Saya, Perpustakaan & Buku


Setelah penat berpusing-pusing kepala dalam timbunan buku-buku sempena peperiksaan, saya baru berpeluang untuk menulis di blog. Huhu…Tinggalkan kalian selama sebulan lagi…Terpaksa…Jadi, insya-Allah, akan ada beberapa catatan blog selama tertangguh ini…
Saya akan mulakan dengan artikel memori saya tentang buku, perpustakaan dan pustakawan…


Kutub Compact Version

SAYA, PERPUSTAKAAN & BUKU

Memorial Pustaka
Sejak kecil lagi, Abah biasakan kami untuk membaca. Rak buku di rumah memang tak banyak, tapi saya masa kecil sudah mula membaca gambar. Sampai sekarang masih teringat-ingat bau rak buku yang telah usang itu. Banyak buku tentang perubatan dan mekanikal yang menjadi santapan mata saya.

Boleh dikatakan selalu, pada hujung-hujung minggu, kami adik-beradik ‘dilepaskan’ menikmati secara bebas buku-buku di perpustakaan yang paling dekat dengan kami ketika itu, Perpustakaan Awam Selangor di Shah Alam. Saya sendiri sudah lupa buku apa yang kami pernah pinjam dan baca.

Musim yang agak menarik adalah musim jualan murah, jualan gudang dan Pesta Buku tahunan yang banyak terdapat di sekitar Subang, PJ dan Kuala Lumpur. Musim seperti inilah saya dan kakak-kakak berpeluang mengorek poket Abah membeli seberapa banyak buku yang kami mahu, dan Abah selalunya akan membelikan saya buku-buku ‘berbau’ lelaki, supaya saya menjadi lelaki sejati!

Pustakawan
Sejak sekolah rendah lagi, saya sering berkeinginan menjadi seorang pustakawan. Setiap sekolah saya masuki, saya cuba mengambil peluang untuk menjadi pustakawan. Namun, hajat itu cuma pernah tercapai dalam tempoh percubaan, ketika saya di Tingkatan 2.

Di sekolah rendah swasta kami, perpustakaan yang dibina hanyalah berupa sebuah bilik berukuran 7×8 meter persegi, yang disusun di dalamnya rak-rak yang tirus di atasnya dan lebar di bawahnya. Dan di bahagian bawah rak, ada ruang kosong yang memungkinkan kami, anak-anak sekolah bermain sorok-sorok di dalam rak buku!

Ketika waktu masuk ke perpustakaan tiba, saya dan kawan-kawan tidak melepaskan peluang mengambil buku-buku bacaan (terutamanya buku bergambar) di tepi rak, dan membacanya di bahagian bawah rak. Kebetulan, selalunya waktu perpustakaan adalah sebelum waktu rehat, dan bilik perpustakaan bersambung dengan pintu dewan makan. Jadi, kadangkala, kerana asyik membaca di ‘dalam rak’ kadangkala terlepas waktu makan, meskipun dewan makan bersebelahan saja. Buku-buku yang selalunya jadi rebutan adalah buku-buku penyiasatan Hardy Boys, Siri Penyiasat Salma, 5 Penyiasat dan macam-macam lagi. Kerana sekolah kami ketika itu adalah sekolah swasta, jadi, kerencaman buku-buku agak menyedihkan. Seingat saya, hanya ada 4 buah rak buku saja yang wujud ketika itu. Kalaulah dibandingkan dengan sekolah integrasi dan sekolah-sekolah moden hari ini….Mungkin anak-anak sekolah kini tidak tergambar bahawa mungkinkah wujudnya sekolah seperti itu…Persoalan yang sama, mungkin tergambar di minda bapa-bapa kita…:)

Ketika di Tingkatan 2, saya sempat menjadi pengawas perpustakaan percubaan. Tapi peluang menjadi pustakawan di sekolah swasta itu, dihancurpunahkan oleh ‘skandal-skandal’ penyalahgunaan perpustakaan sebagai tempat berdating adik angkat-kakak angkat, maka perpustakaan yang menjadi satu-satunya penghubung kehidupan di dunia luar itu ditutup! Saya turut terpalit tempias skandal yang sama (oh tak sangka…kenapa jahat betul saya ni?) dan akhirnya perpustakaan yang banyak sangat mengandungi buku-buku agama itu dipindahkan ke bangunan baru sekolah (sekolah dalam proses perpindahan bangunan baru) dan ditutup sehinggalah saya tamat PMR!

Di KISAS, saya cuba memohon jawatan pustakawan (tak malu sungguh, mohon jawatan). Malang lagi nasib saya, permohonan ditolak kerana saya masuk ke tingkatan 4 agak lewat, 3rd intake. Perpustakaan KISAS (PERKISAS) agak besar, dan mengandungi banyak buku agama. Buku kegemaran saya banyak terdapat di bahagian redspot (kawasan buku rujukan, tak boleh dipinjam). PERKISAS masih lagi menggunakan sistem Dewey ketika itu. Saya banyak mengambil manfaat dari PERKISAS setiap bulan apabila muncul majalah-majalah sastera atau yang mengandungi ruangan sastera. Saya akan pastikan saya memfotostat setiap ruang tersebut dan meminta pakcik Din (penjaga perpustakaan) menyimpannya setiap bulan. Pembacaan saya terhadap sastera banyak bermula di KISAS antara yang memberi bimbingan adalah Cikgu Noorhizan Yahaya (guru BM Ting5), Cikgu Talib Hamid (Munsyi Dewan), Cikgu Nooridah Ramlan (guru PA2 Ting6) dan Cikgu Siti Arpah Mohd Sabitah (Guru PA1 Ting6). Ketika di tingkatan 6, saya sudah mula rasa berpuas hati biarpun tidak menjadi pustakawan (ketua pelajar tidak dibenarkan menjadi pustakawan), tapi saya rapat dengan perpustakaan dan pustakawan. Kadangkala pada waktu dan hari pelajar biasa tidak dibenarkan masuk, saya dibenarkan masuk ke bilik rehat pakcik Din yang mengandungi majalah-majalah yang pelajar biasa tak dapat baca, atau buku-buku lain, sambil-sambil bersembang dengan pakcik Din dan minum kopi sejuk. Kroni!😀

Buku Yang Pernah Saya Baca
Sebenarnya banyak buku pernah saya baca di rumah, sebab Ummi dan Abah wajib membelikan kami bahan bacaan baru setiap beberapa bulan. Tapi kebanyakannya saya sudah lupa tajuk dan penulisnya. Kadangkala, saya terbaca buku yang sama dua-tiga kali, kerana bahan bacaan baru sudah habis di rumah.

Kerana Ummi adalah guru sekolah menengah, guru bahasa Melayu, Sejarah dan yang berkaitan, maka banyaklah bahan bacaan tambahan untuk kami di rumah. Saya menghabiskan jenis-jenis novel remaja seperti Badai Semalam (Khadijah Hashim), novel kanak-kanak seperti Guruku, Ibuku Jua (Nazel Hashim Mohamed), Penunggu Tasik Ladam (Othman Puteh), novel dewasa seperti Ranjau Sepanjang Jalan (sudah lupa siapa penulisnya), Meniti Buih (lupa siapa penulisnya) dan berpuluh-puluh novel lain ketika di sekolah rendah dan menengah rendah. Sempat juga saya menjadi pemborong novel kanak-kanak dari penerbitan Kenari ketika di tingkatan 2, novel-novel nipis dan boleh dikatakan berkualiti.

Kerana Abah pula bekerja di MAS, setiap tahun ada saja tiket percuma ke luar negara. Saya ingat lagi tatkala pergi mengerjakan umrah, Abah membelikan saya buku-buku terbitan Ladybird, buku bertulis dan bergambar, lengkap dengan kaset-kasetnya, di dalam bahasa Arab! Kisahnya adalah kisah ‘biasa’ kanak-kanak, ya, cerita-cerita Aesop Fables, yang selalu sangat mewarnai dunia kanak-kanak negara terjajah oleh British dan Amerika, namun, yang menariknya, adalah buku itu boleh dibaca sambil mendengar ceritanya. Kerana saya ketika itu tidak terlalu minat membaca buku berbahasa Arab, maka saya cuma membaca gambarnya saja!

Tapi saya turut terkesan dengan fenomena komik Jepun yang melanda Malaysia pada awal 1990-an sehingga setiap bulan ada saja komik yang dibeli. Lebih mujur saya tak terpengaruh dengan komik Hong Kong yang strok lukisannya lebih lawa, kerana komik Hong Kong lebih mahal dan lebih panjang jalan ceritanya. Untuk ibu bapa, janganlah benarkan anak-anak anda membaca komik terjemahan, kerana bahasa melayunya sangat teruk!

Ketika di tingkatan 4 dan 5, saya lebih gemar mengadap dan membaca buku di atas katil sambil berbaring, selepas solat Asar dan mendengar tazkirah di musolla sementara sahabat-sahabat yang lain sibuk beriadah dan bersukan. Saya tergolong dalam kategori ‘mandom’ sejak darjah 6 lagi selepas melakukan pembedahan kecil. Selepas pembedahan itu, rasa terlalu malas pula untuk bersukan, namun begitu saya tidak pernah lebih berat badan. Di atas katil itulah saya berkenalan dengan buku-buku agama berbahasa Melayu yang Abah dan Ummi punyai, saya bawa ke asrama, dan menghadamkannya. Saya berkenalan dengan buku Halal & Haram dalam Islam oleh Dr Yusuf Qaradawi di atas katil bilik LA 102!

Pertama kali saya membeli kitab berbahasa Arab, yang boleh dipanggil kitab, ketika musim umrah tingkatan 4. Kitab pertama saya beli adalah kitab koleksi Hadith-hadith Qudsi, senipis komik Jepun bulanan, dan berharga 8 Riyal Saudi. Ia adalah satu motivasi yang mematangkan, kerana kesannya, walaupun saya tidak ke Madinah, tapi akhirnya saya ke Jordan. Selepas menjejakkan kaki di Jordan, saya terus jatuh cinta untuk mengumpul kitab agama berbahasa Arab pula. Alhamdulillah…

Prestasi Bacaan
Biasa sahaja sebenarnya. Cuma kadangkala, satu novel satu malam sempat mengkhatamkannya. Untuk buku agama berbahasa Melayu, sama tahap kelajuan membacanya dengan novel biasa. Manakala kitab berbahasa Arab, hanya 10 mukasurat satu jam. Saya sudah cuba menggandakannya lagi, namun tidak berjaya.

Walaupun saya banyak membaca, namun, tahap pembacaan saya tidak melayakkan saya menjadi tokoh nilam di mana-mana peringkatpun! Bahkan prestasi bacaan saya agak menurun selepas terkena penyakit komik. Ghairah untuk membaca bahan ilmiyah atau bahan sastera juga agak berkurangan. Mujur, tinggal di Jordan mengurangkan sedikit pembacaan komik kerana saya perlu membaca kitab-kitab lain yang lebih banyak. Doakan saya dapat membaca apa yang pernah saya beli dan saya simpan…

Zaman Yang Beredar

Daripada buku bergambar ke buku novel kanak-kanak ke buku novel dewasa, terus ke buku-buku agama, dan terjatuh pada pangkuan komik, bangkit lagi membaca kitab berbahasa Arab pula dan kini, saya jatuh cinta pula dengan e-kitab. Zaman berubah dan semakin banyak laman yang menyediakan kitab elektronik. Satu penjimatan yang sangat diperlukan ketika kitab kini semakin naik harganya dan semakin susah diperolehi. Kerana adalah sangat penting mempunyai maktabah sendiri, dalam pelbagai jurusan ilmu, tapi dalam keadaan kurang mampu, e-kitab adalah alternatif terbaik. Saya pula terpaksa memilih untuk mengumpul kitab berbahasa Arab kerana di dalam keluarga besar saya, tidak ada yang memilih pengajian Islam. Jadi mahu tidak mahu, saya perlu mengorbankan sebahagian besar wang bulanan saya untuk kitab, kalau tidak, saya tiada bahan untuk menambah ilmu nantinya.

Saya dalam proses memuatturun ribuan kitab elektronik dari beberapa lawan sawang yang ada. Selepas itu, barulah saya puas hati dan kegilaan mengumpul kitab akan berkurangan sementelah saya perlu tumpukan bagaimana untuk saya hantar pulang segala-galanya yang saya kumpul selama bertahun-tahun itu. Oh!

Saya, Perpustakaan & Buku Akan Datang
Saya mengimpikan membina maktabah sendiri. Alhamdulillah Allah perkenankan impian itu di Jordan. Saya impikan untuk menjadi pembekal kitab atau buku. Insya-Allah, sedikit masa lagi Allah akan kabulkan, saya adalah pengurus menanti untuk kedai-kedai Abah!

Maktabahku...Kitab di rak tak pernah kurang, tapi ilmu di dada makin berkurang.

Saya pernah impikan untuk menjadi pembekal kitab berbahasa Arab bagi para pencinta ilmu di Malaysia, kerana kitab arab selepas dieksport ke Malaysia akan bertukar harganya menjadi berkali-kali ganda, dan ia adalah satu kemalangan yang agak ketara. Contoh yang selalu saya ambil, kitab Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-Asqalani, cetakan berkualiti dan terbaik hanya sekitar 45JD (RM225+-) dan cetakan yang sama saya temui di UIA berharga RM1000++! Tidak berbaloi untuk mencicip kitab di Malaysia dan saya yakin ramai yang mengakui perkara tersebut. Dan kiranya Allah izinkan saya menjadi pembekal kitab, insya-Allah, saya sudah mempunyai beberapa perancangan ke arah itu.

Saya juga impikan untuk membina sebuah maktabah elektronik atau digital. Mungkin di dalamnya lebih banyak CD, DVD, kaset daripada buku, atau mungkin hanya sebuah komputer, tapi lautan ilmu di dalamnya lebih luas. Sebahagian impian itu juga Allah sudah kabulkan. Mungkin dalam masa 10 tahun akan datang, saya dapat membina sebuah perpustakaan awam milik persendirian yang menjadi pusat rujukan ilmiah komuniti universiti.

Impian dan panjang angan-angan adalah kelemahan manusia yang lupa bahawa hayatnya cuma sebentar saja! Adeh…

2 Comments (+add yours?)

  1. nai
    Sep 05, 2008 @ 08:31:10

    Salam’alaik..

    Oh, teruskan menulis ustaz dan mengumpul khazanah turathi. Tidak mengapa mengimpikan selagi mana berdasarkan akal dan iman dan bukan nafsu.

    Entri menarik!

    p/s: Ana dengan rasminya telah berpindah ke hadithuna. Ana dah pernah ada wordpress dan ramai dari wordpress dah ke hadithuna. Anyhow, hadithuna is the greatest in providing the blogs banyak ‘features’ dan ‘plugins’ untuk mempelbagaikan penggunaan dalam blog. Antara yang terbaru yang mereka tawarkan ialah Plethora Plugins. Selain dari bolehnya mengedit menggunakan CSS dan HTML. Cara nak mengedit semuanya pun lebih best dr wordpress selain themes dan mcm2 lagi lah.
    🙂, Promote pula hadithuna, apapun wordpress tetap cool dan ana suka blog baru ni. Teruskan menulis ust!

    Reply

  2. soulof99
    Sep 06, 2008 @ 16:56:23

    Semoga cita2 saudara tercapai.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: