Entri Ini Untuk Abah


Abah,
Kumulakan warkah ini dengan selawat dan salam atas penghulu dunia dan akhirat, Nabi Muhammad S.A.W. semoga Baginda memandu dan menyuluh jalan hidup ini dengan sebaik-baiknya…

Abah…
Telah 27 tahun hijri daku hidup bersamamu. Telah lebih suku abad, usiaku kuhabiskan di bawah ketaatan kepadamu, semoga ia menjadi ketaatan kepada Allah. Sejak diriku dilahirkan Ummi, daku ditatang bagai minyak yang penuh. Meskipun kadangkala kemahuanku tidak dipenuhi atas sebab-sebab tertentu, namun daku merasakan, daku adalah anak yang dimanjakan sebagai anak lelaki tunggal dan anak bongsu. Meskipun daku tidak pernah mahu digelar anak yang manja, atau yang terlalu bergantung kepada ibu bapa, namun, atas tarbiah yang agak memanjakan itu, hatiku agak lembut dan kadangkala tidak berapa kuat untuk menghadapi dunia.

Ketahuilah abah, daku seringkali teringat beberapa peristiwa yang abah tunjukkan kepadaku, bagaimana suatu ketika daku menyeberangi jalan, tanpa sedar kereta meluru laju kepadaku, silapku kerana melepaskan tangan ummi, untuk pergi kepadamu tanpa menoleh kiri dan kanan. Akhirnya pelempang yang hinggap di belakang. Daku menangis dalam diam, sambil mendengar hujjah ummi, akhirnya daku ketahui, abah amat sayangkan daku. Terima kasih abah!

Zaman kanak-kanak dan remajaku, banyak dihabiskan bersama abah. Abah menyuruh daku memerhatinya mengenal enjin kereta (walaupun aku tak berapa mengerti sampai ke hari ini), bergelumang dengan minyak hitam, memegang lampu suluh, menukar tayar menukar bateri kereta…Hinggalah kepada kerja-kerja lain, yang mungkin tidak terbayang remaja seumpamaku melakukannya, aku diajar mengecat segala-galanya (kayu, batu, besi), menggunakan mesin pengisar sisa perkebunan (sampai jari hantuku hampir terbelah dua kerana tersilap hulur tangan), berkebun di Paya Jaras, memecah rumah (hihi…memecahkan dinding pemisah antara 2 rumah abah dan umi, sebelah-menyebelah), bercucuk tanam di rumah Rasah, menyiram halaman setiap hari, memasang pagar batu-bata, mengetam papan, memasang jeriji besi tambahan (siap guna pengimpal) selepas rumah kita dirompak, memasang karpet,membersihkan rumah, memasang pavement di halaman rumah dan seribu satu kemahiran yang tidak dapatku perolehi di mana-mana. Tarbiyyah kerja kasar ini menjadikan daku seorang yang berkemahiran dan agak kasar sebagai lelaki, selain larangan abah memanjakanku di dapur atau hal-hal keperempuanan. Terima kasih abah. Suruhanmu itu daku taati semampu mungkin, dan cuma kadangkala saja malas dan liat. Hasilnya, banyak projek tidak siap mengikut waktu.🙂

Abah, pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah rendah Islam, kemudian ke sekolah menengah Islam, lalu ke kolej dan universiti Islam, memahamkanku betapa pentingnya nilai Islam dalam diri dan nilai Islam yang abah mahu terapkan dalam famili. Semakin lama aku mendalami Islam yang aku anuti, semakin terasa bahawa famili kita masih belum cukup sifat keislamannya. Biarpun kita masih menjaga solat 5 waktu dan puasa, namun kita masih kurang solat berjamaah, masih kurang pengisian jiwa di rumah atas kesibukan kita masing-masing yang mungkin terlupa bahawa dunia yang kita kejar akan ditinggalkan. Pundakku yang terbeban dengan amanah abah untuk mentarbiah famili, kadangkala tidak mampu tertanggung. Tambahan dalam keadaanku yang tidak terurus, dengan iman yazid wa yanqus, daku seringkali tewas dalam menjunjung amanah itu. Abah, maafkanku sekiranya daku tidak mampu menunaikan amanah itu. Sebenarnya, kita berdua yang patut memikulnya bersama, cuma, akhir-akhir ini, daku lihat, abah banyak menswastakan kerja-kerja itu kepadaku. Mungkin, suatu masa nanti, aku benar-benar perlu untuk memikulnya, wallahu a’lam.

Abah, daku pernah berputus asa atas amanah menuntut ilmu ini walaupun pilihan ini yang daku berdiri di atasnya, dan daku cuba berpegang dengannya kerana hanya di sini jalan selamatku. Daku pernah kecewa atas keenggananmu dan keengganan ummi memahami diri. Setelah melukakan hati kalian, atas nama cinta, dan atas nama kasih sayang, daku merajuk lebih dari setahun, enggan pulang ke Malaysia. Selepas kegagalan demi kegagalan yang daku lihat, daku cuma mampu menangis di dalam hati kerana amanah yang abah dan ummi pundakkan itu tidak mampu terlaksana sempurna. Kerana keperluan cinta dan kasih sayang yang tandus dalam diri, mungkin kerana kesibukan kalian, daku memburu kasih orang. Terjunam jatuh selepas gagal dalam perburuan, plus menambah murka kalian, daku pasrah kini. Daku cuma mampu berdoa, moga hati terisi dengan cinta yang benar. Moga hati terisi dengan cinta yang halal, yang diredhai kalian. Kalau bertahun-tahun dapatku tahan (dengan seribu kegagalan dan kekecewaan), apakan pula berbulan-bulan.

Teringat kalam murka Abah, ketika hati Abah diguris perlakuanku. Abah, maafkan daku. Abah, ampunkan daku. Harapan yang terlalu tinggi, desakan nafsu yang menghujan lagi, dihembus pula dengan kesakitan dan nyeri, memungkinkan daku menjadi anak yang dimurkai. Abah, fahamilah, ini adalah natijah beberapa tahun sudah. Natijah tandus cinta lillah, tandus cinta abah, dan ketidakmampuan diri menjadi sebagaimana yang diharapkan, daku terpaksa melukakan hati Abah. Abah, maafkan daku atas perlakuan itu.

Kini, setelah usia Abah menjejaki 57 tahun, daku sedar, betapa berharganya kesilapan yang pernah daku lakukan. Betapa peritnya sebuah pengorbanan demi anak yang dikasihi, demi menunaikan cita-cita anak yang kadangkala tidak mengingat budi. Insya-Allah abah, selagi nafas berdegup dalam diri, akan kucuba sempurnakan amanah ini dengan segala susah payah. Akan kuteruskan liku-liku kehidupan dengan cinta baru, yang berputik lagi di hati Abah dan Ummi. Doakanku tetap di atas jalan ini, jalan para Nabi, dan tetap menjunjung kasih Ilahi, bersulam redha Abah dan Ummi.

Abah, selamat hari lahir ke-57. Moga dipanjangkan usiamu dalam iman dan taqwa, dalam amal dan redha. Persiapkanlah bekal sebanyak-banyaknya untuk hari kemudian. Sesungguhnya daku, daku ingin menjadi salah satu bekalmu untuk ke akhirat nanti, ya, anak yang soleh. Doakan daku ya Abah, tulus kepada Allah, agar daku menjadi anak soleh yang kalian harap-harapkan. Ameen…

Ingatan dari jauh,
Asyraff..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: