Melengkapkan Sebuah Pertemuan


Bismillah.

Dengan nama Allah, yang maha Pemberi, yang maha Pengasih.

Tahun 2009, saat saya dinikahkan dengan kekasih yang Allah pilih buat saya. Tanpa sebarang tanda, tanpa sebarang cinta, Allah mempertemukan saya dengan beliau selepas urusan artikel majalah. Sesudah itu, persahabatan akrab tanpa disedari. Akhirnya saya memberanikan diri melamar beliau.

Pada subuh yang bening, hari Jumaat, kedengaran suara azan berkumandang dari menara Masjid Abdul Rahman bin Auf, Sweileh, Amman. Serentak itu, mesej dari Mesir tiba dan benar-benar menerima seruan azan, supaya mendirikan masjid dengan solat dan doa!

Sehingga kini, peristiwa itu masih manis terasa di hati saya. Lebih manis berbanding madu Yaman. Lebih manis berbanding gula-gula pilihanraya. Saya dan beliau, ditunangkan dengan penuh sederhana. Pakaian, dijahit sendiri. Baju saya, saya buat ambilan di kedai saya (Itulah untungnya menjadi pekedai!). Pertemuan pertama saya, adalah pada hari merisik. Terlalu ramai yang bertanya, “Di manakah kami bertemu?”

Masing-masing cuba membuat andaian, masing-masing cuba meneka.

“Di sekolah?” Saya geleng-geleng.

“Sekolah kami cuma berjiran. Namun tidak berselisih tahun. Saya keluar dari KISAS selepas STPM tahun 2000. Isteri saya pula di SAMT Hishamuddin pada 2001.”

“Habis itu, di mana? Di universiti?”

Kali ini, mereka pula yang menggeleng-geleng.

“Sekiranya di universiti, lebih tidak logik. Awak di Jordan. Dia di Mesir. Di Teluk Aqabah kah kalian bertemu?”

Saya tertawa.

“Kami bertemu di dalam buku!”

Wajah mereka kemudian berkerut dan semakin banyak persoalan ditujukan.

Ya. Kami bertemu melalui buku. Antologi Cinta dan Rona Kinanah, terbitan Hijjaz Records Publishing tahun 2008 (terbitan bersama PMRAM pada 2007) adalah pertemuan minda kami.

Makna Sebuah Pertemuan

Selepas bertemu kali pertama, saya bertemu kali kedua dan ketiga. Akhirnya, pada 3 Oktober 2009, lafaz saya menanggung amanah sebagai suami, memateri perjanjian sehidup dan belum tentu semati.

Pertemuan ini sungguh bermakna kerana kami banyak belajar daripadanya. Saya sendiri banyak merubah kehidupan saya, daripada gagal kepada berjaya. Saya berjaya mengubah hidup saya daripada tidak berjadual kepada kehidupan lebih teratur. Terlalu banyak mutiara yang saya kutip sepanjang sebuah perkenalan. Apatah lagi, selepas pertemuan yang diikat dengan janji Ilahi, saya sering ditinggalkan kerana isteri saya terbang ke lubuk ilmu kembali.

Cinta antara dua benua, kata orang.

Pertemuan demi pertemuan, selepas perpisahan sementara kerana menunaikan janji ayah mertua saya (beliau meninggalkan dunia fana ini pada tahun 2007, serentak pada tarikh ulangtahun kelahiran isteri), membuatkan kami lebih siaga dan lebih mengakrabi setiap detik pertemuan.

Pertemuan di dalam buku membuahkan perkahwinan.

Pertemuan di alam baru membuahkan kemesraan.

Pertemuan diiringi salam, membuahkan keselamatan sepanjang perpisahan.

Pertemuan Yang Sempurna

Selepas berkali-kali bertemu dan berpisah, saya lebih percaya pada diri dan pada aturan Ilahi. Saya percaya, Allah telah memberikan sebuah pertemuan yang paling sempurna buat saya. Saya dan dia saling melengkapi. Saya dan dia saling menyempurnakan. Kekurangan dan kelebihan kami dibahagikan dan ditutup sedikit demi sedikit. Inilah makna sebenar sebuah perkahwinan.

Kerana setiap manusia tiada yang sempurna, tugas setiap isteri dan suami adalah melengkapkan dan menyempurnakan pasangan mereka. Bertepatan dengan maksud ayat al-Quran,

“Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka.”

Apabila membahasakan suami atau isteri sebagai pakaian, menjadi tugas suami menutup setiap keaiban dan aurat isterinya. Begitu juga isteri, tugas isteri adalah membaiki kekurangan suami dan menutup keaibannya. Usahlah biarkan aurat isteri terdedah, aib suami terserlah kerana kehidupan tidak akan sempurna sekiranya kekurangan itu dibiarkan terdedah.

Berusaha Menyempurnakan Pertemuan

Ada hikmah, mengapa manusia tidak sempurna dan tetap tidak akan sempurna walaupun telah bernikah dengan pasangannya selama berpuluh-puluh tahun. Pertemuan yang selama itu tetap tidak akan sempurna, kecuali setelah hasil pertemuan itu kita dapati di syurga bersama-sama. Pertemuan tidak akan sempurna di dunia kerana dunia adalah serba tidak lengkap. Apa yang kita boleh lakukan hanyalah berusaha melengkapkan pertemuan kita dengan keredhaan Allah dan usaha bersungguh-sungguh ke arah mendapatkan syurga nanti.

Kerana pertemuan yang manis dan abadi, hanyalah di syurga, tidak di dunia.

Semoga kita dapat bersama-sama berusaha melengkapkan sebuah pertemuan. Biarlah manis itu dapat kita rasakan selama-lamanya, biarlah semanis sungai madu yang bakal kita hirup. Saya dan isteri mengharapkan doa kalian, agar kita sama-sama dapat meminum madu manis dari syurga kelak. Semoga kita dapat menghuni syurga dengan pertemuan yang abadi, bersama kekasih hati. Juga bersama Penghulu Syurgawi, Muhammadun Nabi. Pertemuan paling agung, adalah pertemuan paling sempurna, paling abadi, paling dirindui, iaitu pertemuan dengan Ilahi, Pencipta kita, di syurga nanti.

Amin.

Ustaz Handphone

Nilai, 10 Julai.

1 Comment (+add yours?)

  1. najibah
    Jul 10, 2010 @ 21:26:10

    Assalamualaikum.

    Pertemuan melalui buku. Indah🙂

    Saya pun selalu ditanya soalan yang lebih kurang, di mana bertemu suami?

    Alhamdulillah, cinta selepas perkahwinan lebih manis – mudah2an kekal hingga ke syurga.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: