hong Kong saya kira pun sudah lama bertapak di sini. Kini giliran filem Jepun, Korea dan lain-lain pula mendapat sambutan. Timbul persoalan di sini, apakah sebenarnya keistimewaan filem-filem bersiri seumpama ini?

Ya, filem-filem ini sebenarnya menggunakan teknik penggambaran yang cukup simple saya kira, bukan dihiasi dengan pelbagai special effects, atau aksi-aksi yang pelbagai. Dalam siri Winter Sonata, saya berani katakan teknik penggambaran yang digunakan adalah sederhana, hatta pernah saya lihat mikrofon besar yang digunakan untuk merakam suara pelakon ketika shoot jauh, turut terakam dalam satu babak di padang salji!  Cuma jalan ceritanya menarik, menyentuh perasaan, segar dan mampu membuat penonton merasakan diri mereka berada di dalam filem. Buktinya, bukan sedikit saya lihat pelajar-pelajar di sini yang menitiskan air mata menonton siri itu! Satu lagi yang saya puji ialah kemampuan watak-watak filem bersiri ini melakonkan peranan masing-masing, cukup kena dan sebenar.

Agaknya, sepanjang tahun filem-filem bersiri ini akan ditonton. Kalau GTO dan BB, seronok ditonton pada musim panas. Kalau WS, pada musim sejuk. Dan tidak mustahil, siri-siri lain yang akan sampai ke sini. Memandangkan di Malaysia sudah ada syarikat yang menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu dan menjadikannya VCD, saya rasa bukan setakat ini sahaja filem-filem yang akan diekspot ke Jordan, malah banyak lagi.

Apa yang menjadi musykilahnya, wabak ini melanda saat pertempuran mahasiswa dengan peperiksaan. Kalau beginilah jadinya, bagaimana merawat wabak ketagih filem Timur ini? Saya angkat bahu.

Add comment January 3, 2003

Next Posts


Amalan Membahagiakan Hari

Qiamullail> Solat 5 waktu berjamaah> Solat Dhuha> Zikrullah > Bacaan Al-Ma'thurat Pagi & Petang > Bacaan Al-Qur'an 1 Juzu'> Menuntut Ilmu> Memberi Salam Sesama Mukmin> Puasa Sunat>

Raudhah Multimedia

My Twitter

Affiliate

Arkib

Kategori

Entri Terkini

Puisi Pinggir

MASIHKAH KAU SAYANG PADAKU?


Derap langkahku yang sumbang (Toha : 124),
Tersepak nafsu lalu tumbang (Al-Furqan : 25),
Tersungkur lesu menuju ambang....


Mautkah yang menjemputku? (Al-A'raf : 34)....


Masihkah Kau sayang padaku?
Setelah tubuh dikencing syaitanku (Al-Baqarah : 14),
Setelah akal diinjak beku (Al-A'raf : 179)....


Yang mana maha dalam atmaku...
Kau atau syaitan membelenggu? (Al-An'am : 125)


Pada janji manis yang tertabur
setiap pertemuan yang didesak akur (Luqman : 32)
Pada lafaz taubat bersyarat (Al-An'Am : 63-64)
Siapa aku mahu mengikat syarat,
pada Raja segala raja dunia akhirat? (Ghafir : 16)


Masihkah Kau sayang padaku?
Setelah darah dosa diwuduk lulur (At-Tahrim : 8)
Setelah azam setia kembali dihulur (Al-Maidah : 83)
Setelah titis air mata suam mengguyur (An-Nur : 31)


Allah, katakanlah...
Masihkah Kau sayang padaku? (Hud : 90)

AdabunA

Beli-Belah

Blog-Blog Lama

Blogroll

E-Kitab @ Buku

Forum

Media Audio Video

Membaiki Handphone

PTS & Angkatannya

Qur'an & Qari

Sastera Elektronik

Tokoh

Torrent Tracker

WeWR @ Multiply

Email Subscription

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Komen Terkini

hamimnasoha on Multi-Ujian : Menyorot Konflik…
wewr on Multi-Ujian : Menyorot Konflik…
hamimnasoha on Multi-Ujian : Menyorot Konflik…
soulof99 on Saya, Perpustakaan & …
nai on Saya, Perpustakaan & …

Top Clicks

Awan Gemawan Tag

abah bid'ah boikot buku Celoteh fitna iklan khutbah jumaat kitab konflik linguistik madu maktabah peperiksaan perpustakaan pesta buku ppsmi pts puan ainon pustakawan Rasa Semasa seminar sunnah syeikh tauhid teknik surah yusuf telefon bimbit tesis ummi urdun warkah Yaman

Kalendar

December 2009
M T W T F S S
« Jun    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Top Posts

Telah Dilawati Sejak Februari 2008 Sebanyak

Meta

Sekatan Spam