Menterjemahkan Al-Quran bagi Saudara Baru
22 Jun 2011 Leave a Comment
in Lari Sebuah Diari, Rasa Semasa, Rehlah Maktabiah, Terjemahan Al-Quran Tags: terjemahan al-Quran
Dengan nama Allah yang sangat pengasih dan sangat mengasihani.
Hari ini saya menulis berkenaan menterjemahkan al-Quran. Sudah hampir setahun saya tidak menulis di blog ini. Mungkin salah satu sebabnya adalah disebabkan saya agak sibuk menterjemahkan al-Quran bagi saudara baru. Blog ini juga termasuk dalam pemerhatian semula, sama ada akan terus dikekalkan ataupun saya akan memadamkannya dan menggantikannya dengan blog lain. Tetapi, selepas melakukan muhasabah, rasanya ada baiknya saya mengekalkan blog ini di samping menulis blog-blog lain (memang itu pun yang saya selalu buat, terlalu banyak blog sehingga pening mana satu mahu kemaskini. Heheh).
Alhamdulillah, projek penterjemahan al-Quran bagi saudara baru, yang saya sedang usahakan bersama Puan Ainon Mohd, kini tinggal sekitar 20 peratus lagi. Satu pencapaian jangka panjang dan usaha yang sukar dan memakan tenaga, masa dan kudrat yang ada. Hal ini disebabkan, terjemahan yang kami usahakan ini bukanlah terjemahan al-Quran yang biasa. Terjemahan al-Quran buat saudara baru ini adalah terjemahan berasaskan metod Fasa Mekah, iaitu fasa dakwah kepada golongan yang masih tidak pandai agama Islam. Justeru, setiap perkataan, setiap ayat, setiap nama surah, dan setiap persoalan yang ada di dalam terjemahan, mestilah selari dengan cara mereka memahaminya.
Ya, sebagaimana Nabi berkata, “Bercakaplah kepada manusia, berdasarkan kadar pemahaman akal mereka.” Tanpa sifir paling penting ini, betapa berbunga pun, betapa cantik pun mushaf al-Quran yang dihasilkan, tiadalah mempunyai erti yang mendalam bagi mereka, iaitu golongan yang belum cerdik agama, kerana mereka sebenarnya sukar memahami jargon-jargon atau perkataan khusus yang difahami oleh golongan yang belajar agama.
Salah satu sebab timbulnya keperluan menterjemahkan al-Quran dengan gaya bahasa yang baru ini, adalah disebabkan mushaf terjemahan kita tidak disemak terjemahannya sejak hampir 50 tahun lalu. Kita hanya bergantung kepada terjemahan pada awal tahun 50-an, yang gaya bahasanya agak sukar difahami, hatta oleh mereka yang mempelajari agama Islam. Selain itu, disebabkan politik kita sudah semakin membaik, lebih banyak pintu agama dan isu agama yang dibincangkan dan dibahaskan di kalangan masyarakat umum. Hal ini menyebabkan lebih banyak keperluan dan permintaan bagi golongan saudara baru, selain golongan bukan Islam dan golongan belum pandai agama sendiri, untuk mendalami al-Quran menerusi terjemahan yang ada. Tiada jalan lain, kerana mereka perlu memahami, tapi mereka tidak menguasai bahasa Arab untuk mula memahaminya.
Setakat ini, ada beberapa jenis terjemahan al-Quran yang diterbitkan di Malaysia. Iaitu :
- Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, terbitan BAHEIS atau JAKIM (kini).
- Terjemahan al-Quran terbitan al-Hidayah House of Al-Quran. Mushaf ini diterbitkan oleh al-Hidayah, dengan bantuan pakar-pakar bahasa dan terjemahan al-Quran. Mushaf ini dilihat lebih baik dari segi mudah memahaminya, kerana bahasanya lebih moden.
- Terjemahan al-Quran terbitan Yayasan Restu. Mushaf ini lebih menumpukan kepada khat dan gaya cetakan yang cantik pada mushaf. Dari segi terjemahannya, banyak isinya diambil daripada Tafsir Pimpinan ar-Rahman
- Terjemahan al-Quran terbitan Darul Iman. Mushaf ini adalah berasaskan terjemahan al-Quran dari Indonesia.
- Terjemahan al-Quran terbitan Kompleks Al-Quran Raja Fahd, Madinah Munawwarah, Arab Saudi.
- Tafsir al-Quran Rasm Uthmani, terbitan Dar El-Fajr, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Disemak oleh Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Para pembaca boleh memilih mana-mana terjemahan al-Quran untuk dibaca. Namun, setiap terjemahan tidak sempurna, kerana terjemahan adalah bahasa manusia. Bukan seperti bahasa Allah, yang dijelmakan dalam bentuk bahasa Arab. Justeru, terjemahan berfungsi membantu manusia memahami bahasa Allah dengan lebih baik, meskipun tidak mungkin sempurna.
Projek Terjemahan al-Quran edisi saudara baru, insya-Allah akan diterbitkan pada tahun 2012. Mohon doa daripada semua pihak dan para pembaca agar usaha ini diberkati oleh Allah dan dapat sampai ke pangkuan khalayak dengan baik, serta dapat membantu semua pihak memahami al-Quran dengan lebih baik. Amin…






Komen Terkini