12 Tip Menterjemahkan al-Quran


Salamun Alaikum.
Salam sejahtera kepada kalian, semoga Allah mengurniakan kesihatan berpanjangan. Amin.

Dengan nama Allah yang sangat pengasih dan sangat mengasihani.

Pada hari ini, saya mahu berkongsi tip-tip bagaimana menterjemahkan Al-Quran. Projek yang saya usahakan bersama PTS, merupakan projek terjemahan al-Quran bagi saudara baru, justeru, tip-tip yang diberikan ini sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan projek tersebut.

Tip ini disalin daripada perkongsian saya di laman Facebook saya. Ada juga tip yang saya tidak pernah tampalkan di sana. Selamat membaca!

Tip 1

Tip Menterjemahkan al-Quran | Dapatkan bantuan secara rohani daripada Allah. Selain itu, mohon doa dan mohon sahabat-sahabat bersolat sunat khas bagi membantu kita memperoleh bantuan secara maya. Justeru, saya mohon doa dan solat sunat hajat daripada sahabat-sahabat supaya memudahkan kerja-kerja terjemahan al-Quran yang sedang saya jalankan. Moga Allah membalasnya berlipat kali ganda. Amin.

Tip 2

Tip Menterjemahkan al-Quran | Sentiasa berwuduk dan sentiasa ingat kepada Allah. Lazimi solat sunat seperti solat Dhuha dan Tahajjud supaya lebih mudah menterjemah dengan minda dan hati yang bersih.

Tip 3

Tip Menterjemahkan al-Quran | Sebelum mula menterjemah, baca surah tersebut secara lengkap terlebih dahulu. Baca pula terjemahannya. Selepas itu, apabila mula menterjemah, baca keseluruhan ayat dengan lengkap. Fahamkan isinya dan maknanya, dan terjemahkan mengikut gaya bahasa yang mudah difahami, dan bersesuaian dengan objektif projek kita.

Tip 4

Tip Menterjemahkan al-Quran | Banyakkan meminum air masak ataupun air mineral bagi melancarkan pergerakan fikiran dan meningkatkan kandungan oksigen dalam darah. Kelancaran terjemahan bergantung kepada kekuatan fikiran dan kesediahan tubuh menghadap skrin komputer dan menghadap buku tulis.

Tip 5

Tip Menterjemahkan al-Quran | Gunakan kaedah KJ metod bagi menterjemahkan al-Quran kerana al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat dan bertaburan. Sekiranya kita menterjemahkan secara linear, iaitu berturutan dari surah Al-Fatihah sehingga Surah An-Nas, usaha kita lebih mudah terbantut di pertengahan jalan.

Tip 6

Tip Menterjemahkan al-Quran | Sekiranya merasa buntu di mana-mana pertengahan surah, teruskan pula dengan surah yang lain. Adakalanya, cerita dan ayat lain lebih senang dan sedap diterjemahkan berbanding yang sedang kita usahakan.

Tip 7

Tip Menterjemahkan al-Quran | Pada peringkat awal, menterjemahkan al-Quran sungguh sukar dilakukan, dan memerlukan lebih banyak penggunaan kamus, glosari, tesaurus bahasa, dan tafsir lain. Namun, selepas menterjemahkan sekitar 25 muka surat, penterjemahan menjadi lebih mudah dan lancar.

Tip 8

Tip Menterjemahkan al-Quran | Elakkan melakukan kesilapan ejaan mahupun tatabahasa seboleh yang mungkin. Hal ini disebabkan, menyemak tatabahasa dan ejaan bagi sebuah buku sekitar lebih 600 muka surat, bukanlah sesuatu yang mudah. Sikap hati-hati ini juga membantu dan mempermudahkan tugas editor al-Quran nanti, menyemak dan mempruf terjemahan yang kita lakukan.

Tip 9

Tip Menterjemahkan al-Quran | Bagi menterjemahkan al-Quran, sekurang-kurangnya kita memerlukan ilmu asas berkenaan al-Quran itu sendiri. Ilmu ini boleh didapati melalui pengajian, pembacaan, berguru, berbincang mahupun melalui pengalaman kita sendiri. Sebaik-baiknya, kita mendalami bahasa Arab, dan ilmu berkaitan, supaya kita lebih mudah memahami gaya bahasa Al-Quran.

Tip 10

Tip Menterjemahkan al-Quran | Pastikan bahasa yang kita gunakan adalah bahasa terjemahan yang mudah difahami oleh pembaca. Sekiranya pembaca tidak mahu membaca al-Quran, malah lebih teruk lagi menjauhi al-Quran disebabkan oleh terjemahan buruk yang kita lakukan, ada kemungkinan besar dosanya kita akan tanggung. Kita tidak mahu pembaca buku Allah yang penuh dengan hidayah ini, menjadi terhijab hanya disebabkan terjemahan yang sukar difahami.

Tip 11

Tip Menterjemahkan al-Quran | Dapatkan khidmat pakar tafsir dan pakar terjemahan bagi menyemak terjemahan yang kita lakukan. Semakan yang mereka lakukan, akan meningkatkan kredibiliti terjemahan kita, sekaligus menjadi penyemak imbang bagi terjemahan kita. Sekiranya kita tidak mampu mendapatkan khidmat mereka, mintalah pandangan rakan-rakan yang tinggi ilmu agamanya terutamanya dalam bidang tafsir, bagi memberi pandangan kedua terhadap terjemahan yang kita lakukan.

Tip 12

Tip Menterjemahkan al-Quran | Terdapat 4 cara bagi menerangkan maksud istilah atau perkataan tertentu atau konteks tertentu di dalam al-Quran.

  • Memasukkan makna secara langsung ke dalam ayat. Contohnya : “..orang yang beriman, iaitu orang yang percaya kepada Allah,…”
  • Memasukkan maknanya ke dalam nota kaki di bawah muka surat. Contohnya, “…orang yang beriman1….”
    ___
    1 Orang yang beriman ialah orang yang percaya kepada Allah, kepada hari akhirat, kepada para malaikat, kepada para utusan Allah, kepada buku-buku Allah yang diturunkan kepada utusan-Nya dan kepada ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah.
  • Memasukkan maknanya ke dalam nota belakang bab, atau lebih dikenali sebagai end note.
  • Memasukkan maknanya ke dalam nota akhir buku.

    Cara 1 lebih disukai oleh pembaca, manakala cara 4 paling dibenci oleh mereka.

1 Comment (+add yours?)

  1. khairulorama
    Sep 14, 2011 @ 21:15:31

    amat berguna ! terima kasih sebagai panduan!

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: