30 Tip Mengatasi Writer’s Block

Salamun alaikum…

Salam sejahtera buat semua pengunjung blog ini dan semua yang ada di luar sana. Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kekuatan melakukan perbuatan baik secara berpanjangan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua.

Pada hari ini, saya ingin berkongsi berkenaan satu sindrom di kalangan penggiat seni, tidak kira sama ada mereka adalah penulis, pereka cerita, ahli sastera, penulis skrip, dj, karyawan dan lain-lain. Sindrom yang dimaksudkan adalah sindrom writer’s block.

Apa itu Writer’s Block?

Apa itu writer’s block? Bunyinya seperti ada puak-puak sahaja di dalam kumpulan-kumpulan penulis? Bukan…Bukan…Writer’s block sejenis sindrom yang dihadapi oleh penggiat seni. Sindrom ini membuatkan fikiran dan idea penulis menjadi buntu dan tersekat. Idea, kreativiti, semangat, kekuatan, emosi dan semua yang berkaitan pun boleh jadi turut tersekat apabila penulis terkena writer’s block. Writer’s block boleh sahaja terjadi pada pemikiran, pada emosi, pada fizikal dan pada semangat di dalam dada. Justeru, amat penting kita mengetahui cara mengatasi writer’s block, supaya kita tidak terkena sindrom ini, dan supaya projek penulisan dan seni yang kita lakukan, dapat disiapkan pada waktunya.

Namun, ada juga penulis yang berpendapat, writer’s block ini hanyalah sekadar mitos, dan ia bukanlah sesuatu yang realiti. Realiti ataupun tidak, mitos ataupun tidak, mari kita lihat 30 tip mengatasi writer’s block yang saya perolehi daripada pembacaan, perbincangan dan menyelongkar internet.

30 Tip Mengatasi Writer’s Block

1) Ambil wuduk, baca al-Quran dan bersolat sunat dua rakaat.  Sebagai orang Islam, kita mempercayai dan meyakini, segala idea kita, segala ilham dan kreativiti yang kita curahkan di dalam penulisan kita adalah bersumberkan Allah. Secara umumnya, apa yang kita kongsikan dalam penulisan adalah sesuatu yang mulia dan menjadi ilmu. Menurut Imam Waki’, iaitu guru Imam Shafie, ilmu itu adalah cahaya, justeru, cahaya tidak akan memasuki dan menghuni hati dan minda orang yang melakukan maksiat kepada Allah. Justeru, mengambil wuduk, membaca al-Quran dan melakukan solat sunat 2 rakaat ini adalah salah satu usaha membersihkan nurani kita, supaya apa yang kita tulis, sampai ke dalam hati pembaca.

2) Minum banyak air. Air mengandungi kandungan oksigen yang tinggi. Justeru, dengan meminum banyak air, kita dapat menggalakkan sel-sel otak menikmati udara baru dan segar. Otak yang segar menghasilkan zombie-zombie idea-idea baru dan sedap dimamah dibaca.

3) Menggunakan teknik KJ Method dalam penulisan. Apa itu KJ Method? Metod yang dihasilkan oleh Kawakita Jiro, selepas Perang Dunia Ke-2, bagi menukar cara berfikir dan melakukan kerja. Lihat http://www.ideaconnection.com/thinking-methods/k-j-method-00011.html dan http://en.wikipedia.org/wiki/Affinity_diagram. KJ Method digunakan secara meluas kini, terutamanya bagi menghasilkan produk-produk kreatif. Selain dapat digunakan dalam penulisan, KJ method boleh digunakan dalam hampir semua aspek kehidupan.

4) Menulis secara bersama, sama ada secara co-author, ataupun secara team work. Co-author adalah penulis bersama, biasanya sekitar 2-5 orang penulis, menulis secara serentak bagi satu-satu buku ataupun projek. Manakala secara team work pula, penulis menulis bersama tim penulisannya sendiri, sama ada menteenya sendiri, ataupun beberapa orang penulis lain yang dikumpulkan dan ditulis di bawah satu-satu jenama. Contoh penulis yang menggunakan teknik ini, adalah Ustaz Dr Zulkifli al-Bakri. Beliau mempunyai tim penulis sendiri, justeru, buku-buku beliau lebih cepat diterbitkan, dan kurang ataupun hampir tiada langsung berlakunya writer’s block.

5) Bikin jadual penulisan. Setiap penulis wajib mempunyai jadual penulisannya sendiri. Lebih baik lagi, jadual penulisannya dirancangkan supaya menepati kehendak jadual penerbitan oleh penerbit dan mengikut musim tertentu seperti musim perayaan. Bikin jadual, ikut jadual!

6) Rutinkan penulisan. Jadikan penulisan sebagai satu rutin harian. Contohnya, tulis 10 muka surat setiap hari, tidak kira apa sahaja buku ataupun projek. Teknik ini diamalkan oleh dua orang penulis PTS, iaitu Tuan Bahruddin Bekri dan Tuan Zahiruddin Zabidi.

7) Elakkan self-auditing. Self-auditing atau mengkritik diri sendiri, adalah satu sikap yang mampu membunuh kreativiti yang ada dalam diri penulis. Justeru, kita perlu membiarkan sahaja idea yang ada, mengalir lancar dan terus mengalir. Apabila tiba masa untuk mengeditnya nanti, barulah kita mengeditnya. Tulis sahaja dahulu, edit kemudian!

8 ) Anggap penulisan sebagai tugas dan tanggungjawab, bukan semata-mata karya seni. Sebagai penulis yang memiliki ciri-ciri perjuangan, contohnya berhasrat memandaikan ummah, kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Sekiranya kita terlalu mencerewetkan penulisan sehingga hasilnya tidak ramai orang faham karya seni kita itu, pada ketika itu, kita sudah gagal memandaikan bangsa. Kita bertanggungjawab memandaikan bangsa yang ramai, berbanding bertanggungjawab menulis untuk kelompok kecil yang faham apa yang kita tuliskan itu.

9) Ambil masa rehat. Yang penting, istiqamah, dan berterusan melakukannya selepas berehat.

10) Tampal tarikh mati dan ikuti dengan ketat. Bayangkan apa akibatnya sekiranya kita tidak dapat mengikuti tarikh mati yang kita tetapkan dengan ketat. Mungkin editor akan marah-marah, penerbit akan hilang percaya, dan karya kita mungkin tidak akan terbit.

11) Cari punca mengapa kita menghadapi writer’s block. Cuba selesaikannya. Kadangkala, sindrom ini dihadapi akibat tekanan hidup, tekanan perasaan, stress, terlalu banyak tidur selepas Asar, kematian orang yang tersayang dan banyak lagi. Hadapi segala ujian tersebut, dan mulakan semula penulisan kita dengan senyum dan semangat.

12) Reset persekitaran tempat kerja kita. Kadangkala, tempat kita menulis menjadi berserabut dengan pelbagai buku rujukan dan alat tulis yang digunakan. Susun semula seperti sediakala. Hati kita akan lebih tenang untuk menulis.

13) Ubah tempat kerja kita. Ambil pen dan buku, keluar mencari tempat lain supaya lebih banyak idea yang masuk.

14) Buat apa sahaja latihan penulisan, di luar projek penulisan kita. Contohnya, tulis apa sahaja berkenaan apa sahaja dalam masa 10 minit. Baca kembali. Mungkin ada ilmu atau sudut pandangan baru yang lebih kreatif.

15) Tulis lebih daripada satu projek dalam satu masa.  Jika kita menggunakan KJ method, hal ini lebih mudah dilakukan. Tujuannya supaya, kita dapat bertukar ke projek lain sekiranya kita buntu pada satu-satu projek.

16) Baca kembali ikrar “Mengapa saya menjadi penulis?” dan sematkan kembali dalam dada dan minda.

17) Tulis bab-bab yang mudah dahulu. Apabila kita selesai menulis bab-bab yang kecil dan mudah, kita akan lebih termotivasi bagi menulis bab-bab yang lebih mencabar.

18) Pakai pakaian kerja. Agak aneh, namun, kadangkala penulis sepenuh masa dan menggunakan SOHO memerlukan tip ini. Bayangkan, selama ini, kita menulis dengan memakai kain pelikat, berbaju T dan selekeh. Sekiranya kita memakai pakaian kerja, kita akan menganggap kerja yang kita lakukan itu lebih serius dan memerlukan kita melakukannya secara sungguh-sungguh, bukan sambil lewa. Jika ada badge, “Saya Penulis PTS!”, pakai dan terus menulis!

19) Tulis dari perspektif orang lain. Kadangkala, dengan menukar sudut pandang kepada cerita ataupun watak yang kita sedang tulis, kita mungkin mendapat sumber ilham baru.

20) Dengar muzik baru, dengar muzik bersemangat, dengar bacaan al-Quran. Telinga kita sebenarnya dapat menukar gelombang-gelombang yang baik, kepada sel-sel otak yang lebih kuat bekerja. Justeru, terutamanya bagi orang auditori, mendengar muzik ataupun bacaan yang baik, dapat mempertingkatkan lagi kecepatan kerja dan menghapuskan writer’s block.

21) Mandi dan tukar pakaian. Tubuh kita mengeluarkan peluh apabila kita sudah penat dan letih. Otak juga turut mengeluarkan cecair. Dengan mandi, tubuh akan menjadi segar semula.

22) Letakkan gambar guru penulisan kita, keluarga, dan orang yang tersayang di meja kerja. Dengan itu, kita akan lebih bersemangat menulis, dan melupakan bahawa kita sedang mengalami writer’s block.

23) Bersenam dan tarik nafas dalam-dalam sebelum menghembuskannya.

24) Baca semula matlamat dan perancangan buku yang sedang kita lakukan. Matlamat ini akan membuatkan kita merasa kita sudah ketinggalan, justeru, kita akan berusaha memecahkan tembok blok tersebut.

25) Gunakan kad ataupun keyword. Bagi mendapatkan idea, tulis beberapa perkataan pada kad, apa sahaja yang terlintas di fikiran. Kad itu dishufflekan, dan kita boleh cuba menghubungkan setiap perkataan itu menjadi satu ayat ataupun satu idea baru. Teknik ini menghasilkan jalan cerita yang tidak pernah difikirkan, idea yang bombastik, dan ayat yang cantik!

26) Keluarkan sedikit peluh. Sekiranya tubuh kita penuh racun, sudah tentu ia tidak dapat berfungsi secara optimum. Oleh itu, mari kita bersenam dan mencangkul. Hang Cangkul pun Hang Cangkullah. Satu, dua, tiga, empat dan lima, enam, tujuh, lapan, lapan lagi….

27) Baca buku orang lain. Tapi jangan curi ideanya. Tiru cara penulis itu lakukan. Baca juga biografi penulis lain. Contohnya, membaca biografi ringkas penulis-penulis kitab, yang biasanya pada setiap buku mereka, ada biografi ringkas ditulis di bahagian hadapan.

28) Tutup Facebook dan perisian yang mengganggu fikiran dan tumpuan. Facebook saya memang mengganggu tumpuan. Oleh itu, tulis dahulu sebelum menulis di Facebook.

29) Tambah rutin baru dalam proses menulis yang biasa kita lakukan. Contohnya, kita biasa meminum kopi semasa menulis. Tambahkan aktiviti makan biskut, atau menulis diari dan lain-lain, supaya rutin tidak lagi membosankan. Jangan tambahkan rutin main Facebook, sudahlah.

30) Ingat MATI. Mati adalah satu peringatan yang paling baik. Bayangkan, kita mati sebelum kita sempat menyiapkan buku kita. Siapa yang akan membacanya nanti? Bagaimana kita dapat menggunakan buku yang tidak siap itu sebagai kredit pahala kita pada hari akhirat kelak?

Semoga kita semua terhindar daripada sindrom ini. Semoga semua penulis, dapat menulis dengan tenang, senang dan memberi buah pahala kepada semua, penulisnya, pengeditnya, penyusun aturnya, editor, pelukis, pereka letak, penerbit dan sudah tentu pembacanya…Amin.

Kerja, Kerja & Kerja….

Salamun alaikum. Selamat sejahtera ke atas kalian.

Dengan nama Allah yang sangat pengasih dan sangat mengasihani.

Sabtu@PTS

Pada permulaan hari Sabtu kuning yang ketiga ini, saya sebenarnya mahu ke PTS. Pada pagi ini, PTS Pop mengadakan pertemuan bersama penulis dan pelukis serta karyawan PTS Pop. Sempena mesyuarat hari ini juga, Bookcafe Sdn Bhd mengadakan Sabtu@PTS.

Namun, saya tidak dapat hadir ke sana. Kerana dilanda gemuruh perut dan guruh kalut. Saya terlewat!

Lalu, saya ke kedai saya, Shabab Variety Services, bagi menyiapkan beberapa kerja yang tertangguh.

Sempat bertukar pakaian, saya mengemaskan bilik stor ataupun gudang penyimpanan makanan kering bagi kedai kami. Kesal, ada beberapa jenis minuman dan makanan ringan yang sudah pun tamat tempohnya. Daripada tamat tempohnya, lebih baik ditukar. Ataupun beberapa minggu sebelum tamat tempoh, lebih baik diberikan sahaja kepada pelanggan. Ada pelanggan yang menerima dengan senang hati, meskipun makanan itu sudah menghampiri tempoh tamat.

Saya teringatkan kisah bagaimana Habil dan Qabil menyediakan korban untuk Allah. Kedua-duanya menyediakan korban bagi mendapatkan keredhaan Allah, namun salah seorang daripada mereka mengorbankan makanan yang tidak berkualiti, dan banyak cacat celanya. Siapakah dia? Ya, Qabil. Manakala Habil mengorbankan makanan yang terbaik dimilikinya. Akhirnya, sudah pasti Allah menerima amalan baik Habil.

Begitu juga semasa di Jordan, apabila tiba musim Ramadhan, ramailah dermawan yang mula membahagi-bahagikan makanan dan wang kepada 8 asnaf yang layak menerima zakat. Tentulah kami sebagai musafir dan penuntut ilmu mempunyai bahagian dalam asnaf itu. Justeru, boleh dikatakan kami hidup mewah dengan wang dan makanan yang didermakan oleh para dermawan itu. Alhamdulillah.

Namun, dalam ramai-ramai yang dermawan, ada juga yang menyedekahkan makanan yang sudah hampir tamat tarikh luputnya. Alangkah ruginya, kerana makanan itu tidak dapat dimanfaatkan. Semoga Allah tetap memberikan pahala atas niat baiknya yang cuba juga memberi, namun tidak memberikan yang terbaik yang dimilikinya.

Justeru, adakah benar cara yang saya lakukan? Iaitu memberikan barang-barang di kedai sebagai hadiah ataupun sedekah? Semoga Allah tetap juga memberikan pahala. Amin.

Terfikir satu idea, iaitu saya mahu mengumpulkan satu senarai pelajar miskin di UIA, dan memberikan mereka air kotak susu dan roti untuk berbuka puasa ataupun bersahur. Mungkin seminggu sekali atau lebih kerap daripada itu. Apa pula pandangan kalian?

Kerja, Kerja dan Kerja….

Kerja saya sebenarnya tidak semakin berkurang, namun semakin bertambah. Pada ketika saya mahu mengehadkan bilangan projek penulisan yang mahu saya lakukan, idea penulisan tetap datang dan bercambah. Dan para karyawan di pihak penerbitan tetap mahu saya menuliskan buku itu untuk mereka. Projek penterjemahan al-Quran untuk saudara baru pun saya masih belum dapat selesaikan lagi, meskipun sudah hampir setahun. Saya mahu menyiapkannya paling lewat dalam bulan Ramadhan. Semoga saya diberikan kekuatan.

Baru-baru ini, saya dan isteri pergi ke Bengkel Perolehan Manuskrip, anjuran Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka . Asalnya, Grup Karyawan Luar Negara diamanahkan menyertai bengkel kali ini. Biasanya GKLN mengadakan kerjasama dengan DBP bagi penganjuran bengkel penulisan tahunan sempena musim panas untuk pelajar luar negara. Namun, hanya saya berdua dengan isteri sahaja yang menjadi wakil GKLN. Kehadiran pada tahun ini tidak memuaskan.

Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja baharu sahaja ditubuhkan semula sejak dihazafkan pada tahun 2004, iaitu semasa pemerintahan Ketua Pengarah DBP, Tuan Abdul Aziz bin Deraman. Sejak tahun itu, penerbitan buku kanak-kanak dan remaja semakin merosot sehinggalah peranan itu cuba diambil alih oleh PTS.

Dalam bengkel itu, penerangan berkenaan penerbitan buku kanak-kanak dan remaja dalam pelbagai genre dilakukan. Antara pengisi bengkel adalah, Pn. Azihani, editor buku kanak-kanak, Pn Khatijah Ismail, editor buku remaja, Pn Mahaya Mohd Yassin, penulis yang tersohor dalam bidang sastera kanak-kanak dan tidak ketinggalan, Tuan Dr Faisal Tehrani, penulis tersohor dalam bidang sastera remaja.

Pada akhir sesi bengkel selama 3 hari itu, pihak penerbitan Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, menawarkan projek penulisan kepada semua peserta. Setiap peserta diminta menyediakan kertas proposal penulisan buku kanak-kanak dan remaja. Setiap peserta diwajibkan menghantar 1 cerpen, 3 puisi, bagi penghasilan antologi remaja. Manakala bagi penulis Timur Tengah pula, kami ditawarkan satu lagi antologi puisi dan cerpen yang dihasilkan bertemakan remaja serta berlatarkan Timur Tengah selain satu lagi antologi cerpen yang pernah diterbitkan di Mesir, iaitu Dalam 10 Yang Kugelar Cinta. Saya pula mendapat satu lagi projek penulisan, iaitu siri kerjaya bagi kanak-kanak.

Akhirnya, kerja saya bertambah lagi. Kerja bertambah bermakna rezeki bertambah. Itu juga bermakna, saya perlu berusaha lebih kuat lagi bagi menyiapkan semua projek yang saya ada dan saya ingin tulis. Allahu Akbar! Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan.

Klik di sini untuk mendapatkan bahan slide dan bahan audio dalam bengkel tersebut.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.