Multi-Ujian : Menyorot Konflik Dalam Teknik Surah Yusuf

Salam

Alhamdulillah. Allah telah memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dengan salah seorang guru terbaik dalam bidang penulisan. Sebelum sesi Bengkel Menurunkan Indeks Kabus tempohari bermula, Sifu Ainon telah mengamanahkan saya agar saya menulis siri-siri entri berkenaan Surah Yusuf dan Teknik Surah Yusuf, berdasarkan olahan terhadap kitab Surah Yusuf : Dirasah Tahliliah (Surah Yusuf: Kajian Terperinci) oleh Prof. Dr. Ahmad Naufal, salah seorang guru saya. Dr Ahmad Naufal adalah pakar Qasas Qurani, kisah-kisah dalam Al-Quran, yang terkenal di Jordan.

Baiklah, kali ini kita akan mengupas berkenaan mehnah, ujian dan tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Yusuf.

Dalam teori Sastera Teknik Surah Yusuf, secara ringkasnya diterangkan, watak utama atau hero mengalami banyak konflik, yang secara tidak langsung menyerlahkan idealnya watak tersebut. Watak hero bukan sahaja dihadapkan dengan pelbagai ujian, bahkan pelbagai jenis orang pula yang memberi tekanan kepada watak utama. Selepas melalui pelbagai ujian, sebagaimana istilah ‘imtihan‘ (peperiksaan) – perkataan imtihan sendiri memberi maksud besi yang ditempa dengan api – watak yang ditempa dengan multi-ujian ini, akan menjadi watak superhero yang kuat!

Hal ujian ini bertepatan sangat dengan firman Allah:

“Aiff lam mim, Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa ‘Kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut : 1-3)

Terdapat banyak hadith dan ayat Al-Quran yang menunjukkan bahawa para mu’min itu akan diuji untuk mengetahui kebenaran iman mereka. Dan seberat-berat ujian yang dihadapi, adalah ujian ke atas para Nabi dan Rasul, sebab itu ada di kalangan mereka yang digelar Rasul Ulul Azmi (Rasul yang mempunyai keazaman yang kuat).

Mari kita lihat, berapakah jenis cabaran yang dihadapi oleh watak utama yang mu’min kepada Allah dan Rasul-Nya. Terdapat satu hadith yang diriwayatkan daripada Anas r.a. yang menyebut bahawa Orang Mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang susah:
1. Mukmin yang dengki padanya

2. Munafiq yang benci kepadanya

3. Kafir yang memeranginya

4. Syaitan yang menyesatkannya

5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya

(Hadith ini telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dan hadith Anas
dalam tajuk: “Akhlak Yang Luhur.”) – dikutip dari buku Bahtera Penyelamat, Fathy Yakan, Dewan Pustaka Fajar.

Tanah-tanah Sejarah. Gambar Ihsan : My Computer..hehe..Copyright Controlled.

Tanah-tanah Sejarah. Gambar Ihsan : My Computer..hehe..Copyright Controlled.

Secara asasnya, semua mu’min menghadapi ujian seperti di atas. Dan mungkin sahaja konflik yang dihadapi berbeza antara satu sama lain. Jika kita sorot di dalam Surah Yusuf, Nabi Yusuf menghadapi beberapa cabaran dan konflik. Iaitu :

1. Konflik keluarga.

2. Konflik kasih sayang.

3. Konflik maruah diri (apabila dihambakan dan dijual murah).

4. Konflik dengan lawan jantina. Dalam hal ini, Dr Ahmad Naufal tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Nabi Yusuf juga bernafsu terhadap wanita Al-Aziz. Ini kerana apabila kita membenarkan pandangan ini, ia seolah-oleh satu kekejian kepada para Nabi sedangkan para Nabi adalah maksum iaitu terpelihara daripada dosa. Apa yang boleh kita simpulkan di sini, kerana kuatnya godaan wanita tersebut, hampir saja Nabi Yusuf terpedaya sekiranya tidak melihat tanda kebesaran Tuhannya. Tanda itu boleh ditakwilkan (ditafsirkan) sebagai istighfar atau lintasan di dalam hati yang segera mengingatkan kepada Allah.

5. Konflik dengan penguasa. Termasuk di dalam konflik ini adalah konflik penguasa eksekutif (al-Aziz) dan legislatif (hakim). Sedangkan dengan raja Mesir sendiri, Nabi Yusuf tidak menunjukkan pertentangan yang nyata berbanding kisah Nabi Musa dan Firaun.

6. Konflik dengan harta dan pangkat. Dalam hal ini, Nabi Yusuf menunjukkan cara terbaik menghadapi konflik dengan harta dan pangkat.

Jika kita merujuk kepada sebab turunnya surah Yusuf yang unik ini, kita akan dapat memahami mengapa kisah terbaik dan indah ini sebegitu rupa konfliknya. Surah Yusuf ini diturunkan dalam fasa Makkah, iaitu semasa Nabi Muhammad dan Bani Hasyim dipulau habis-habisan di sebuah lembah sekitar tahun ke-12 pengutusan Nabi. Ada riwayat juga mengatakan surah ini turun ketika Nabi sedang berdukacita kerana kehilangan Saidatina Khadijah dan pakciknya Abu Talib dalam Tahun Dukacita, 10 tahun selepas pengutusan Nabi. Dengan ujian yang berat, makanan yang kehabisan, daun-daun kayu telah habis dimakan, lembah yang gersang, umat yang malang, sehingga ramai yang bertanya-tanya, bilakah bantuan akan datang?

Maka turunnya surah ini menghilangkan keraguan sama sekali di jiwa para umat. Memberi harapan kemenangan, menenangkan jiwa yang kehausan pertolongan, sekaligus memberi persediaan untuk HIJRAH!

Demikianlah, multi-konflik dan multi-ujian dalam kisah indah Surah Yusuf, mematangkan minda umat mengurus konflik gaya mu’min. Oleh itu, pengarang-pengarang berdasarkan Teknik Surah Yusuf menulis untuk memberi sinar baru kepada mu’min yang lelah bertarung dengan dunia. Penulis gaya Surah Yusuf menonjolkan impian masa depan gemilang, terhadap watak utama dalam cerita, dan watak pembawa konflik agar mereka bekerjasama secara realitinya menghijrahkan dunia silam mereka kepada gaya hidup Islam.

Marilah, wahai penulis sekalian, kita tanamkan semangat baru dalam hidup para pembaca karya kita!

Buntu-buntu Awal Mei

Assalamualaikum…

Maafkan saya meninggalkan kalian tanpa entri baru dalam hampir sebulan, atau dah sebulan tepat pun. Saya dikejar buru-buru buntu peperiksaan dan projek bahas (tesis subjek) serta kerja-kerja rumah yang agak banyak. Baru saja usai peperiksaan pertengahan semester akhir bulan 4, awal bulan 5 ini sudah digertak buntu-buntu peperiksaan kedua (sepatutnya tiada, tapi ramai doktor yang suka adakan juga) yang mini berbanding peperiksaan pertengahan semester. 4 tesis subjek juga perlu dihantar. Lelah juga saya dikejar tarikh matinya. Belum dicampur 2 tawaran menulis lagi yang juga perlu diselesaikan pada akhir Mei.

Imtihan

Imtihan kalau mengikut mafhum dalam kamus Arab, adalah perbuatan membakar logam sehingga cair demi membuang sisa-sisa bukan logam padanya. Justeru, bila imtihan yang dilakukan berulangkali, akan menambah nilai  sesuatu logam itu, padu atau tidak. Seperti emas, dibakar beberapa kali hingga akhirnya membentuk logam emas yang padu, betul-betul tinggi nilainya.

Perkara imtihan ini disebut oleh Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 3, yang mana Allah menyatakan bahawa orang-orang beriman yang diuji dengan arahan Allah dan Rasul, merekalah orang yang diuji hati mereka agar menjadi bertaqwa, supaya mereka mendapat pahala dan keampunan yang besar.

Apabila direnung-renungkan kembali, mungkin imtihan perlu dilakukan beberapa kali, agar kefahaman terhadap sesuatu ilmu itu menjadi lebih mantap, dan kekal utuh di minda dan di jiwa setelah menjadi amalan. Peri pentingnya memahami sesuatu ilmu itu setelah belajar, apatah lagi ilmu agama, adalah kerana ilmu agama itulah yang harus diajarkan kepada masyarakat nantinya. Justeru, bagaimanalah kalau ilmu yang dipelajari tidak difahami dengan baik dan utuh malah disalahfahami pula?

Tesis

Tesis subjek adalah satu projek akhir semester yang saya suka buat. Cumanya, akhir-akhir ini baru saya dapat peluang untuk membuatnya. Tidak terlalu susah, cuma perlukan sedikit ketekunan dan kerajinan untuk menyusun, menganalisa dan menaip dengan cermat. Kalau malas, mungkin boleh tulis tangan. Cuma, keburukannya ialah, apabila tulisan tangan tidak dapat diedit sekiranya tersilap. Saya tidak mahu kertas tesis dipenuhi comotan liquid paper. Dalam kepeningan demi 4 buah kecermatan, dapatlah saya membikin tajuk kitab yang menarik. :) Saya kongsikan di bawah:

  • Tuhfatul Banin Fi Ma’rifah Pala Penin (tak tahu nak terjemah cemana)
  • Majma’ul Badrain Tamyizan Baina Suda’ Wal Migrain (Kumpulan bulan, pembeza pening kepala & migrain)
  • Raudhul Murabba’ Syarah Perut Lapar Murtabak (taman 4 segi, syarahan buat perut lapar murtabak)
  • I’anatud Darisin Li Man Kuat Bersin (bantuan pelajar bagi mereka yang kuat bersin)
  • Mafatihul Hasanat Fi Jasad Yang Penat (Kunci-kunci kebaikan bagi jasad yang penat)
  • Ittila’ul Budur Mukhtasar Kelip-Kelap Mata Nak Tidur (Kemunculan bulan-bulan, ringkasan mata terkelip-kelip mahu tidur)

Seronok pula bikin tajuk kitab. Ulama’-ulama’ zaman kurun ke-6 Hijrah ke atas, ketika zaman kemunduran fiqh, banyak membikin syarah dan mukhtasar kitab mazhab. Jadi, pada masa itulah muncul banyak tajuk kitab yang berbunyi seolah-olah bersajak. Atau bermetafora. Teman-teman serumah pula, ada yang acap kali bikin tajuk kitab sambil bersembang atau makan-makan. Cita-cita mereka hebat! Ada yang ingin tulis kitab Tafsir dalam ISA, ada yang mahu bikin kitab radd kitab kawan yang lagi satu dan macam-macam lagi. Moga cita-cita mereka tersalur pada realiti, dan hakiki, bukan sekadar sembang-sembang kala mengadap rezeki!

Karya

Seharusnya saya fokuskan sedikit masa saya untuk karya. Tapi akhir-akhir ini tak berkesempatan langsung. Saya sedang ubah jadual hidup saya agak bertepatan dengan masa sebagai hamba, pelajar, anak dan pembawa Quran. Agak susah bila kadangkala tak sempat buat semua sekali. Tapi saya mohon Allah susun jadual hidup saya agar lebih berkemampuan membuat semua perkara yang sepatutnya saya buat dalam usia yang telah melebihi suku abad ini. Han Ri jemput saya menyertai komik di Mesir. Saya ada bikin sajaknya, cuma belum ada follow up daripada Han Ri sendiri. Fahd Razy pula jemput saya menyertai Antologi 50 Penulis untuk GKLN. Insya-Allah saya akan hantarkan karya sedikit masa lagi. Dan, Ustazah Ummu Hani (yang telah buka kedai buku baru-baru ini di Tesco , Mergong,  Kedah), juga belum respon tentang  karya cerpen  untuk antologi  Jabatan Dakwahnya.

Saya berhasrat, dalam separuh tahun yang kedua ini, untuk menembusi media perdana. Tak dapat cerpen, dapat sajak pun sudah cukup berbaloi. Hasrat itu saya perlu tukar jadi azam. Saya tidak mahu menulis kerana antologi sahaja, dan tidak mahu menulis bermusim. Biarkan saya jadi penulis kerana ingin menulis dan kerana Allah. Hasrat kedua, saya ingin menterjemahkan beberapa buah buku kecil sebagai panduan mereka yang ingin mendekati Quran sebelum saya pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, saya telah jumpa beberapa buah buku kecil, yang sangat sesuai dibaca oleh khalayak. Tidak kira jika ia diterbitkan secara bercetak atau tidak nanti selepas siap terjemahan, yang penting saya mahu isi buku ini sampai kepada khalayak. Saya cemburu pada Said M. Jamaluddin yang sudahpun berjaya menerbitkan beberapa buku ilmiah, di Malaysia dan di sini, meskipun beliau sering diburu kesibukan. Sudah sampai masanya pelajar-pelajar Jordan, menulis buku dengan lebih giat lagi. PMRAM juga sudah lama menawarkan kesudian mereka untuk mencetak buku-buku tulisan pelajar Jordan, sekiranya kewangan dan kos percetakan yang membebankan yang menjadi masalah. Cuma, keazaman untuk menulis yang perlu disemai dan disematkan di minda, hati juga tangan. Insya-Allah, jika niat kita menulis kerana Allah, Allah akan gantikan kesukaran dan kepayahan kita menulis dengan ganjaran yang tidak putus-putus apabila buku kita dibaca dan diamalkan.

Kita harus cemburu dengan ulama silam. Stamina mereka menulis kitab mengkagumkan. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah menulis kitab setebal beberapa ratus muka surat, dalam satu malam sahaja. Imam At-Tabari, menulis kitabnya dalam masa 7 tahun, untuk kitab setebal 30 jilid, lengkap dengan dalil-dalil naqli (Sunnah, Athar Sahabat & Tabiin), dalil aqli (perbandingan pendapat dan pemilihan pendapat terbaik berdasarkan dalil naqli dan sumber-sumber lain seperti bahasa Arab, ijma’ dan qiyas) sehingga menjadi kitab tafsir induk yang paling lengkap dan ulung (walaupun ada beberapa kekurangan seperti riwayat Israiliyyat dan Syi’iyyat, tapi kekurangan itu ditampung oleh  sanad-sanad yang turut ditulis bersama, dengan ini, Imam Tabari terlepas daripada menanggung kesalahan pembawa riwayat). Dan ramai lagi ulama yang hebat hatta di zaman kita ini. Bila lagi kita mahu turuti jejak para ulama’?

KARISMA

Kerana tesis dan sakit yang tidak dapat dimaklumkan, saya terpaksa mengundur diri daripada menjadi ahli pasukan tarik tali untuk Amman. Alhamdulillah, dalam sekian banyak pertandingan yang dipertandingkan, cuma 5 acara sahaja yang Amman sempat wakili dan 3 daripadanya memenangi pingat. 1 emas (tarik tali), 1 perak( Pidato BA oleh Adik Syahirah, anak us Mujahid) & 1 gangsa (pingpong Us Mujahid). Alhamdulillah, kemenangan yang tak dijangka.  Bola sepak juga mendapat kedudukan yang agak tinggi berbanding tahun-tahun sudah. Semoga semangat yang ditunjukkan berkekalan sampai tahun-tahun akan datang.

Kitab

Saya sedang gila kitab sekarang ini. Minggu lepas, memborong kitab syeikh Abu Faris, Dr Fadhal, Syeikh Solah dan Dr Yusuf Qaradhawi di samping kitab-kitab lain. Minggu ini, saya teruskan kegilaan itu dengan memborong pinjam buku-buku Dr Yusuf Qaradhawi di perpustakaan jamiah, setiap kali pinjam 4 buah. Dan saya keluar fotostat kitab-kitab yang jarang dan sangat susah didapati di pasaran itu. Inilah antara sebab mengapa saya terpaksa pinjam. Kalau ada di pasaran, memang saya sanggup beli walaupun mahal. Setakat ini, sudah 60% kitab syeikh yang berjaya saya kumpul. Insya-Allah, seminggu lagi saya akan habiskan koleksi ini, selepas itu saya akan tumpukan pada kitab Anwar Jundi dan Syeikh Abu Hassan Ali An-Nadwi. Sambil-sambil baca buku untuk imtihan, seronok juga baca buku untuk kefahaman Islam. Semoga ilmu yang dibaca dapat diterapkan dalam amalan. Insya-Allah…

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.