20 Idea Projek Berkenaan al-Quran (Siri Pertama)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Mudah-mudahan tuan puan berada dalam keadaan yang sihat, serta di bawah lembayung kasih sayang Allah selalu.

Projek terjemahan al-Quran yang saya usahakan bersama PTS kini sudah hampir ke penghujung. Cuma tinggal 12 surah sahaja yang belum lengkap dan sempurna. Sebahagian besarnya sudah saya mulakan dan gerakkan terjemahannya. Namun, masih belum lengkap sehingga ke akhir ayat setiap surah. Mohon doa sahabat-sahabat pembaca dan tuan puan yang budiman agar terjemahan al-Quran untuk saudara baru ini berjaya disiapkan, dan kesilapan dapat diminimumkan. Amin…

Dalam pada melaksanakan terjemahan al-Quran ini, otak saya selalu ligat berfikir idea-idea berkenaan projek al-Quran. Hal ini disebabkan, masih banyak lagi ruang kosong yang perlu diisi, terutamanya bagi bahan bacaan pembaca jenis Fasa Mekah, dan pembaca Generasi Y. Mari kita lihat, apakah idea-idea yang terhasil sepanjang tahun ini…Mana tahu, ada di antara idea-idea ini boleh direalisasikan pada masa akan datang.

1) Kamus al-Quran. Kamus ini fokusnya kepada setiap perkataan yang disebut di dalam al-Quran. Boleh kita katakan sebagai terjemahan ataupun edisi bahasa Melayu bagi buku Mu’jam Mufahras Li Alfazil Qur’an. Fungsi kamus ini adalah memudahkan pembaca mencari apa sahaja perkataan yang disebut di dalam al-Quran, dan kamus ini akan menunjukkan ayatnya. Kamus ini berbeza sedikit berbanding Kamus al-Quran yang diterbitkan oleh PTS dan diusahakan oleh Prof Madya Dr. Zulkifli Mohd Yusoff dan rakan-rakan, kerana fungsinya bukanlah untuk memahami makna perkataan, tetapi lebih kepada fungsi carian. Kamus ini boleh meraikan beberapa jenis terjemahan yang ada di pasaran.

2) Novel berkenaan al-Quran. Apa? al-Quran mahu dibuat novel? Bagaimana?  Novel berkenaan al-Quran ini mengandungi cerita yang kita ambil wataknya daripada al-Quran (optional), dan kita ciptakan jalan ceritanya, sama ada berdasarkan al-Quran ataupun tidak. Objektif novel ini adalah mengangkat tema-tema dan pembelajaran berkenaan al-Quran. Selain memperkenalkan pembaca kepada sebahagian kandungan al-Quran, pembaca juga dapat menghayati isu-isu berkaitan al-Quran.

3) Al-Quran Miracle 22 in 1 dalam bentuk e-book. Idea ini adalah antara idea yang paling saya suka, kerana sekiranya kita dapat mendigitalkan al-Quran Miracle ini, dengan mempermudahkan lagi bahasa yang digunakan, saya yakin ia akan menjadi most downloaded e-book ataupun best seller apps dalam pasaran. Konsep e-book al-Quran Miracle ini adalah, pembaca akan menghayati ilmu-ilmu al-Quran dengan cara menerokainya seperti game book. Hanya dengan klik ataupun sentuhan, satu-satu ayat itu dapat dikupas dan digali lebih mendalam maknanya. Contohnya, bagi satu ayat, kita boleh sentuh pada perkataan yang tidak kita fahami, kemudian popup kamus akan keluar. Kemudian ada huraian daripada tafsir yang boleh kita pilih untuk membacanya. Kemudian ada pula pautan sebab turunnya ayat itu. Dan pelbagai jenis lagi pautan pada satu ayat…Seronoknya pengalaman membaca ebook al-Quran seperti ini.

4) Indeks Buku-buku berkenaan al-Quran. Pada zaman Nabi, mushaf al-Quran masih belum dibukukan. Lalu, pada zaman sahabat, lembaran-lembaran al-Quran mula dikumpulkan dan disusun. Justeru, semakin lama semakin banyak buku yang berkembang berkenaan al-Quran. Kemuncaknya pada zaman sekarang, kita dapat melihat ratusan buku yang ditulis hanya berkenaan al-Quran. Penyusunan Indeks ini boleh dilakukan dengan dua atau tiga cara, sama ada secara timeline/kronologi, mengikut alphabet nama buku ataupun  mengikut alphabet nama penulisnya.

5) Buku Motivasi al-Quran. Kita seringkali menghadapi kesukaran dalam hidup, dan hidup kita kadangkala tidak seindah yang diimpikan. Buku motivasi al-Quran hadir untuk memberikan cahaya dalam kehidupan, dan memberikan jalan keluar kepada masalah hidup yang kita hadapi. Tajuk cadangan :
Ajaibnya al-Quran
Dahsyatnya al-Quran
Indahnya Hidup di Bawah Kasih al-Quran.

6) Buku Panduan Membina Pusat Mengajar al-Quran. Fokus buku ini adalah bagaimana membina sebuah konsultan ataupun pusat pengajian al-Quran, sama ada secara swasta, berdasarkan sumbangan orang ramai, ataupun mendapat bantuan kerajaan. Buku ini mendapat inspirasi daripada  Jam’iyyah Muhafazah alal Quran, iaitu Pertubuhan Menjaga al-Quran di Jordan, yang mempunyai banyak cawangan di serata Jordan. Pertubuhan ini ditubuhkan oleh sukarelawan seluruh Jordan, dan bernaung di bawah parti Ikhwan, sebagai NGO. Dalam masa yang sama, mereka mempunyai pelbagai aktiviti seperti menganjurkan sistem pengajian Quran, menubuhkan NGO-NGO berkaitan al-Quran dan membuat penerbitan pelbagai tajuk buku berkenaan al-Quran. Salah satunya adalah berkenaan panduan membina pusat mengajar al-Quran.

7) Terjemahan Tafsir. Kita masih perlukan terjemahan tafsir yang masih kurang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu moden. Naskhah tafsir yang banyak berada di pasaran, adalah tafsir yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, justeru banyak istilah dan pemahaman yang berbeza diperolehi apabila membaca tafsir itu. Sekiranya pun ada buku tafsir al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, namun kebanyakannya sudah dikira menggunakan bahasa Melayu klasik, yang sukar difahami oleh masyarakat moden kita pada hari ini.

8) Diari Aku dan al-Quran. Saya tidak ingat saya baca di mana, tetapi ada seorang mualaf yang masuk Islam, hanya kerana setiap hari dia berdebat dengan al-Quran. Apa yang dimaksudkan dengan istilah  berdebat dengan al-Quran? Berdebat dengan al-Quran bermaksud, kita menimbulkan persoalan, dan kita memohon Allah menjawabnya melalui al-Quran. Pengalaman debat seperti ini sangat penting dibukukan, kerana dari situ kita akan dapat memahami agama ini, dan memahami sifat al-Quran itu sendiri, berdasarkan gaya al-Quran yang tersendiri.

Cukup setakat itu dahulu. Ada banyak lagi ideanya, insya-Allah saya akan sambung pada masa yang lain.

Semoga bermanfaat. Terima kasih kerana sudi membaca.
Wassalam

1 Comment (+add yours?)

  1. Tengku Nurhusni
    Oct 25, 2011 @ 14:05:26

    Assalamualaikum
    Tuan yang dirahmati…
    Saya memang selalu melihat tulisan tuan di FB, namun saya mengenali tuan hanya di FB, namun hari ini saya terbaca sesesuatu yang berkaitan dengan Al Quran…ia menarik minat saya.
    Saya merupakan seorang Franchise owner sebuah pusat pengajaran Al Quran di Kota Damansara, ditubuhkan setahun yang lalu..sejak saya menguruskan Pusat Pengajian Al quran ini banyak perkara yang saya belajar tentang Al Quran.
    Saya juga telah menghantar proposal buku kepada PTS tentang Surah-surah Al Quran lebih kurang tajuknya berkaitan dengan Motivasi dari Al Quran.

    Hari ini apabila saya terbaca blog tuan, saya rasa terpanggil untuk menulis balasan ini. Saya tertarik kepada no 5, 6 iaitu buku motivasi Al Quran dan panduan membina pusat pengajaran al quran. sebelum itu saya ingin bertanya adakah idea-idea telah dibangunkan atau masih lagi dalam catatan.
    Jika belum, saya berhasrat dan bergembira jika saya dapat berkerjasama dengan tuan. Saya juga ingin belajar dari tuan, kerana saya tahu dan kenal tuan merupakan penulis profesional dan saya ini baru ingin belajar.
    Jika tuan berminat, bolehlah tuan menghubungi saya di FB: Tengku Nurhusni.

    Sekian
    Yang benar
    Puan Tengku Nurhusni

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: