10 Tip Mengatasi Kebimbangan Terhadap Hasil Karya


Sebagai penulis, terutamanya penulis yang baru sahaja menulis dan masih lagi mencari rentak dalam penulisan, kita sering diburu dengan rasa ketakutan dari dalam diri. Penulis yang baru, cenderung merasakan bahawa karya mereka tidak akan diterima orang, karya mereka masih terlalu banyak kekurangan dan seribu satu kelemahan lain.

Antara contoh ketakutan yang biasa dialami oleh penulis-penulis adalah seperti berikut :

  • Malu karya tersiar.
  • Bimbang karya dikritik oleh pakar.
  • Bimbang karya dicemuh dan dianggap sampah.
  • Tidak suka menjadi popular dan menjadi buah mulut orang.
  • Malu diusik orang yang mengenali kita.
  • Takut sekiranya karya tidak laku dan tidak mendapat sambutan.

Kesannya, penulis akan mengedit karya terlalu banyak dan terlalu kerap. Justeru, akhirnya penulisan akan terhenti ataupun buku yang ingin dihasilkan tidak siap sama sekali. Apabila buku tidak siap, maka kita tidak dapat menghantarnya kepada penerbit bagi diterbitkan, pencetak tiada bahan bagi diterbitkan, pembaca juga tidak dapat manfaat daripada buku kita, dan semestinya kita tidak dapat royalti buku itu.


Tip 1 : Karya Kita Bukanlah al-Quran.

Ya. Karya kita bukanlah al-Quran yang sempurna. Sudah pasti, karya kita mengandungi kelemahan dan kekurangan, selaras dengan sifat kita sebagai manusia, bukan Pencipta.

Jika kita mengesan sebarang kelemahan, dan kita mampu memperbaikinya, dan kesalahan itu melibatkan isi yang penting, maka kita boleh memperbaikinya.

Terlalu sempurna bukanlah sifat bagi buku yang dihasilkan oleh yang bernama manusia.

Tip 2 : Teruskan Menulis dan Menulis.

Teruskan menulis dan menulis. Perbetulkan isi dan isu, selepas selesai menulis. Elakkan mencantas perjalanan idea dan menghentikan proses berfikir yang lancar semasa kita sedang menulis. Sekiranya proses ini terbantut, penulisan pun akan terbantut.

Selepas kita merasakan buku atau bab yang kita tulis itu sudah selesai, barulah kita berikan masa bagi memperbaiki dan memperbetulkannya pula.


Tip 3 : Mencincang dan Mencantikkan Karya adalah Tugas Editor.

Tugas penulis adalah menulis dan menghasilkan buku. Kadangkala, sebagai penulis, kita tidak nampak apa-apa kekurangan dan kelemahan buku kita. Kadangkala juga, kita sebagai penulis, asyik nampak kekurangan dan kelemahan buku kita.

Apa solusinya? Hantar kepada editor ataupun orang yang kita boleh percayai, sebagai penyemak kedua. Pastikan buku yang kita hantar itu sudah boleh dikategorikan sebagai buku yang sudah siap.


Tip 4 : Kenalpasti Ketakutan Kita. Berdialog Dengannya.

Ketakutan kita terhadap sesuatu yang kita tidak tahu dan jahil mengenainya, kadangkala menimbulkan masalah yang kita sendiri tidak pasti apa dia. Apa kata, kita cuba merangka penyelesaian bagi ketakutan kita itu? Cubalah berdialog dengan diri kita sendiri.

Saya : Mengapalah saya tidak dapat menyiapkan buku ini? Apa masalahnya?

Ketakutan : Sebab sekiranya awak mengatakannya sebagai ‘sudah siap’, awak mungkin akan perasan kelemahan-kelemahannya. Kalau buku itu tidak pernah siap, awak tidak perlu menghantarnya kepada editor, dan awak takkan mengetahui apa kelemahan-kelemahan buku awak. Jadi awak lebih selamat begitu.

Saya : Apa masalahnya sekiranya orang lain tahu buku saya itu buku yang tidak bagus?

Ketakutan : Nanti orang akan anggap awak sebagai penulis yang tidak bagus!

Saya : Berdasarkan persepsi siapa?

Ketakutan : Orang yang membacanya. Penerbit yang mungkin menolak buku saya.

Saya : Tetapi, bukankah dengan menyiapkan buku saya, dan mendapatkan maklum balas berkenaan buku saya itu, sama ada bagus atau tidak bagus, dapat membantu saya menambah baik buku saya, supaya saya dapat melangkah lebih jauh ke arah matlamat saya sebagai penulis?

Ketakutan : Betul juga, ya? Hmmm….

Tip 5 : Fokuskan Kepada Proses Penulisan, Bukan Hasil yang Sempurna.

Penulisan mempunyai prosesnya sendiri. Daripada proses mendapatkan kajian dan idea, sehinggalah kepada proses membukukan idea dan dapatan kita itu.

Bagi mengatasi ketakutan kita, fokuskan pada proses penulisan yang betul dan tepat. Ikuti langkah-langkahnya. Jangan fikirkan berkenaan hasilnya nanti sama ada bagus ataupun tidak. Biarkan editor yang fikirkan sama ada hasil itu sesuai diterbitkan ataupun tidak.

Sekiranya hasil penulisan kita itu nanti sesuai diterbitkan, editor akan berkata “Bagus!” . Jika tidak, editor akan memulangkan dan mencadangkan penambah baikan. Baiki dan hantar semula. Sehinggalah editor berkata, “Bagus!”.

Tip 6 : Fokuskan Kepada Matlamat Penulisan dan Apa yang Ingin Dicapai.

Adakah kita penah menulis sehelai kertas yang mengandungi matlamat-matlamat penulisan kita? Ingatkah lagi apa matlamat yang kita tulis sewaktu kita mula-mula menulis? Sekiranya belum ada, tulis sekarang. Ya, sekarang!

Sudah tulis matlamat penulisan kita?

Adakah buku yang sedang kita tulis itu berkaitan dengan matlamat penulisan kita dan dapat mencapai matlamat penulisan kita?
Jika ya, teruskan menulis. Jika tidak, berhenti dahulu. Semak semula matlamat kita dan teruskan kemudian selepas setting matlamat sudah betul.

Tip 7 : Tukar Persepsi Negatif Kepada Persepsi Positif.

Kadangkala, manusia sering berfikiran negatif lebih banyak berbanding berfikiran positif. Hal ini menyebabkan apa sahaja percubaan kita mahu melakukan sesuatu yang baru, dianggap mustahil dilakukan. Sehinggakan diri kita tidak berani keluar dari kepompong keselesaan. Inilah yang dikatakan sebagai pesimistik. Apa yang difikirkan, akan menjadi satu doa dan penarik aura.

Jika yang baik didoakan, maka yang baiklah yang akan datang. Jika yang buruk, maka yang buruklah yang bertandang.

Gejala pesimistik bukan sahaja dapat mecarik peluang dan ruang kita sebagai penulis, malah dapat menyerang kita hingga ke sudut terpencil daripada masyarakat. Justeru, dengan menukar persepsi diri daripada negatif kepada positif, kita dapat keluar dari zon selesa hidup kita.

Contoh :
Takut sekiranya karya tidak laku dan tidak mendapat sambutan
                                                      TUKAR
Gembira karya kita sangat laku dan sangat laris di pasaran.

Tip 8 : Cium Bau Ganjaran Penulisan yang akan Diperolehi.

Terdapat pelbagai jenis ganjaran yang diperolehi daripada penulisan. Ada ganjaran berbentuk dalaman, dan ada juga ganjaran berbentuk luaran.
Ganjaran berbentuk instrinsik adalah seperti rasa puas dapat menulis, rasa gembira apabila pembaca berubah ke arah yang lebih baik selepas membaca buku kita dan banyak lagi motivasi dalaman yang kita perolehi.

Manakala ganjaran berbentuk ekstrinsik pula adalah ganjaran luaran seperti hadiah, royalti, anugerah penulisan, honorarium, nama terpampang di akhbar dan pujian orang ramai.

Bagi mendapatkan bau ganjaran penulisan, kita perlu membayangkan apakah ganjaran yang akan kita perolehi nanti. Dengan membayangkan kita akan mendapat ganjaran itu, kita dapat menggerakkan tubuh kita berusaha mengelakkan kebimbangan, dan terus bersikap positif semasa menulis. Insya-Allah.

Tip 9 : Fikirkan Kejayaan Penulis-penulis lain Mengatasi Ketakutan Mereka.

Kita tidak pernah keseorangan dalam bidang penulisan. Sudah ada jutaan manusia yang pernah mengalami dan merasai pengalaman menulis dan ketakutan yang sama. Bacalah pengalaman mereka. Fikirkan kejayaan-kejayaan yang mereka kecapi sesudah berjaya mengatasi kebimbangan mereka. Fikirkan kekuatan yang mereka perolehi selepas mereka mendapat kejayaan-kejayaan tersebut.

Jika kita mampu, bertanyalah dengan mereka. Dapatkan tip dan panduan daripada mereka.

Tip 10 : Sentiasa Tingkatkan Ilmu Berkenaan Penulisan, dan Bidang Berkaitan.

Ketakutan wujud apabila kita berada dalam situasi tidak tahu. Contohnya, kita takut untuk terlibat secara aktif dengan promosi buku anjuran penerbit, kerana kita bimbang kita tidak dapat bercakap kepada khalayak dengan baik.

Atasi ketakutan itu dengan bertanya dan mengambil tahu. Meluaskan pembacaan berkenan bidang penulisan juga dapat mengurangkan kebimbangan yang kita alami.

Kerja, Kerja & Kerja….


Salamun alaikum. Selamat sejahtera ke atas kalian.

Dengan nama Allah yang sangat pengasih dan sangat mengasihani.

Sabtu@PTS

Pada permulaan hari Sabtu kuning yang ketiga ini, saya sebenarnya mahu ke PTS. Pada pagi ini, PTS Pop mengadakan pertemuan bersama penulis dan pelukis serta karyawan PTS Pop. Sempena mesyuarat hari ini juga, Bookcafe Sdn Bhd mengadakan Sabtu@PTS.

Namun, saya tidak dapat hadir ke sana. Kerana dilanda gemuruh perut dan guruh kalut. Saya terlewat!

Lalu, saya ke kedai saya, Shabab Variety Services, bagi menyiapkan beberapa kerja yang tertangguh.

Sempat bertukar pakaian, saya mengemaskan bilik stor ataupun gudang penyimpanan makanan kering bagi kedai kami. Kesal, ada beberapa jenis minuman dan makanan ringan yang sudah pun tamat tempohnya. Daripada tamat tempohnya, lebih baik ditukar. Ataupun beberapa minggu sebelum tamat tempoh, lebih baik diberikan sahaja kepada pelanggan. Ada pelanggan yang menerima dengan senang hati, meskipun makanan itu sudah menghampiri tempoh tamat.

Saya teringatkan kisah bagaimana Habil dan Qabil menyediakan korban untuk Allah. Kedua-duanya menyediakan korban bagi mendapatkan keredhaan Allah, namun salah seorang daripada mereka mengorbankan makanan yang tidak berkualiti, dan banyak cacat celanya. Siapakah dia? Ya, Qabil. Manakala Habil mengorbankan makanan yang terbaik dimilikinya. Akhirnya, sudah pasti Allah menerima amalan baik Habil.

Begitu juga semasa di Jordan, apabila tiba musim Ramadhan, ramailah dermawan yang mula membahagi-bahagikan makanan dan wang kepada 8 asnaf yang layak menerima zakat. Tentulah kami sebagai musafir dan penuntut ilmu mempunyai bahagian dalam asnaf itu. Justeru, boleh dikatakan kami hidup mewah dengan wang dan makanan yang didermakan oleh para dermawan itu. Alhamdulillah.

Namun, dalam ramai-ramai yang dermawan, ada juga yang menyedekahkan makanan yang sudah hampir tamat tarikh luputnya. Alangkah ruginya, kerana makanan itu tidak dapat dimanfaatkan. Semoga Allah tetap memberikan pahala atas niat baiknya yang cuba juga memberi, namun tidak memberikan yang terbaik yang dimilikinya.

Justeru, adakah benar cara yang saya lakukan? Iaitu memberikan barang-barang di kedai sebagai hadiah ataupun sedekah? Semoga Allah tetap juga memberikan pahala. Amin.

Terfikir satu idea, iaitu saya mahu mengumpulkan satu senarai pelajar miskin di UIA, dan memberikan mereka air kotak susu dan roti untuk berbuka puasa ataupun bersahur. Mungkin seminggu sekali atau lebih kerap daripada itu. Apa pula pandangan kalian?

Kerja, Kerja dan Kerja….

Kerja saya sebenarnya tidak semakin berkurang, namun semakin bertambah. Pada ketika saya mahu mengehadkan bilangan projek penulisan yang mahu saya lakukan, idea penulisan tetap datang dan bercambah. Dan para karyawan di pihak penerbitan tetap mahu saya menuliskan buku itu untuk mereka. Projek penterjemahan al-Quran untuk saudara baru pun saya masih belum dapat selesaikan lagi, meskipun sudah hampir setahun. Saya mahu menyiapkannya paling lewat dalam bulan Ramadhan. Semoga saya diberikan kekuatan.

Baru-baru ini, saya dan isteri pergi ke Bengkel Perolehan Manuskrip, anjuran Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka . Asalnya, Grup Karyawan Luar Negara diamanahkan menyertai bengkel kali ini. Biasanya GKLN mengadakan kerjasama dengan DBP bagi penganjuran bengkel penulisan tahunan sempena musim panas untuk pelajar luar negara. Namun, hanya saya berdua dengan isteri sahaja yang menjadi wakil GKLN. Kehadiran pada tahun ini tidak memuaskan.

Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja baharu sahaja ditubuhkan semula sejak dihazafkan pada tahun 2004, iaitu semasa pemerintahan Ketua Pengarah DBP, Tuan Abdul Aziz bin Deraman. Sejak tahun itu, penerbitan buku kanak-kanak dan remaja semakin merosot sehinggalah peranan itu cuba diambil alih oleh PTS.

Dalam bengkel itu, penerangan berkenaan penerbitan buku kanak-kanak dan remaja dalam pelbagai genre dilakukan. Antara pengisi bengkel adalah, Pn. Azihani, editor buku kanak-kanak, Pn Khatijah Ismail, editor buku remaja, Pn Mahaya Mohd Yassin, penulis yang tersohor dalam bidang sastera kanak-kanak dan tidak ketinggalan, Tuan Dr Faisal Tehrani, penulis tersohor dalam bidang sastera remaja.

Pada akhir sesi bengkel selama 3 hari itu, pihak penerbitan Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, menawarkan projek penulisan kepada semua peserta. Setiap peserta diminta menyediakan kertas proposal penulisan buku kanak-kanak dan remaja. Setiap peserta diwajibkan menghantar 1 cerpen, 3 puisi, bagi penghasilan antologi remaja. Manakala bagi penulis Timur Tengah pula, kami ditawarkan satu lagi antologi puisi dan cerpen yang dihasilkan bertemakan remaja serta berlatarkan Timur Tengah selain satu lagi antologi cerpen yang pernah diterbitkan di Mesir, iaitu Dalam 10 Yang Kugelar Cinta. Saya pula mendapat satu lagi projek penulisan, iaitu siri kerjaya bagi kanak-kanak.

Akhirnya, kerja saya bertambah lagi. Kerja bertambah bermakna rezeki bertambah. Itu juga bermakna, saya perlu berusaha lebih kuat lagi bagi menyiapkan semua projek yang saya ada dan saya ingin tulis. Allahu Akbar! Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan.

Klik di sini untuk mendapatkan bahan slide dan bahan audio dalam bengkel tersebut.

Saya Tidak Pandai Menulis!


Fikir..Fikir

“Tuan, saya tidak pandai menulis, bagaimana saya mahu menulis?” tanya seorang rakan. Saya cuma diam dan
tersenyum.

Seorang lagi bertanya, “Saya memang minat menulis, tetapi saya tidak tahu mahu mulakan daripada mana.”

Menulis bukanlah sesuatu yang asing daripada kehidupan kita. Kita telah belajar menulis sejak kita di peringkat sekolah rendah lagi. Apabila kita telah masuk ke universiti, kemahiran menulis kita semakin meningkat.

Yang sebenarnya, bukan kita tidak pandai menulis, tetapi kita tidak tahu  bagaimana teknik penulisan yang yang sesuai dengan medium penerbitan penulisan kita. Ramai orang pandai tahu menulis pelbagai perkara, namun apabila diminta menulis artikel di dalam majalah misalnya, tiba-tiba mereka menjadi tidak pandai menulis.

Apa yang kita wajib tahu mengenai dunia penulisan?

Kita harus belajar mengenai tiga modul utama dalam penulisan. Iaitu penulis, penulisan dan promosi. Sekiranya kita mahu menjadi penulis, kita mesti mengenal diri kita terlebih dahulu. Kenali potensi dan bakat kita sebelum kita ubah bakat dan kebolehan kita itu menjadi sesuatu yang boleh ditulis. Penulis menulis sesuatu yang dekat dengan diri mereka. Oleh itu, fahami diri kita dan fahami bagaimana kita boleh keluarkan bakat kita sebagai modal menulis.

Setiap orang, mempunyai kelebihan, bakat dan minat masing-masing. Justeru, minat dan bakat kita itu menentukan kecenderungan kita menulis dalam medium apa.

Bagaimana saya mahu belajar teknik penulisan?

Kita boleh mendapatkan kemahiran penulisan sesuai untuk medium dengan pelbagai cara :

1) Pergi ke kursus penulisan. Setakat ini terdapat beberapa jenis kursus penulisan yang dijalankan oleh beberapa individu mahupun syarikat. Antaranya, kursuspenulisan.com dan akademipenulis.com. Kedua-dua entiti ini menjalankan kursus penulisan lebih berbentuk akademik seperti rencana, jurnal dan buku. Namun, pada tahun 2010,
mereka sudah mula menganjurkan kursus penulisan novel. Selain itu, Astaka Villa Aksara turut menganjurkan kursus
penulisan novel dan skrip drama. Laman web mereka boleh diakses di http://ejenmanuskrip.blogspot.com/.

2) Membaca, membaca dan membaca. Begitulah kata Pak A.Samad Said apabila ditanya bagaimana memulakan
penulisan. Seseorang penulis harus mempunyai banyak input sebelum dapat mencurahkan outputnya ke dalam penulisan.

Antara buku yang membicarakan kemahiran teknik penulisan adalah :

  • Cari Duit sebagai Penulis Bebas – Zamri Mohamad http://pts.com.my
  • Tip Penulis Bestseller – Zamri Mohamad  http://pts.com.my
  • Buat Duit dengan Menulis oleh Jeniri Amir  http://pts.com.my
  • Menjadi Penulis Jutawan oleh Nimoiz T.Y.   http://bookplanet.com.my
  • Persediaan Menulis Cerpen (DBP)
  • Persediaan Menulis Novel (DBP)
  • Penulisan Cerpen : Daripada Konvensi ke Inovasi (Utusan Publications)
  • Penulisan Kreatif : Teori, Pengalaman, Cabaran (Utusan Publications)
  • Tips & Motivasi Penulisan Cerpen (Utusan Publications)
    (Kelima-lima buku terakhir ini adalah tulisan Othman Puteh)

Melalui buku-buku di atas, kita boleh belajar menulis dengan lebih terperinci dan lebih khusus kepada medium tertentu.

3) Berlatih menulis dengan blog. Latihan menulis membolehkan kita mengenalpasti gaya penulisan kita.

Bagaimana mengubat perasaan tidak pandai menulis dalam diri?

Ketuk sehingga pecah perasaan tersebut. Kita tidak akan tahu kita pandai menulis atau tidak selagi kita tidak menulis. Kita juga tidak akan tahu adakah penulisan kita baik atau tidak selagi penulisan kita tidak dibaca oleh orang lain. Sekiranya kita tidak menulis, tetapi mahu menulis, tulis sahaja. Baik atau buruk boleh diperbaiki. Cantik atau hodoh tulisan kita, akan ditambah baik selepas kita belajar teknik-tekniknya.

Dua P lagi akan saya kupas dalam artikel akan datang. Selamat menulis.

Teknik Surah Yusuf Yang Pro Tauhid


TEKNIK SURAH YUSUF YANG PRO TAUHID

In Allah We Trust
In Allah We Trust

Setiap cerita, setiap kisah yang disampaikan mempunyai tujuan dan matlamatnya yang tersendiri. Ada kisah diceritakan dari generasi ke generasi demi mengekalkan tradisi dan budaya. Ada pula yang memberi peringatan kepada generasi seterusnya. Contohnya, penceritaan lisan bangsa Melayu, dari satu generasi ke satu generasi, bertujuan mendidik generasi seterusnya terhadap budaya dan adat bangsa.

Cerita di dalam Al-Quran turut mempunyai matlamat tersendiri. Selain menceritakan kisah kaum terdahulu, semua cerita di dalam al-Quran berkongsi ciri yang serupa, iaitu tauhid. Ini kerana, setiap nabi yang diutus, membawa misi tauhid yang jelas, konsep penyembahan kepada Yang Esa. Cerita yang pro tauhid ini, menyuntik minda manusia agar bersinergi dengan fitrah sanubari bahawa adanya Pencipta alam ini. Semua cerita menjawab 3 persoalan utama manusia terhadap kehidupan dunia, iaitu dari mana kita datang, apa tujuan hidup di dunia dan ke mana pula kita selepas ini.

Di dalam surah Yusuf, cerita tentangnya sangat sarat dengan mesej mengesakan Allah. Jika dikaji ayat demi ayat di dalam Surah Yusuf, majoriti ayatnya mengingatkan kita tentang adanya kuasa besar Pencipta. Kuasa Allah yang mengatur setiap plot di dalam cerita. Setiap babak tidak lepas daripada mengetuk fikiran manusia agar ingat dan beriman kepada Allah dan hari akhirat. Cuba perhatikan perkataan-perkataan seperti Allah, Rabb (Tuhan), Huwa (Dia), Nahnu @ Na (Kami) dan lain-lain, semuanya menunjukkan kepada kewujudan dan sifat-sifat Allah. Ini lebih ketara kepada hampir setiap pengakhiran babak, terdapat penegasan tauhid.

Melalui teknik Surah Yusuf, pengarang boleh menyelitkan seberapa banyak unsur tauhid yang boleh. Menerusi naratif atau dialog, unsur tauhid boleh diselitkan melalui pelbagai bentuk. Unsur tauhid terkandung di dalam kalimah Allah, sifat-sifat Allah, dan juga nama-nama Allah.

Begitu juga selepas tamat cerita, Allah membuat rumusan cerita. Terdapat penegasan motif cerita, balasan baik dan buruk, kekuatan sifat-sifat Allah, dan apa yang Allah mahu sesudah cerita disampaikan. Apakah dia? Allah mahu kita beriman kepada-Nya!

Penulis boleh menyelitkan pembuka dan penutup cerita sebagaimana yang diamalkan, iaitu melalui prolog dan epilog. Kewujudan 2 unsur ini, mampu mempertegaskan lagi ciri-ciri pro tauhid di dalam cerita.

Mewujudkan unsur pro tauhid di dalam karya adalah tugas pengarang yang inginkan pembacanya mentauhidkan Allah. Oleh itu, tanggungjawab ini adalah amanah Allah untuk setiap yang bergelar penulis. Marilah kita menulis dari Allah, kerana Allah, demi Allah!

Ciri Linguistik Dalam Teknik Surah Yusuf


Untuk menghasilkan kesan linguistik kepada telinga kita, mari kita sama-sama dengar bacaan Mp3 Surah Yusuf dahulu. Sila download di bawah.

Bacaan Surah Yusuf oleh Syeikh Yahya Hawwa.mp3
(15.3MB)
Bacaan Surah Yusuf oleh Syeikh Abdullah Muhammad Al-Matrud (11.8MB)

Salah satu ciri keindahan dalam mana-mana karya sama ada karya puisi atau cerpen, gurindam atau pantun, syair dan lagu, adalah ciri melodi metafora (pengakhiran suku kata) bunyinya yang mempesonakan.

Oleh kerana ayat-ayat Al-Qur’an adalah ‘ayat-ayat cinta’ Tuhan, sudah tentu kalam Tuhan ini mengatasi segala bunyi melodi di dalam semua jenis karya di dunia ini!

Di dalam Al-Quran, ciri melodi yang diambil daripada fonologi bahasa Arab sendiri, menjadikan semua ayat Al-Quran mempunyai kesan linguistiknya tersendiri. Sesetengah ayat memberi kesan yang berbeza kepada pendengar. Bahasa Arab yang unik, apabila disinergikan dengan ayat Al-Quran, menghasilkan metafora, melodi yang begitu indah di jiwa manusia bahkan haiwan. Ciri-ciri linguistik Arab yang kita lihat aplikasinya dalam ilmu tajwid, menjadi salah satu sumber perubatan kepada rohani manusia. Sama seperti yang dilakukan pada zaman Abbasiyah, di mana hospital-hospital menggunakan muzik yang lembut untuk mengubati pesakit.

Jika dihitung-hitung jumlah metafora di dalam Surah Yusuf, hanya terdapat empat huruf sahaja yang digunakan, iaitu huruf nun, mim, ra dan lam. Kesemua huruf ini adalah huruf idgham (huruf yang mudah dicantumkan bunyinya dengan huruf lain), antara huruf yang paling tinggi kesan melodinya. Metafora dengan huruf lam terdapat pada ayat 66. Manakala untuk huruf ra, hanya ayat 39 & 65. Sedangkan untuk huruf mim, terdapat pada 15 ayat. Bakinya, iaitu 93 ayat, dikhususkan untuk huruf nun, huruf yang mempunyai kesan melodi paling indah dalam bahasa Arab!

Meskipun bahasa Melayu tidak sama dengan bahasa Arab terutama dari segi linguistiknya, namun kita mengharapkan agar pakar-pakar linguistik dapat mengutarakan satu kesan linguistik paling indah di dalam bahasa Melayu. Suku kata yang bagaimanakah yang paling sedap didengar dan dibaca agar kesannya melantun-lantun dalam jiwa? Bunyi metafora yang bagaimanakah dapat mempengaruhi pembaca menghabiskan karya kita dengan rasa puas?

Pada hemat saya, sekiranya kita dapat memaksimumkan penggunaan metafora di dalam karya kita, karya kita akan menjadi indah untuk dibaca.  Terfikir saya, melihatkan warisan sastera nenek moyang yang kerap menggunakan ciri metafora di penghujung ayat, karya mereka tetap evergreen sepanjang zaman. Mungkinkah manusia ini fitrahnya sukakan muzik linguistik?

Multi-Ujian : Menyorot Konflik Dalam Teknik Surah Yusuf


Salam

Alhamdulillah. Allah telah memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dengan salah seorang guru terbaik dalam bidang penulisan. Sebelum sesi Bengkel Menurunkan Indeks Kabus tempohari bermula, Sifu Ainon telah mengamanahkan saya agar saya menulis siri-siri entri berkenaan Surah Yusuf dan Teknik Surah Yusuf, berdasarkan olahan terhadap kitab Surah Yusuf : Dirasah Tahliliah (Surah Yusuf: Kajian Terperinci) oleh Prof. Dr. Ahmad Naufal, salah seorang guru saya. Dr Ahmad Naufal adalah pakar Qasas Qurani, kisah-kisah dalam Al-Quran, yang terkenal di Jordan.

Baiklah, kali ini kita akan mengupas berkenaan mehnah, ujian dan tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Yusuf.

Dalam teori Sastera Teknik Surah Yusuf, secara ringkasnya diterangkan, watak utama atau hero mengalami banyak konflik, yang secara tidak langsung menyerlahkan idealnya watak tersebut. Watak hero bukan sahaja dihadapkan dengan pelbagai ujian, bahkan pelbagai jenis orang pula yang memberi tekanan kepada watak utama. Selepas melalui pelbagai ujian, sebagaimana istilah ‘imtihan‘ (peperiksaan) – perkataan imtihan sendiri memberi maksud besi yang ditempa dengan api – watak yang ditempa dengan multi-ujian ini, akan menjadi watak superhero yang kuat!

Hal ujian ini bertepatan sangat dengan firman Allah:

“Aiff lam mim, Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa ‘Kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut : 1-3)

Terdapat banyak hadith dan ayat Al-Quran yang menunjukkan bahawa para mu’min itu akan diuji untuk mengetahui kebenaran iman mereka. Dan seberat-berat ujian yang dihadapi, adalah ujian ke atas para Nabi dan Rasul, sebab itu ada di kalangan mereka yang digelar Rasul Ulul Azmi (Rasul yang mempunyai keazaman yang kuat).

Mari kita lihat, berapakah jenis cabaran yang dihadapi oleh watak utama yang mu’min kepada Allah dan Rasul-Nya. Terdapat satu hadith yang diriwayatkan daripada Anas r.a. yang menyebut bahawa Orang Mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang susah:
1. Mukmin yang dengki padanya

2. Munafiq yang benci kepadanya

3. Kafir yang memeranginya

4. Syaitan yang menyesatkannya

5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya

(Hadith ini telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dan hadith Anas
dalam tajuk: “Akhlak Yang Luhur.”) – dikutip dari buku Bahtera Penyelamat, Fathy Yakan, Dewan Pustaka Fajar.

Tanah-tanah Sejarah. Gambar Ihsan : My Computer..hehe..Copyright Controlled.

Tanah-tanah Sejarah. Gambar Ihsan : My Computer..hehe..Copyright Controlled.

Secara asasnya, semua mu’min menghadapi ujian seperti di atas. Dan mungkin sahaja konflik yang dihadapi berbeza antara satu sama lain. Jika kita sorot di dalam Surah Yusuf, Nabi Yusuf menghadapi beberapa cabaran dan konflik. Iaitu :

1. Konflik keluarga.

2. Konflik kasih sayang.

3. Konflik maruah diri (apabila dihambakan dan dijual murah).

4. Konflik dengan lawan jantina. Dalam hal ini, Dr Ahmad Naufal tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Nabi Yusuf juga bernafsu terhadap wanita Al-Aziz. Ini kerana apabila kita membenarkan pandangan ini, ia seolah-oleh satu kekejian kepada para Nabi sedangkan para Nabi adalah maksum iaitu terpelihara daripada dosa. Apa yang boleh kita simpulkan di sini, kerana kuatnya godaan wanita tersebut, hampir saja Nabi Yusuf terpedaya sekiranya tidak melihat tanda kebesaran Tuhannya. Tanda itu boleh ditakwilkan (ditafsirkan) sebagai istighfar atau lintasan di dalam hati yang segera mengingatkan kepada Allah.

5. Konflik dengan penguasa. Termasuk di dalam konflik ini adalah konflik penguasa eksekutif (al-Aziz) dan legislatif (hakim). Sedangkan dengan raja Mesir sendiri, Nabi Yusuf tidak menunjukkan pertentangan yang nyata berbanding kisah Nabi Musa dan Firaun.

6. Konflik dengan harta dan pangkat. Dalam hal ini, Nabi Yusuf menunjukkan cara terbaik menghadapi konflik dengan harta dan pangkat.

Jika kita merujuk kepada sebab turunnya surah Yusuf yang unik ini, kita akan dapat memahami mengapa kisah terbaik dan indah ini sebegitu rupa konfliknya. Surah Yusuf ini diturunkan dalam fasa Makkah, iaitu semasa Nabi Muhammad dan Bani Hasyim dipulau habis-habisan di sebuah lembah sekitar tahun ke-12 pengutusan Nabi. Ada riwayat juga mengatakan surah ini turun ketika Nabi sedang berdukacita kerana kehilangan Saidatina Khadijah dan pakciknya Abu Talib dalam Tahun Dukacita, 10 tahun selepas pengutusan Nabi. Dengan ujian yang berat, makanan yang kehabisan, daun-daun kayu telah habis dimakan, lembah yang gersang, umat yang malang, sehingga ramai yang bertanya-tanya, bilakah bantuan akan datang?

Maka turunnya surah ini menghilangkan keraguan sama sekali di jiwa para umat. Memberi harapan kemenangan, menenangkan jiwa yang kehausan pertolongan, sekaligus memberi persediaan untuk HIJRAH!

Demikianlah, multi-konflik dan multi-ujian dalam kisah indah Surah Yusuf, mematangkan minda umat mengurus konflik gaya mu’min. Oleh itu, pengarang-pengarang berdasarkan Teknik Surah Yusuf menulis untuk memberi sinar baru kepada mu’min yang lelah bertarung dengan dunia. Penulis gaya Surah Yusuf menonjolkan impian masa depan gemilang, terhadap watak utama dalam cerita, dan watak pembawa konflik agar mereka bekerjasama secara realitinya menghijrahkan dunia silam mereka kepada gaya hidup Islam.

Marilah, wahai penulis sekalian, kita tanamkan semangat baru dalam hidup para pembaca karya kita!

Teknik Surah Yusuf Wajar Jadi Mazhab Rasmi Penulis Fiksyen


Salam

Pada pagi tadi saya telah hadir ke Bengkel Menulis Mengikut Gaya & Teknik Surah Yusuf (advanced level) anjuran Sifu PTS, Puan Ainon Mohd, yang semakin popular meletup-letup itu, sejak berada di baris hadapan dalam perjuangan memansuhkan PPSMI. Senyum.

Sebagaimana hasil kajian Puan Ainon yang dibentangkan itu, Teknik sastera Aliran Surah Yusuf ini telahpun menjadi ‘mazhab rasmi’ gaya penulisan di bawah ‘syarikat bakal gergasi’, PTS. Amin!

Entri kali ini menyorot Teknik Penulisan Aliran Surah Yusuf yang saya boleh rumuskan sebagai, sangat tafsir sastera! Mengapa tafsir sastera? Mengikut pelopor tafsir sastera abad ke-20, iaitu Syed Qutb (melalui Tafsir Fi Zilalil Quran nya), kekuatan Al-Quran banyak terletak pada kekuatan sasteranya dan kekuatan bahasanya yang menggunakan bahasa Arab tinggi. Sehinggakan, mengikut ramai pengkaji Al-Quran dan para mufassir (pentafsir), kekuatan Al-Quran adalah pada ilmu bayannya. Boleh dikatakan, hampir kesemua jenis mukjizat Al-Quran (penemuan sains, balaghah, makna, susunan ayat dan macam-macam lagi) yang telah terlihat penemuannya hingga kini, bertitik-tolak daripada ilmu bayan.

Sebelum saya bermula, kalian boleh merujuk sebahagian besar maklumat mengenai Teknik Surah Yusuf ini sama ada di blog Puan Ainon sendiri atau di http://sasteraislami.blogspot.com

Baiklah. Mengapa Surah Yusuf? Mengapa tidak surah-surah lain?

Jawapannya (menggabungkan jawapan Puan Ainon dan jawapan yang saya kutip daripada kitab Surah Yusuf – Dirasah Tahliliah, Dr Ahmad Naufal):

1) Surah Yusuf satu-satunya surah cerita tentang Nabi Yusuf yang lengkap dan agak terperinci yang dimuatkan dalam satu surah. Maknanya, cerita-cerita tentang Nabi lain, kebanyakannya tidak terletak di dalam satu surah, bahkan banyak kisah nabi-nabi yang lain, hanya disentuh sedikit sahaja berkenaan nabi tersebut, dan bukan sebuah kisah perjalanan hidup yang lengkap!

2) Surah Yusuf adalah satu-satunya surah yang paling dekat menunjukkan ciri-ciri manhaj(cara,teknik) Al-Quran mengkisahkan apa-apa jua kisah. Kerana dalam kisah ini, watak-wataknya pelbagai, emosinya pelbagai, latar setting pelbagai dan babak peristiwanya berkembang.

3) Setiap babak di dalam kisah Nabi lain seperti kisah nabi Musa, boleh dibahagi-bahagikan mengikut episod. Mungkin kita boleh gambarkan sebagai episod drama bersiri. Contohnya Nabi Musa di Madyan, Nabi Musa dengan abid soleh dan lain-lain. Manakala, surah Yusuf boleh kita gambarkan sebagai filem, di mana kita tidak mungkin menjuzuk-juzukkan setiap babak di dalam kisahnya kepada satu episod. Inilah mukjizat Al-Quran yang menunjukkan bahawa Al-Quran bukan ditulis oleh Nabi Muhammad, tapi adalah kalam Allah!

4) Surah inilah satu-satunya surah yang dijamin Allah sebagai sebuah kisah yang indah, sebagaimana di dalam ayat ketiga surah ini, “Kami kisahkan kepadamu sebuah kisah yang terbaik.”

5) Gambaran dan perumpamaan yang terlukis di dalam surah ini tidak terdapat di dalam surah lain. Contohnya : Ahada Asyara (sebelas), Ghayabatil Jubb, Yarta’, Az-Zi’b (serigala), Qamisahu (bajunya), dan banyak lagi. Ada sesetengah perkataan, walaupun terdapat di dalam surah lain, namun konteks maknanya berbeza daripada yang di dalam surah Yusuf, seperti Al-Aziz, Al-Malik.

6) Kalau dibaca berulang kali, melodi ayat Al-Quran yang diperdengarkan sangat indah. Sangat berbeza berbanding surah-surah lain.

Masih banyak lagi yang perlu digali. Untuk kali ini, saya tulis setakat ini dahulu berkenaan muqaddimah Teknik Surah Yusuf. Insya-Allah, saya akan sambung dan cuba membantu Puan Ainon (kalau dikatakan membantu) memperkembang dan memperkemaskan lagi teknik ini. (Baru satu hari mendengar teknik ini sudah mahu melawan sifu….hehe..Geleng-geleng)

Untuk lebih menarik, mungkin Quran Syamil Harfi yang menggunakan terjemahan secara harfiah (ditulis maknanya di bawah perkataan Arabnya dapat membantu memahamkan lagi istilah dan makna yang digunakan di dalam ayat).  Buku-buku berkaitan Qasas Qurani juga wajar dirujuk bagi memahamkan kita tentang uniknya surah Yusuf yang kita kaji ini.

p/s: Saya masih lagi sedang maraton baca blog (baca : marcalog) Unika PTS. Sangat seronok!

%d bloggers like this: