Khutbah Jumaat : Agenda Lena Ummat?


Setiap minggu, ummat Islam berkumpul di mana-mana masjid untuk menunaikan kewajipan bersolat fardhu Jumaat. Ada yang cuti pada hari tersebut, mengambil peluang bersiap dan berwangi-wangian sebelum keluar menuju ke masjid. Manakala yang bekerja, mengambil kesempatan waktu rehat tengahari untuk keluar bersolat. Sesetengah jemaah datang awal dengan semangat berkobar-kobar untuk mendapatkan pahala seumpama mengorbankan unta. Ada juga yang tiba sebaik saja azan pertama berkumandang.

Selepas sahaja azan kedua selesai dikumandangkan, kelihatan mata para jemaah mula kuyu. Apatah lagi khatib yang naik ke mimbar mula ‘membaca’ khutbahnya. Semangat yang berkobar tadinya mula malap. Mata yang segar meskipun penat bekerja mula terkelip-kelap. Sudahnya, cuma tabung masjid yang beredar di antara saf-saf yang mampu mengejutkan kita!

Mengapa?
Kita amat hairan apabila melihat senario yang mendarahdaging ini. Khutbah Jumaat yang sepatutnya menjadi medan membasuh iman mingguan, bertukar menjadi pesta lena berjemaah.

Selepas meneliti dan merenung kembali, kita akhirnya tersedar. Bahawa khutbah Jumaat hari ini sukar ditelan isinya. Dicampak bulat-bulat dengan gaya bahasa moden terlalu, keAraban selalu, dibaca teks jawinya tersangkak-sangkak. Dibaca ayat dan doanya terangkak-rangkak. Tidak hairanlah jika jemaahpun mula berpura-pura pekak!

Gaya penyampaian khutbah kita sudah ketinggalan. Nada yang sama dari mula hingga akhir, mengundang aura lena yang menggoda mata. Kadangkala khatib membebel-bebel dengan keadaan tidak difahami bahasanya. Bukankah syarat khutbah itu mesti difahami bahasanya? Otak yang penat bekerja, badan yang lesu sahaja, baharu menjamah kari kepala ikan pula, bagaimana lemak yang enak dapat memproses ilmu khatib? Lebih muak lagi apabila khatib asyik bercakap bahasa Arab sahaja, dari mula pula, Al-Quran dan terjemahan pula kadangkala salah baca, doa panjang berjela-jela, satu apapun kita tidak faham ertinya. Bagaimana hati pula mahu hadir sama berdoa, kalau telinga sudah jelak dibebel, mata digoda panasnya cuaca, minda sudah lenguh berfikir?

Teks jawi sukar dibaca laju dan sukar pula dihadamkan terlebih dahulu. Sebab itu ada ulama komited jadi ulama kemetot. Ada keldai jadi keladi. Ada bumi jadi bom. Kita tidak bangkang penggunaan jawi. Tapi biarlah kena pada tempatnya. Biarlah ada pilihan jawi dan rumi. Biarlah teks berbeza-beza mengikut tempat. Jika lebih berani, biarkan khatib mereka sendiri khutbahnya. Kerana khatib yang faham keperluan jemaah. Kerana di bahu khatib, letaknya agenda membangkitkan lena ummat!

Kita sedar, bukan mudah perjuangan ini. Namun, jika kita ambil contoh sunnah Nabi Muhammad, Nabi berkhutbah hingga merah padam mukanya. Aura yang sampai ke minda jemaah adalah aura semangat. Tapi aura yang sampai ke minda kita adalah aura tidur!

Bagaimana?
Hentikanlah situasi ini. Kita tidak akan maju jika khutbah Jumaat kita tiada fungsi sosial. Kita tidak akan keluar daripada neraka bala, jika apa yang sepatutnya disampaikan setiap minggu, hanya mengetuk minda supaya lebih lena lagi. Jika tiada kepentingan sosial, tiadalah Islam mengujar bahawa tidak solat Jumaat 3 kali berturut-turut tanpa uzur adalah munafiq! Jangan pula terlalu disalahkan mereka yang tidak mahu ke masjid.

Kerana kitalah sebagai salesman yang silap teknik menjual produk Islam!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: