20 Idea Projek Berkenaan al-Quran (Siri Kedua)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Mudah-mudahan tuan puan berada dalam keadaan yang sihat, serta di bawah lembayung kasih sayang Allah selalu.

Kali ini saya akan menyambung penulisan berkenaan 20 Idea Projek berkenaan al-Quran yang saya tulis siri pertamanya tempoh hari. Maafkan saya kerana agak terlambat menyambungnya.

9) Ulum al-Quran Dalam Bentuk Baru. Ulum al-Quran, iaitu ilmu-ilmu berkenaan al-Quran sangat penting dipelajari oleh orang awam, bukan oleh pelajar agama sahaja. Hal ini disebabkan, bagi memudahkan mereka memahami dan memanfaatkan al-Quran, mereka perlu memahami nature al-Quran itu sendiri, berdasarkan ilmu-ilmu yang banyak ditulis oleh para ulama’ silam. Namun, situasi pada zaman sekarang ialah, pertama, kebanyakan buku mengenai ilmu-ilmu Quran ini masih lagi tersimpan kemas di dalam bahasa Arab. Kedua, buku-buku mengenai ilmu-ilmu Quran ini sudah pun diterjemahkan, namun gaya bahasanya tidak menarik minat pembaca bagi membacanya. Ketiga, penghasilan buku-buku berkaitan ilmu ini, seolah-olah terhenti setakat perbahasan ulama’ silam sahaja, iaitu tidak banyak ilmu baru yang dihasilkan. Ilmu-ilmu ini, perlu ditulis semula dalam bentuk yang menarik minat pembaca, misalnya dalam bentuk game book, ataupun questionnaire, word search, puzzle dan sebagainya. Boleh juga dihasilkan dalam bentuk flash card, buku bergambar, peta minda, carta, jadual dan lain-lain.

10) Buku-buku Panduan Menghafaz al-Quran. Buku ini bukan sekadar memaparkan tip-tip menghafaz al-Quran, malah menampilkan beberapa teknik praktikal yang boleh digunakan oleh pelajar-pelajar tahfiz, malah orang awam yang mahu menghafaz al-Quran.
Contoh tajuknya :
10 Tip Menghafal al-Quran dengan Cepat dan Mudah.
Realisasikan Impi Menghafal al-Quran Bagi Orang Yang Sibuk.

11) Siri Buku Biografi Tokoh-tokoh berkenaan al-Quran. Siri ini boleh mengandungi puluhan malah ratusan biografi berkenaan tokoh-tokoh ilmuwan dalam pengajian al-Quran. Siri ini boleh merangkumi tokoh dalam bidang penerbitan al-Quran, penulisan al-Quran, tokoh periwayatan, tokoh qari, tokoh penterjemah al-Quran, tokoh ilmuwan dalam bidang berkenaan al-Quran dan lain-lain.

12) Diari Penurunan al-Quran. Lazimnya, kita hanya mengetahui beberapa ayat atau surah yang pertama dan terakhir diturunkan dalam al-Quran. Namun, kita tidak mengetahui ataupun mengambil tahu perbahasan dan ilmu lebih lanjut berkenaan penurunan al-Quran. Diari ini akan mengulas penurunan al-Quran surah demi surah, berdasarkan peristiwa dan timeline turunnya. Justeru, pembaca dapat menghayati bagaimana perjalanan kehidupan Nabi dan penurunan al-Quran.

13) Buku Manual Bagi Penerbit dan Pencetak al-Quran. Buku ini boleh dihasilkan dengan gabungan pengalaman penerbit-penerbit dan pencetak al-Quran. Manual ini menjadi satu ilmu yang berharga kerana perkongsian pengalaman penerbit dan pencetak al-Quran ini dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai penerbit lain, yang mahu turut menyumbangkan usaha mereka dalam mengembangkan lagi percetakan al-Quran. Antara topik yang boleh dimasukkan ialah, perlesenan terjemahan, penyusunan layout dalaman, rekaan khat, seni pakejing al-Quran, isu-isu berbangkit dalam percetakan dan penerbitan, isu halal haram, pelupusan bahan bercetak yang rosak, pelaburan modal dan lain-lain.

14) Ensiklopedia Bergambar al-Quran. Ensiklopedia ini menerangkan berkenaan sejarah penurunan al-Quran dan mushaf-mushaf yang pernah dicetak dan ditulis tangan sejak dahulu sehingga kini. Dalam ensiklopedia ini juga, kita boleh meletakkan siri soal jawab lazim berkenaan al-Quran.

15) Siri Buku Ideator al-Quran. Buku ini lebih sesuai dibuat dalam bentuk buku kecil ataupun ebook. Ideator ialah orang yang mendapat idea. Kita tahu bahawa al-Quran adalah sumber ilmu dan sumber idea terhebat. Buku ini memaparkan tip-tip bagaimana memperolehi idea, ilham dan sumber ketenangan yang hebat melalui al-Quran.

16) TV al-Quran edisi Internet, yang berbahasa Melayu. Dalam perkembangan teknologi yang pantas ini, kita memerlukan TV internet al-Quran yang mudah dilayari oleh pelbagai peringkat umur. TV al-Quran ini adalah alternatif bagi TV-TV internet, iaitu IP TV yang ada di pasaran sekarang. Justeru, disebabkan kurangnya bahan berbentuk Islamik dalam pengisian IPTV, maka kita perlukan TV al-Quran ini, supaya dapat mengisi hati-hati yang gersang, dan supaya dakwah Islamiah dapat sampai ke setiap rumah di seluruh pelusuk dunia!

17)  Mengenali Tafsir. Ramai orang tidak mengenali buku-buku tafsir, Buku tafsir mana yang bagus, buku tafsir mana yang tidak bagus. Apa pegangan dan metod penulisan tafsir seseorang penulis tafsir, adakah tafsir itu boleh diterima ataupun bercanggah berdasarkan pandangan ulama. Dan banyak isu lagi yang perlu dikupas, supaya masyarakat dapat memilih tafsir yang tepat sebagai permulaan, dan mengelakkan tafsir yang sukar serta tidak disyorkan.

18)  Fadilat Surah-surah di dalam al-Quran. Surah-surah di dalam al-Quran mengandungi fadilat ataupun kelebihannya masing-masing. Kebanyakan kelebihan ini disebut dalam hadis-hadis yang sohih. Namun, kita perlu berhati-hati berkenaan hadis-hadis yang direka berkenaan kelebihan surah-surah ini. Justeru, buku ini perlu disusun berdasarkan kelebihan yang diperakui oleh hadis sahih, dan menyebutkan juga hadis-hadis yang tidak sahih malah palsu.

19) Mukjizat al-Quran berbicara. Mukjizat adalah sesuatu yang luar biasa, yang membuatkan manusia mengakui bahawa orang ataupun kitab yang didatangkan sebagai mukjizat itu adalah sesuatu yang benar-benar datang dari Tuhan. Al-Quran dipenuhi dengan mukjizat, sama ada yang sudah berlaku, mahupun yang akan berlaku. Penulisan buku ini memperkenalkan kepada pembaca, jenis-jenis mukjizat di dalam al-Quran, contoh-contoh yang sudah berlaku, persamaan situasi di dalam al-Quran dengan realiti semasa dan pelbagai perkara lain.

20) Kamus Topikal al-Quran.  Al-Quran mengandungi pelbagai jenis topik. Setiap topik itu disebut merata-rata di dalam al-Quran. Justeru, kamus topikal ini memudahkan pengkaji dan masyarakat, yang mahu mendalami al-Quran melalui topik-topik tertentu.

Artikel siri pertama mendapat respon yang baik daripada beberapa orang pembaca dan editor. Alhamdulillah, bagi saya, idea yang saya paparkan ini tidak semestinya saya sendiri yang akan menuliskan ataupun merealisasikannya. Saya melontarkan idea, sekiranya ada pihak yang sudi menyambut dan mahu perbincangan lebih lanjut, saya sudi bekerjasama.

Saya berfikir-fikir, pada tahun hadapan, saya sudah penuh dengan projek-projek yang akan saya jalankan. Namun, saya mahu menyediakan sedikit ruang bagi salah satu projek berkenaan al-Quran ini.

Justeru, saya mencari sesiapa yang berminat untuk menyertai tim projek berkenaan al-Quran ini, yang akan memulakan pengkajiannya pada tahun hadapan. Hanya 5 orang sahaja. Sekiranya anda berminat, mohon emelkan sedikit maklumat diri, seperti nama, pengajian, pengalaman, nombor telefon dan emel, ke  asyraffdini@gmail.com.

Semoga bermanfaat. Terima kasih kerana sudi membaca.
Wassalam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: