[Resepi Berapi] Sos Cili DIY


Salam 1 Ummah. Satu Malaysia, tidak main.

Resepi kita kali ini ialah…..SOS Cili!

Kita selalu memikirkan tentang banyaknya pengawet dan kondisioner makanan di dalam makanan segera dan makanan yang dihasilkan di kilang. Adakalanya, citarasa kita terhadap satu-satu bahan tidak dapat dipenuhi. Justeru, malam ini saya akan cuba berikan resepi bagaimana hendak membuat sos cili…Di Jordan dulu, memang saya pernah buat. Sebenarnya tidaklah terlalu susah, cuma kerana kita tidak menggunakan pengawet, sos ini akan mudah rosak. Tidak mengapa, masukkan sahaja ke dalam peti sejuk!

Bahan-bahan

1) Cili kering 2 genggam
2) Gula 20 sen
3) Garam secukup rasa
4) Sedikit cuka
5) Tepun jagun (tiru gaya atirah, pemforum alwancomics.com) barang beberapa sudu.

Perisa tambahan
Kiub ayam
Kiub tomyam
Kacang
dan lain-lain.

Cara Mengesos

1) Cili kering dibuang biji dan direndam air panas sehingga agak empuk. Buang airnya, dan mulalah mengisar sehingga hancur berkecai. Kecuali anda mahu sosnya dipenuhi kepingan-kepingan cili, kisarlah sehingga berkeping-keping.

Sekiranya anda mahu gunakan cili basah, boleh juga. Cili basah kadangkala berbeza rasanya dengan cili kering atau cili guling.

2) Masukkan di dalam periuk kecil, pasang api kecil sederhana dan mula mengacau. Kacau sehingga anda penat dan lenguh. Tidak baik berhenti dan mengeluh. Biarkan tangan anda bersenam dengan riang ria. Ini langkah pertama tangan anda agar menjadi pengusaha sos berjaya!

3) Masukkan sedikit air, gula, garam, dan cuka. Untuk perisa yang lebih enak, cubalah gula perang atau madu. Atau budu (?).

Manakala garam pula, gantikan dengan garam bukit. Garam bukit lebih enak kerana ada perisa orang-orang kaya. Maklumlah, harganya lebih mahal dan perasaannya berada di atas bukit, ada angin sepoi-sepoi bahasa. Lebih mersik. Lebih merdu. Lebih syahdu.

4) Kacau sehingga mendidih. Jangan sampai darah anda pula yang mendidih. Masukkan sedikit tepung jagung, satu sudu teh setiap lima minit. Wah, banyaknya! Berhenti menambah bancuhan tepung sekiranya sudah pekat. Perhatikan agar sos yang dimasak tidak hangit dan tidak terlalu pekat. Sekiranya terlalu pekat, masukkan sedikit air lagi. Faham?

5) Perisa tambahan seperti kiub tomyam, kiub ayam, epal, nanas, mangga muda, boleh dimasukkan semasa sos dikacau. Perisa epal, nanas, mangga dan lain-lain hendaklah dikisar atau ditumbuk hingga menjadi butir agak kasar sebelum dicampurkan ke dalam sos. Anda boleh bubuh apa sahaja perisa yang anda suka. Asalkan halal!

6) Tutup api setelah sos kelihatan likat dan rasanya sudah memenuhi nafsu anda. Biarkan ia kesejukan pula. Selepas itu boleh masukkan sos ke dalam botol sos. Sos sedia digunakan.

Kalian boleh cuba membuat sos ini dengan pelbagai perisa yang disukai. Lemon, buah-buahan, asam jawa, cili padi, kacang, sos cili thai, bawang putih, halia, serai, daun limau purut, buah pala, dan seribu satu perisa lagi. Saya tambah lagi, jeruk kelubi, jeruk halia, jeruk mangga, asam jawa, buah laici, longan, strawberry (saya suka!), blackberry (bukan handphone), ceri dan buah pic. Asam kundang pun boleh.

Hendak seribu satu perisa, tidak hendak seribu satu sos. Maksudnya, apabila memilih perisa di kalangan beribu-ribu perisa, pilih satu sahaja. Supaya anda tidak pening memakan sos buatan sendiri.

Selamat mencuba…

P/s: Teringat saya pernah memasak sos cili perisa tomyam. Sangat sedap! Boleh dicicah udang celup tepung dan dicicip bersama Kabab Burger Boom.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: