10 Tip Jimat Belanja di Hipermarket


Salamun alaikum.

Semoga kesejahteraan dan keselamatan melimpahi dunia tuan puan dan akhiratnya juga. Allahumma amin…

Pada hari ini saya ingin berkongsi tip menjimatkan perbelanjaan di hipermarket. Pada masa sekarang, kewujudan hipermarket sangat meluas, dan mulai masuk ke pinggir-pinggir bandar dan bandar satelit. Justeru, semakin ramai yang terkena perangkap hipermarket.

Ramai orang beranggapan, membeli-belah di hipermarket lebih murah dan lebih jimat, kerana kita dapat membeli murah dan dapat lebih banyak. Namun, ramai yang tidak menyedari, ungkapan ‘jimat apabila beli banyak’ ini sebenarnya memerangkap kita supaya membeli lebih banyak barangan melebihi keperluan kita. Kadangkala kita terpaksa membeli banyak, kerana kita tidak dibenarkan membeli sedikit. Oleh itu, di sini saya kongsikan beberapa tip menjimatkan belanja apabila kita berbelanja di hipermarket. Semoga bermanfaat!

10 Tip Jimat Belanja di Hipermarket

1) Gunakan wang tunai. Elakkan penggunaan kad kredit. Kad kredit membuatkan kita merasakan kita mampu membayar barangan yang dibeli, meskipun troli sudah penuh. Sedangkan, sekiranya kita menggunakan wang tunai, kita tidak mampu membayarnya.  Statistik awal 2011 menunjukkan, lebih 50% golongan muda di bawah umur 35 tahun menjadi muflis disebabkan oleh perangkap kad kredit. Ingat, hipermarket mempunyai pelbagai taktik bagi memerangkap kita supaya membeli lebih banyak.

2) Gunakan bakul. Elakkan menggunakan troli, melainkan barang yang mahu dibeli itu sangat banyak dan tidak muat dimasukkan ke dalam troli. Mengapa kita perlu menggunakan bakul dan bukan troli? Kajian tingkahlaku pembeli menunjukkan, pembeli yang membawa troli kosong akan merasa malu kerana trolinya tidak penuh dan melihat pembeli lain memenuhkan troli. Justeru, pembeli tersebut cenderung memenuhkan trolinya sendiri meskipun wang yang dibawanya belum tentu cukup.

Jika perangkap jenis ini digabungkan dengan perangkap kad kredit, habislah kita!

Jika kita menggunakan bakul, kita cenderung untuk tidak menambahkan barangan ke dalamnya kerana beban bakul semakin berat. Oleh itu, wang kita pun jimat!

3)  Dapatkan katalog hipermarket dan baucar diskaun dan percuma yang dikeluarkan setiap tahun. Dapatkan juga kalendar promosi hipermarket, supaya kita dapat merancang masa yang sesuai pergi membeli-belah. Promosi tempoh terhad seperti ini, membolehkan kita membeli barangan yang kita perlukan dengan menggunakan baucar. Namun, berhati-hati, kerana kita mungkin terperangkap untuk membeli barangan yang ditawarkan murah, meskipun kita tidak perlukannya, dan tidak menggunakannya dengan kuantiti yang banyak.

4) Gunakan kad ahli supaya lebih banyak mendapat diskaun. Hipermarket seperti Tesco dan Mydin, menawarkan kad keahlian bagi pemilik-pemilik bisnes. Sekiranya kita mempunyai kenalan atau ahli keluarga pemilik kedai runcit, mohon supaya mereka mendapatkan kad tambahan bagi kita. Harga barangan bagi pemilik kad seperti ini, jauh lebih murah berbanding kad keahlian biasa dan kad keahlian pengguna biasa. Dokumen yang diperlukan adalah salinan sijil SSM. Kita akan diminta mengisi borang keahlian dan membayar yuran tertentu.

5) Rancang perbelanjaan terlebih dahulu sebelum pergi ke hipermarket. Bagi barangan basah, pembelian boleh dibuat dalam tempoh dua minggu sekali atau seminggu sekali. Bagi barangan kering, pembelian boleh dibuat dalam tempoh sebulan sekali.

6) Bawa wang secukupnya sahaja, apabila kita ke hipermarket. Pastikan wang yang dibawa selaras dengan rancangan perbelanjaan yang kita buat.

7) Beli barangan di luar musimnya. Pada musim tertentu seperti musim perayaan, sesetengah hipermarket menaikkan harga barangan mereka, berbanding pada luar musim. Contohnya, sebelum hari raya, kuih raya dijual dengan harga yang tinggi. Tetapi pada malam raya, harga kuih raya jatuh mendadak. Sedangkan, kuih raya diperlukan bukan sahaja pada hari raya, tetapi juga pada hari-hari selepas raya, seperti untuk rumah  terbuka dan lain-lain. Oleh itu, kita perlu membelinya pada waktu barangan itu masih murah.

8) Berhati-hati dengan barangan promosi murah. Sesetengah hipermarket meletakkan harga yang murah pada barangan stok lama, hampir tamat tarikh lupus, stok rosak dan tercemar. Periksa barangan terlebih dahulu sebelum membelinya.

9) Catitkan harga barangan di rak, pada kertas, dan bandingkan dengan harga di kaunter. Sesetengah hipermarket menipu pengguna apabila harganya tidak selaras. Justeru, kadangkala pengguna terpaksa membayar lebih tanpa disedari kerana perbezaan harga ini.

10) Baca doa masuk pasar sebelum kita memasuki hipermarket. Nabi Muhammad menggalakkan kita membaca doa masuk pasar sebelum masuk pasar. Apatah lagi dengan HIPERmarket yang sudah tentu lebih besar dan hebat perangkapnya. Membaca doa masuk pasar dapat mengelakkan kita meliarkan pandangan kepada pengunjung yang tidak menutup aurat, mengelakkan kita daripada terkena perangkap kewangan dan menjaga kita daripada nafsu membeli-belah apa yang tidak perlu. Juga mengelakkan kita lalai dalam tanggungjawab, seperti menunaikan sembahyang dan menjaga anak-anak.

Doa Masuk Pasar

 Umar bin al-Khattab melaporkan, “Rasulullah berpesan, “Sesiapa masuk ke dalam pasar dan mengucapkan,

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ حَيٌّ لاَ يَمُوْتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ.

“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, yang satu, tiada rakan lain bagi-Nya. Milik-Nya kerajaan, milik-Nya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan. Dialah yang hidup, tidak akan mati. Di tangan-Nya kebaikan. Dialah yang sangat berkuasa ke  atas setiap perkara.”

Maka Allah akan menuliskan baginya sejuta kebaikan, dan menghapuskan darinya sejuta keburukan, serta membangunkan baginya sebuah rumah di syurga.’”

(Direkodkan oleh Tirmizi: 5/291 dan Al-Hakim: 1/538. Dan Al-Albani menyatakan,
hadith tersebut hasan dalam Sahih Ibnu Majah: 2/21
dan Shahih At-Tirmidzi: 2/152)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: