Menyorot Ilmu Bisnes dalam Ketika Cinta Bertasbih


MENYOROT ILMU BISNES DALAM KETIKA CINTA BERTASBIH

Ketika Cinta Bertasbih menyorot perjuangan mahasiswa jurusan agama untuk menyambung lidah anbiya dan menyambung hayat keluarga dengan bisnes. Pengalaman Khoerul Azzam selaku watak utamanya, sedikit sebanyak terpancar dalam kehidupan segelintir lulusan agama dari Timur Tengah yang bekerja bukan di dalam bidang agama.

Azzam, selaku mahasiswa pintar yang tersangkut pelajarannya akibat kesempitan hidup keluarganya, dibukakan pintu rezeki yang luas buatnya di dalam bisnes. Sesungguhnya Allah maha kaya, kerana setiap yang tersangkut, dilepaskan. Setiap yang buntu, diberikan jalan keluar. Asalkan mengikut syaratnya, iaitu bertaqwa kepada Allah, sebagaimana tertulis dalam ayat seribu dinar. Ya, ayat 1000 dinar itu bukanlah punca rezekinya. Punca rezekinya terletak pada taqwa.

Taqwa bukanlah sekadar menggantungkan ayat 1000 dinar di premis perniagaan. Taqwa yang sebenarnya adalah jujur dalam berniaga, tidak rasuah, tidak menipu pelanggan, tidak menindas dalam meletakkan harga, tawakkal kepada Allah dalam urusan rezeki dan banyak lagi sifat-sifat taqwa yang boleh dibina dalam bisnes.

Meskipun ini bukan novel pertama Kang Abik atau lebih dikenali sebagai Habiburrahman el-Shirazy, namun dwi novel kali ini menampilkan kelainan yang nyata. Di dalam novel kali ini, ternyata Kang Abik menyisipkan ilmu bisnes yang jarang dikongsi dan tidak semua diamalkan pada masa kini. Ilmu bisnes yang dipupuk sejak di bangku kuliah Azhar, menjadikan Azzam tegar melaksanakan pelbagai jenis bisnes demi menyara kehidupannya dan keluarga. Bermula dengan bisnes kecil-kecilan sehingga menjadi rangkaian, dan apabila pulang, menjadi bisnesman tegar.

Ilmu bisnes yang dapat disorot di dalam Ketika Cinta Bertasbih adalah :

1) Mengutamakan kualiti, bukan branding. Falsafah ini dikutip di meja makan ketika Azzam pulang ke tanahair, bersarapan bersama Anna dan Elyana.

Dalam bisnes, kualiti adalah lebih utama berbanding nama yang gah. Untuk membina sebuah jenama, memang sukar. Namun, untuk menjatuhkan jenama, amat senang pula. Apabila kualiti dan rasa yang asli diutamakan, maka pelanggan akan tercari-cari namanya. Sekiranya nama yang diutamakan, apabila kualitinya jatuh, sekejap sahaja nama itu turut jatuh. Sebenarnya, kedua-dua jenama dan kualiti bersinergi kuat untuk mengangkat produk ke atas. Tiada kedua-duanya, atau salah satunya, produk tidak mampu naik tinggi mengatasi produk-produk lain dalam kelasnya.

2) Apabila tidur semula selepas Subuh, rezeki akan dipatuk ayam. Falsafah ini diambil semasa Bu eh sedang menjemur kain batik dan Ayatul Husna menceritakan tentang Rina, kawan karibnya yang tidur selepas Subuh.

Ungkapan ini benar berdasarkan testimonial ramai usahawan. Betapa ramai bisnesman yang kehilangan rezeki awalnya kerana dipatuk bisnesman lain, dan dipatuk makhluk lain yang sering bangun awal mencari rezeki. Usahawan yang berjaya, adalah usahawan yang tidak tidur selepas Subuh. Kerana selepas Subuhlah, para malaikat membahagi-bahagikan rezeki untuk penduduk dunia. Inilah juga yang diamalkan oleh usahawan kaum Cina yang sering memulakan bisnes pada awal pagi.

3) Mengambil peluang di atas kelemahan. Azzam mengambil peluang menerima tender masakan Soto Lamongan meskipun tidak mempunyai kemahiran untuk membuatnya.

Dengan menggunakan peluang ahli rumahnya yang berasal dari Lamongan, Azzam cuba mendapatkan resepi asli Soto Lamongan tersebut. Sebagai usahawan yang bijak mencari peluang, peluang yang datang sekali-sekali ini amat jarang dilepaskan. Kita juga sebagai usahawan, bukan sahaja perlu mencari peluang, bahkan perlu mencipta peluang untuk diri kita dan orang lain. Mencipta peluang dapat mengelakkan kita berebut-rebut atas peluang yang sempit dan mengelakkan kita bersaing sesama kita sehingga mencederakan dan merosakkan bisnes serta ukhuwah.

4) Kemahiran berunding. Azzam bijak berunding dengan pegawai KBRI apabila pegawai tersebut menawarkan kepada beliau bisnes kargo. Azzam dikehendaki menghantar kargo ke beberapa wilayah yang lebih besar berbanding wilayah seorang lagi agen kargo.

Kemahiran berunding di dalam bisnes adalah vital. Di dalam berunding, kebanyakan usahawan lebih mencari 1 projek berbanding mencari seribu kenalan dan membina rangkaian silaturrahim. Projek boleh hadir bila-bila masa dan berapa banyakpun jumlahnya. Namun, kenalan dan silaturrahim, apabila sekali terputus, sukar disambung semula. Daripada satu kenalan yang terputus, berapa banyak pula projek yang hilang. Ikuti lebih lanjut berkenaan kemahiran berunding dalam Islam yang akan diterbitkan oleh PTS sedikit masa lagi.

5) Silaturrahim itu mengembangkan bisnes dan rezeki. Nasihat ini diutarakan oleh Kiai Lutfi ketika Azzam menghantarkan kargo ke rumah Anna Althafunnisa.

Silaturrahim sememangnya menjadi punca berkembangnya bisnes dan bertambahnya rezeki. Semakin bertambah kenalan dan semakin ramai orang yang mengenali kita, semakin luas jaringan perniagaan kita. Dalam buku Ajaibnya Sedekah, terdapat ulasan lebih lanjut berkenaan hal ini. Apabila kita memanjangkan silaturrahim kerana Allah, Allah akan memudahkan rezeki untuk sampai kepada kita. Allah akan kasih kepada mereka yang mengasihi manusia. Justeru, membina silaturrahim sesama manusia, melalui pelbagai medium, dapat mengembangkan bisnes yang kita ceburi.

6) Bisnes perlu ada inovasi. Setiap ciptaan produk harus menepati sasaran pelanggan dan mencorak bentuk kedai dan cara memasarkannya. Teori ini diceduk semasa Husna, Lia dan Azzam berbincang untuk membina bisnes Bakso Cinta.

Untuk mudah dikenali semasa berbisnes, lakukan sedikit inovasi agar produk yang dihasilkan dapat menarik perhatian orang ramai dan dilihat berbeza. Modal perlu diperuntukkan agar produk mencapai sasaran pelanggan dan pakejing produk sesuai mengikut sasaran yang dikehendaki. Dalam kes Bakso Cinta, lokasi gerai terletak di hadapan universiti, disasarkan untuk pelanggan remaja. Produk Bakso Cinta juga mempunyai bentuk tersendiri, iaitu berbentuk hati.

7) Bisnes itu perlu bermula dari bawah. Baharulah mantap apabila perniagaan sudah besar. Falsafah ini juga dikutip semasa perbincangan awal produk Bakso Cinta.

Ilmu bisnes banyak memerlukan pengalaman jatuh bangun yang bukan sedikit. Mana-mana usahawan yang berjaya, mempunyai sejarah jatuh bangun dan kisah perjuangan darah dan air mata. Kerana pengalaman yang berulang-ulang, jatuh dan bangun bisnes menjadikan usahawan semakin matang dan semakin berhati-hati untuk bisnes yang lebih besar.

Ilmu Agama vs Bisnes atau Ilmu Agama bersama Bisnes?

Teringat saya pada cemuhan ibu-ibu di kampung Azzam, kerana Azzam tidak pulang mengajar di sekolah-sekolah (baca : makan gaji), tetapi pulang berbisnes kargo merata-rata (baca : bekerja sendiri). Mahasiswa kini, terutama di Timur Tengah, masih sibuk mengejar peluang bekerja di dalam sektor swasta dan kerajaan. Ramai yang mengeluh kerana tidak mendapat tawaran ke tempat-tempat tertentu seperti J-Qaf, KPLI, dan institusi lain. Namun, percayalah, sumber rezeki yang Allah limpahkan kepada penuntut ilmu agama terlalu banyak. Dalam sektor dan bidang apapun, penuntut ilmu agama diperlukan, bukan setakat bidang pendidikan dan jabatan agama. Kerjaya dalam bidang apa sekalipun, memerlukan suntikan ilmu agama daripada graduan ilmu agama. Justeru, selain merebut peluang, ciptalah peluang dengan memasuki pelbagai jenis sektor bisnes yang ada termasuk sektor pembuatan makanan, sektor IKS, perkhidmatan dan lain-lain. Ummah memerlukan orang yang faham agama dalam semua bidang.

Ramai yang bertanya saya, mengapa beralih arah dalam kerjaya? Mengapa tidak kekal dalam bidang agama? Saya jawab, semua bidang perlukan insan berkemahiran agama. Apabila kerjaya saya tidak berada di dalam jalur bidang yang sama seperti pengajian saya, tidak bermakna saya meninggalkan bidang itu terus. Belajar agama tetap relevan sampai bila-bila. Tidak usah risaukan rezeki yang konon-konon sempit, sebenarnya rezeki yang Allah beri melimpah ruah. Usah terpengaruh dengan cakap-cakap makcik di perusahaan batik ibu Azzam, yang penting, usaha kita mencari rezeki yang halal dan diberkati, terus menerus dilakukan.

Ramai lulusan pengajian agama yang berjaya membuat bisnes meskipun ilmu bisnes tidak diajarkan secara langsung dalam silibus pengajian agama di universiti. Antara contoh lulusan agama yang bergiat aktif dengan bisnes adalah Ust Zahazan Mohamed dengan Telaga Biru dan Storm Readers, Ust Khairuddin Aman Razali dengan Jus D’Hatiku dan rangkaian pendidikan Darul Fuqaha, dan ramai lagi. Kang Abik sendiri, turut membuka sebuah sekolah pendidikan seni kreatif dan jiwa usahawan di kampung beliau. Apa yang penting, ilmu agama itu tidak ditinggalkan, bahkan dikembangkan sama ada melalui penulisan atau ucapan, selain bisnes yang difokuskan pasca ijazah.

Ilmu bisnes yang tertuang dalam karya Kang Abik ini menjadi mangkin kepada pembaca untuk turut menjiwai minda usahawan milik Azzam. Semoga ilmu yang disampaikan berkat dan menjadikan pembacanya turut berusaha mencontohi usahawan ulung Islam, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: