Tim Projek Kajian Psikologi Hadith Nabi Muhammad


Salamun Alaikum.

Dengan nama Allah yang sangat pengasih dan sangat mengasihani.

Alhamdulillah, kita masih diberikan kesempatan oleh Allah bagi bernafas dalam dunia pinjaman-Nya ini. Tidak dapat dibayangkan, sekiranya kita bangun pagi tadi, kita sudahpun dibangunkan sebagai mayat. Ataupun sebagai roh yang sudah mula meninggalkan jasad. Ngeri sekali!

Betapa dosa masih banyak belum terampun, betapa pahala masih banyak belum dihimpun, betapa syurga masih belum layak dihuni dan betapa neraka sedia menanti diri. Allah sangat besar! Bimbang sekali, sekiranya pada suatu saat, kita tidak sedar, rupa-rupanya iman kita atau kepercayaan kita kepada Allah dan rukun iman yang lain, sebenarnya sudah rosak akibat perbuatan yang kita tidak sedari. Pada masa kita sedar itu pula, sudah pun terlambat bagi kita untuk merubahnya.

Tuan puan,
Pokok dan asas bagi sumber agama kita adalah al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad. Tiada sumber yang lebih hebat dan lebih autentik, bagi menggantikan dua jenis percakapan ini, iaitu percakapan Allah dan percakapan Nabi. Dalam entri kali ini, saya menulis berkenaan kajian hadith.

Belajar Hadith

Semasa saya di Jordan dahulu, saya seringkali berasa cemburu kepada sahabat-sahabat yang berpeluang mengikuti pengajian hadith secara mendalam. Di Jordan, ada beberapa pengajian yang memfokuskan kepada pembelajaran hadith.

Antara kelas hadith yang popular adalah kelas-kelas talaqqi (menadah buku secara bersemuka) bersama syeikh-syeikh salafi, sebahagian besarnya adalah anak-anak murid kepada Syeikh Nasiruddin al-Albani. Anak murid beliau yang terkenal antaranya adalah Syeikh Musa AL Nasr, Syeikh Ali Hasan Al-Halabi dan Syeikh Masyhur AL Salman. Manakala kelas musim panas yang dianjurkan oleh Pusat Penjagaan Al-Quran (Jami’yyah Muhafazah Alal Quran), yang mempunyai cawangan yang bertaburan di seluruh Jordan pula, biasanya menampilkan Prof Hammam Said dan Dr. Yasir Ahmad Syimali, selain Dr. Ahmad al-Awaisyah dan lain-lain.

Namun, mungkin disebabkan sikap saya pada masa itu, ditambah dengan tugasan sebagai pemimpin pelajar, saya tidak dapat menyertai kelas hadith setiap minggu. Ditambah lagi dengan kesihatan saya yang kurang memberangsangkan sejak menetap di Jordan, saya menjadi jejaka pingitan insan yang kurang keluar rumah.

Sebahagian kitab-kitab hadith dan fiqh mazhab yang
dimiliki oleh Ustaz Wan Yusrizal
(Gambar diambil pada tahun 2007)

Teman serumah saya, Ustaz Wan Yusrizal, berpeluang melanjutkan pengajian sarjananya ke dalam bidang Hadith, sementelah minat beliau yang cukup tinggi terhadap hadith. Beliaulah sumber mentor dan motivasi saya dalam pengajian hadith. Antara tindakan beliau yang saya kagumi, adalah beliau bertukar bidang dari bidang Fiqh dan Usul Fiqh, kepada bidang Hadith. Selepas diselidik, memang beliau seorang yang cukup hebat. Bayangkan, beliau pelajar sekolah sains, pergi ke Jordan tanpa asas Bahasa Arab. 3 tahun beliau belajar bahasa Arab di Pusat Bahasa, kemudian menyambung ke peringkat sarjana muda dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh. Sarjana pula dalam bidang Hadith. Inilah salah satu tanda-tanda kebesaran Allah yang saya lihat sepanjang di Jordan. Sebab itu, saya cemburu kepada beliau.

Kecemburuan saya sedikit terubat apabila saya dapat belajar hadith di Universiti. Antara syeikh dan doktor yang pernah mengajar saya adalah Prof Madya Dr Syaraf Al-Qudhah, Dr. Basim al-Jawabirah dan Dr. Abdul Karim Warikat. Kesemua doktor ini mengajar saya memahami hadith dengan cara yang berbeza. Metod Dr Basim mengajarkan saya cara memahami dan mempelajari hadith sebagaimana yang diajarkan oleh salafussoleh. Manakala Prof Dr. Syaraf pula mengajarkan hadith dengan menggabungkan ilmu maqasid syariah, ilmu fiqh dan ilmu reasoning, dan ilmu kontemporari (memahami dunia semasa). Dan Dr. Abdul Karim Warikat mengajarkan saya bagaimana menyelam ke dalam lautan ilmu hadith dan buku-bukunya. Allah jualah yang tahu, mengapa saya secara automatik kebetulan tidak dirancang, memilih ketiga-tiga orang guru yang mengajar dengan tiga metod yang berbeza. Kesemua kelas hadith di universiti ini, menjadikan saya cukup enjoy belajar hadith.

Keseronokan saya itu membuatkan saya sanggup mencari dan membeli hampir kesemua buku Dr Syaraf, Dr Basim, dan Dr Abdul Karim Warikat. Saya juga mendapatkan hampir kesemua buku terbitan Persatuan Hadith Syarif (Jami’yyah hadith Syarif yang mempunyai beberapa cawangan di seluruh Jordan(, termasuk buku kuiz tahunan mereka. Saya juga pernah menyuarakan hasrat saya menterjemahkan beberapa buku Dr Syaraf ke dalam bahasa Melayu, kepada beliau sendiri. Namun, beliau menjawab, “Penterjemahan di Malaysia sangat lembab. Dua tahun buku saya diberikan untuk diterjemah, sehingga sekarang masih belum terbit.” Saya tersenyum pahit. Tetapi, hasrat itu rupa-rupanya tidak termakbul, kerana sudah ada penterjemah yang dilantik sebelum itu.

Sebahagian kecil buku hadith saya.

Sebelum pulang ke Malaysia, saya pernah terfikir-fikir, adakah saya akan mendalami bidang pengajian hadith selepas ini? Ataupun, paling kurang, menulis beberapa buku yang memudahkan lagi pengajian hadith kepada masyarakat awam. Ternyata, selepas dua tahun berada di Malaysia, bidang lain pula yang saya ceburi. Sebenarnya, hasrat dan fikiran itu masih lagi bertapak di dalam dada saya. Tambah bersemarak apabila melihat sendiri, rakan saya, Ustaz Hasnan Abu Bakar, menulis buku ‘Apa Itu Ilmu  Hadith?‘ di bawah terbitan PTS.

Tim Psikologi Hadith Nabi Muhammad

Selepas beberapa tahun berlalu, saya diperkenalkan dengan insan kreatif yang menjawat jawatan Editor dalam bidang Pendidikan, di bawah PTS Professional, iaitu Tuan Mohammad Yusry Mohd Yusopp. Sepanjang mengenali beliau, saya meyakini beliau seorang yang sukakan aktiviti, suka mereka aktiviti berfikir dan aktiviti berkumpulan, dan seorang yang mudah dibawa berbincang.

Pada suatu hari, beliau bertanya di FB beliau berkenaan sebuah buku, ‘Rasulullah sebagai Pendidik’ yang diterjemahkan dan diterbitkan di bawah PMRAM. Kebetulan Tanpa sebarang kebetulan, saya sebagai lelaki ensiklopedia pengumpul buku, memiliki buku berkenaan. Saya pun menyerahkan kepada beliau.

Tidak lama selepas itu, berlaku lagi perbincangan yang lebih besar dan rancak. Sifu Puan Ainon Mohd. pun turut menyertai. Rupa-rupanya, ada projek besar sedang dirancangkan. Rupa-rupanya lagi, Puan Ainon dan Tuan Yusry berkongsi hasrat yang sama, iaitu mengkaji, bagaimana teknik Nabi dalam menyampaikan dakwah dan mendidik orang-orang di sekeliling beliau.

Tiba-tiba, nama saya turut ditag dalam perbincangan tersebut. Tiba-tiba lagi, nama saya turut diserapkan sebagai ahli tim kajian. Allah sangat besar dan sangat memahami hamba-hamba-Nya! Hasrat saya mengkaji hadith dimakbulkan selepas beberapa tahun saya pulang ke Malaysia!

Pada mulanya, saya tidak terlalu teruja dengan perkembangan ini, sementelah saya masih sibuk dengan projek penterjemahan al-Quran. Dalam perbincangan pertama yang dilakukan, saya masih lagi blur, lampi, lembab, tidak cepat menangkap dan banyak teknik mengkaji yang saya masih belum fahami. Justeru, apabila tim berbincang di FB, saya lebih banyak duduk diam dan membaca komen ahli tim lain. Duduk diam-diam itu ada dua tanda. Satu, tandanya orang itu tidak faham. Kedua, tandanya orang itu faham dan berfikir lebih dalam!

Tim Kajian Psikologi Hadith Nabi Muhammad ini ditubuhkan bagi mengkaji hadith-hadith Nabi, dan seterusnya melaksanakan misi seperti di bawah :

  • Misi: Mengangkat dan Meletakkan Prinsip, Strategi, Metod, Prosedur, Prioriti, Teknik-Teknik, dan Taktik Pengurusan Nabi Muhammad ke Dalam SOP Organisasi
  • Ahli-ahli :
    Puan Ainon Mohd (Penasihat & Ketua Projek),
    Puan Wan Mazwati (Timbalan Ketua Projek),
    Puan Rihan Hashim (Setiausaha),
    Tuan Ahmad Saifuddin Yusof,
    Tuan Mohammad Yusry Mohd Yusopp,
    Tuan Asyraff Hafdzan Abdullah,
    Puan Muna Izzah Fadzil dan
    Cikpuan Nor Hayati Mohd Redzwan.Kesemua ahli tim mempunyai kepakaran dan kelebihan masing-masing.
  • Objektif penyelidikan:
    1.Menggali prinsip-prinsip, strategi-strategi, prosedur-prosedur, teknik-teknik dan tool-tool yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau melaksanakan proses pembangunan tenaga manusia.2.Menggunakan penemuan-penemuan dalam penyelidikan ini bagi menghasilkan modul-modul latihan pembangunan sumber manusia dalam organisasi.
  • Blog : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Ini bukan kajian hadith yang biasa-biasa kerana kajian yang dilakukan adalah pada apa yang tersurat dalam teks hadith dan konteksnya. Juga bukan seperti metod mengkaji hadith yang digunakan oleh ulama’-ulama’ silam yang biasanya mengkaji hadith dari sudut teks, jalur pelapor, kategori pelapor, kategori hadith, kategori bab dan topik serta beberapa cabang yang lain. Mungkin saya boleh katakan, kajian hadith dengan metod ini, adalah metod yang keempat yang saya tahu, dan ia berlainan berbanding metod belajar hadith yang saya pernah pelajari.

Sekiranya diizinkan Allah, tim ini akan menerbitkan bukunya pada akhir tahun ini, dan pada tahun hadapan, kita akan mula memasarkan modul-modul yang dihasilkan ke syarikat-syarikat. Semoga dengan usaha kecil ini, dapat menambahkan lagi rasa cinta kepada Nabi Muhammad, dan dapat merubah masyarakat Islam dan dunia. Amin.

2 Comments (+add yours?)

  1. haniff
    Oct 12, 2011 @ 18:07:43

    salam.

    kagum.

    semoga kajian ini dapat dikembangkan, dan dibukukan.

    -tahun tiga di Irbid-

    Reply

    • wewr
      Oct 18, 2011 @ 13:19:49

      Waalaikumussalam.

      Terima kasih atas sokongan. Insya-Allah, tahun hadapan akan terbit bukunya beserta modul dan trainingnya. Doakan…

      Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: