[Resepi Berapi] Kabab Burger Boom


Gambar tidak disertakan.
Resepi saya tiada buli-bulian (teaser) kerana saya tidak memanipulasi kamera dan saya memang tidak memasak!

Kabab Burger Boom

Kadangkala, tatkala saudara-saudari pergi ke pasar malam, saudara-saudari akan merasa iri hati kepada penjual-penjual kebab Malaysia atau pita kebab. Mengapa anda suka-suki mahu iri hati? Ini kerana, anda tidak mempunyai dapur kebab pusing-pusing menegak, ala-ala kuda pusing, agar daging jadi garing. Anda juga mahu buat seperti mereka, ketuk-ketuk daging, umpama bermain violin daging, pisau menghiris nipis-nipis. Bau daging terbakar, umpama irama muzik yang menghangatkan perasaan. Tapi, anda terlupa, anda tidak boleh memasak sebegitu. Kerana anda tiada dapurnya!

Apabila sudah iri hati dan tahap dengki anda memuncak, segeralah ke supermarket berdekatan. Cari sebungkus dua burger daging dan ayam. Tekadkan dalam hati anda, anda akan buat yang lebih sedap dan lebih enak daripada kebab kecil mahal yang dijual di pasar malam!

Jangan lupa beli bahan-bahan di bawah. Sekiranya tidak, anda tidak dapat buktikan pada anak-anak anda, dan suami anda, yang anda masak kebab lebih sedap daripada di pasar malam!

Bahan-bahan

1) Daging burger atau ayam burger. Sekiranya mahu perasa lain, boleh cuba unta, arnab, rusa dan kambing. Tapi anda buat sendirilah burgernya, ya?

2) Bawang besar 1 biji

3) Telur 2 atau 3 biji.

4) Roti panjang, bukan rotan. Rotan tak boleh dimakan. Rotan hanya boleh memakan! Roti panjang ini, bentuknya ala roti John.John mana? Entahlah, den pun tak kona. Roti ala hotdog pun boleh. Roti pita juga boleh digunakan.

5) Bahan perisa seperti kicap cair, serbuk kari, tiram, sos cili tomyam (buat sendiri, tiada dijual di seven nombor tujuh), mayonaise dan lain-lain.

Cara Mengababkan Burger

0) Perasaan hasad yang membuak-buak tadi, segera anda tukar kepada syukur dan fikiran positif, dengan membaca istighfar. Rasa dengki yang pahit itu, boleh membuatkan kebab anda hangit, sebagaimana kebab-kebab yang banyak dijual di pasar malam. Muka anda yang masam boleh membuatkan kebab anda terasa masam berlebihan, seperti sesetengah kebab yang terlebih membubuh sos tomato atau mayonaise luput tarikh. Mari ucapkan bersama saya, Astaghfirullahal Azim

1) Panaskan pan. Bubuh sesudu minyak. Masukkan daging burger. Goreng cincang ala teppanyaki. Jangan lupa memakai apron untuk mengelakkan darah memercik ketika anda mencincang.

2) Bawang yang sudah dihiris besar-besar boleh dimasukkan. Gaul sebati dengan daging burger cincang.

3) Masukkan perasa yang anda suka. Awas, jangan masukkan perasa strawberry walaupun anda suka. Atau kopi tongkat ali. Atau horlick!

4) Goreng sampai daging agak garing. Angkat dan tos.

5) Pastikan minyak sekitar satu sudu kecil. Ratakan minyak ke sekeliling pan. Bancuh telur dengan sedikit garam dan lada sulah. Tuang perlahan telur mengitari pan.

6) Apabila telur agak masak, bolehlah masukkan daging burger tadi. Gulungkan daging dalam telur. Buat bentuk memanjang, yang agak-agak muat di celah roti pakcik John tadi. Kalian boleh buat banyak omelette gaya kebab burger ini beberapa jalur. Buat cantik-cantik. Sekiranya mahu lebih cantik lagi, sarungkan cincin bawang pada kebab gulung itu. Wah, cantiknya!

7) Selitkan kebab burger itu di celah roti. Hiaskan dengan sos cili tomyam, sedikit batuk kicap cair, dan tompokan mayonaise.

Sudah siap. Anda boleh jemput suami dan anak-anak agar makan bersama. Makan panas-panas. Jangan baca bismillah sekiranya anda bukan Muslim!

Nota : Resepi ini diinpirasikan daripada CFS Cafe, CFS UIA Nilai. Kredit untuk Abang Nan dan Kak Dib.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: