Pesta Buku Negeri Sembilan : Mari Borong Buku Lagi!


Seremban Parade. Gambar diambil dari web allmalaysia.info

Seremban Parade. Gambar diambil dari web allmalaysia.info

Pesta Buku Negeri Sembilan 2009 akan diadakan seperti butiran di bawah :

Tempat : Seremban Parade, Seremban, Negeri Sembilan. Berdepan dengan Stesen Komuter, Seremban.

Tarikh : 27-31 Mei 2009.

Masa : 10 pagi sehingga 10 malam.

Untuk ke sana :

Kereta & Motor: Pandu sahajalah ke sana.

Bas : Ambil mana-mana bas pusing bandar di Terminal One yang akan lalu di hadapan Seremban Parade. Harga sekitar Rm1-Rm2 (tak pernah naik bas ini)

Teksi : Ambil mana-mana teksi untuk ke sana. Harga sekitar RM3-RM5.

Jalan kaki : Anda boleh berjalan kaki dari Terminal One ke Seremban Parade melalui pesisiran jalan. Atau gunakan denai pejalan kaki berhampiran kuarters KTM di hadapan Terminal One.

Komuter : Berhenti di stesen akhir laluan Seremban-Rawang di Komuter Seremban. Keluar stesen dan seberang jalan untuk ke Seremban Parade.

Antara yang menyertai, UjanaIlmu.com.my. Pastinya UjanaIlmu kali ini menjual buku secara offline! Dapatkan buku-buku edaran mereka pada pesta kali ini.

p/s : Pesanan ini dibawakan untuk anda oleh isteri CEO UjanaIlmu.Com.My, Puan Nisah Haron…Selamat membeli-belah!

Advertisements

Saya, Perpustakaan & Buku


Setelah penat berpusing-pusing kepala dalam timbunan buku-buku sempena peperiksaan, saya baru berpeluang untuk menulis di blog. Huhu…Tinggalkan kalian selama sebulan lagi…Terpaksa…Jadi, insya-Allah, akan ada beberapa catatan blog selama tertangguh ini…
Saya akan mulakan dengan artikel memori saya tentang buku, perpustakaan dan pustakawan…


Kutub Compact Version

SAYA, PERPUSTAKAAN & BUKU

Memorial Pustaka
Sejak kecil lagi, Abah biasakan kami untuk membaca. Rak buku di rumah memang tak banyak, tapi saya masa kecil sudah mula membaca gambar. Sampai sekarang masih teringat-ingat bau rak buku yang telah usang itu. Banyak buku tentang perubatan dan mekanikal yang menjadi santapan mata saya.

Boleh dikatakan selalu, pada hujung-hujung minggu, kami adik-beradik ‘dilepaskan’ menikmati secara bebas buku-buku di perpustakaan yang paling dekat dengan kami ketika itu, Perpustakaan Awam Selangor di Shah Alam. Saya sendiri sudah lupa buku apa yang kami pernah pinjam dan baca.

Musim yang agak menarik adalah musim jualan murah, jualan gudang dan Pesta Buku tahunan yang banyak terdapat di sekitar Subang, PJ dan Kuala Lumpur. Musim seperti inilah saya dan kakak-kakak berpeluang mengorek poket Abah membeli seberapa banyak buku yang kami mahu, dan Abah selalunya akan membelikan saya buku-buku ‘berbau’ lelaki, supaya saya menjadi lelaki sejati!

Pustakawan
Sejak sekolah rendah lagi, saya sering berkeinginan menjadi seorang pustakawan. Setiap sekolah saya masuki, saya cuba mengambil peluang untuk menjadi pustakawan. Namun, hajat itu cuma pernah tercapai dalam tempoh percubaan, ketika saya di Tingkatan 2.

Di sekolah rendah swasta kami, perpustakaan yang dibina hanyalah berupa sebuah bilik berukuran 7×8 meter persegi, yang disusun di dalamnya rak-rak yang tirus di atasnya dan lebar di bawahnya. Dan di bahagian bawah rak, ada ruang kosong yang memungkinkan kami, anak-anak sekolah bermain sorok-sorok di dalam rak buku!

Ketika waktu masuk ke perpustakaan tiba, saya dan kawan-kawan tidak melepaskan peluang mengambil buku-buku bacaan (terutamanya buku bergambar) di tepi rak, dan membacanya di bahagian bawah rak. Kebetulan, selalunya waktu perpustakaan adalah sebelum waktu rehat, dan bilik perpustakaan bersambung dengan pintu dewan makan. Jadi, kadangkala, kerana asyik membaca di ‘dalam rak’ kadangkala terlepas waktu makan, meskipun dewan makan bersebelahan saja. Buku-buku yang selalunya jadi rebutan adalah buku-buku penyiasatan Hardy Boys, Siri Penyiasat Salma, 5 Penyiasat dan macam-macam lagi. Kerana sekolah kami ketika itu adalah sekolah swasta, jadi, kerencaman buku-buku agak menyedihkan. Seingat saya, hanya ada 4 buah rak buku saja yang wujud ketika itu. Kalaulah dibandingkan dengan sekolah integrasi dan sekolah-sekolah moden hari ini….Mungkin anak-anak sekolah kini tidak tergambar bahawa mungkinkah wujudnya sekolah seperti itu…Persoalan yang sama, mungkin tergambar di minda bapa-bapa kita…:)

Ketika di Tingkatan 2, saya sempat menjadi pengawas perpustakaan percubaan. Tapi peluang menjadi pustakawan di sekolah swasta itu, dihancurpunahkan oleh ‘skandal-skandal’ penyalahgunaan perpustakaan sebagai tempat berdating adik angkat-kakak angkat, maka perpustakaan yang menjadi satu-satunya penghubung kehidupan di dunia luar itu ditutup! Saya turut terpalit tempias skandal yang sama (oh tak sangka…kenapa jahat betul saya ni?) dan akhirnya perpustakaan yang banyak sangat mengandungi buku-buku agama itu dipindahkan ke bangunan baru sekolah (sekolah dalam proses perpindahan bangunan baru) dan ditutup sehinggalah saya tamat PMR!

Di KISAS, saya cuba memohon jawatan pustakawan (tak malu sungguh, mohon jawatan). Malang lagi nasib saya, permohonan ditolak kerana saya masuk ke tingkatan 4 agak lewat, 3rd intake. Perpustakaan KISAS (PERKISAS) agak besar, dan mengandungi banyak buku agama. Buku kegemaran saya banyak terdapat di bahagian redspot (kawasan buku rujukan, tak boleh dipinjam). PERKISAS masih lagi menggunakan sistem Dewey ketika itu. Saya banyak mengambil manfaat dari PERKISAS setiap bulan apabila muncul majalah-majalah sastera atau yang mengandungi ruangan sastera. Saya akan pastikan saya memfotostat setiap ruang tersebut dan meminta pakcik Din (penjaga perpustakaan) menyimpannya setiap bulan. Pembacaan saya terhadap sastera banyak bermula di KISAS antara yang memberi bimbingan adalah Cikgu Noorhizan Yahaya (guru BM Ting5), Cikgu Talib Hamid (Munsyi Dewan), Cikgu Nooridah Ramlan (guru PA2 Ting6) dan Cikgu Siti Arpah Mohd Sabitah (Guru PA1 Ting6). Ketika di tingkatan 6, saya sudah mula rasa berpuas hati biarpun tidak menjadi pustakawan (ketua pelajar tidak dibenarkan menjadi pustakawan), tapi saya rapat dengan perpustakaan dan pustakawan. Kadangkala pada waktu dan hari pelajar biasa tidak dibenarkan masuk, saya dibenarkan masuk ke bilik rehat pakcik Din yang mengandungi majalah-majalah yang pelajar biasa tak dapat baca, atau buku-buku lain, sambil-sambil bersembang dengan pakcik Din dan minum kopi sejuk. Kroni! šŸ˜€

Buku Yang Pernah Saya Baca
Sebenarnya banyak buku pernah saya baca di rumah, sebab Ummi dan Abah wajib membelikan kami bahan bacaan baru setiap beberapa bulan. Tapi kebanyakannya saya sudah lupa tajuk dan penulisnya. Kadangkala, saya terbaca buku yang sama dua-tiga kali, kerana bahan bacaan baru sudah habis di rumah.

Kerana Ummi adalah guru sekolah menengah, guru bahasa Melayu, Sejarah dan yang berkaitan, maka banyaklah bahan bacaan tambahan untuk kami di rumah. Saya menghabiskan jenis-jenis novel remaja seperti Badai Semalam (Khadijah Hashim), novel kanak-kanak seperti Guruku, Ibuku Jua (Nazel Hashim Mohamed), Penunggu Tasik Ladam (Othman Puteh), novel dewasa seperti Ranjau Sepanjang Jalan (sudah lupa siapa penulisnya), Meniti Buih (lupa siapa penulisnya) dan berpuluh-puluh novel lain ketika di sekolah rendah dan menengah rendah. Sempat juga saya menjadi pemborong novel kanak-kanak dari penerbitan Kenari ketika di tingkatan 2, novel-novel nipis dan boleh dikatakan berkualiti.

Kerana Abah pula bekerja di MAS, setiap tahun ada saja tiket percuma ke luar negara. Saya ingat lagi tatkala pergi mengerjakan umrah, Abah membelikan saya buku-buku terbitan Ladybird, buku bertulis dan bergambar, lengkap dengan kaset-kasetnya, di dalam bahasa Arab! Kisahnya adalah kisah ‘biasa’ kanak-kanak, ya, cerita-cerita Aesop Fables, yang selalu sangat mewarnai dunia kanak-kanak negara terjajah oleh British dan Amerika, namun, yang menariknya, adalah buku itu boleh dibaca sambil mendengar ceritanya. Kerana saya ketika itu tidak terlalu minat membaca buku berbahasa Arab, maka saya cuma membaca gambarnya saja!

Tapi saya turut terkesan dengan fenomena komik Jepun yang melanda Malaysia pada awal 1990-an sehingga setiap bulan ada saja komik yang dibeli. Lebih mujur saya tak terpengaruh dengan komik Hong Kong yang strok lukisannya lebih lawa, kerana komik Hong Kong lebih mahal dan lebih panjang jalan ceritanya. Untuk ibu bapa, janganlah benarkan anak-anak anda membaca komik terjemahan, kerana bahasa melayunya sangat teruk!

Ketika di tingkatan 4 dan 5, saya lebih gemar mengadap dan membaca buku di atas katil sambil berbaring, selepas solat Asar dan mendengar tazkirah di musolla sementara sahabat-sahabat yang lain sibuk beriadah dan bersukan. Saya tergolong dalam kategori ‘mandom’ sejak darjah 6 lagi selepas melakukan pembedahan kecil. Selepas pembedahan itu, rasa terlalu malas pula untuk bersukan, namun begitu saya tidak pernah lebih berat badan. Di atas katil itulah saya berkenalan dengan buku-buku agama berbahasa Melayu yang Abah dan Ummi punyai, saya bawa ke asrama, dan menghadamkannya. Saya berkenalan dengan buku Halal & Haram dalam Islam oleh Dr Yusuf Qaradawi di atas katil bilik LA 102!

Pertama kali saya membeli kitab berbahasa Arab, yang boleh dipanggil kitab, ketika musim umrah tingkatan 4. Kitab pertama saya beli adalah kitab koleksi Hadith-hadith Qudsi, senipis komik Jepun bulanan, dan berharga 8 Riyal Saudi. Ia adalah satu motivasi yang mematangkan, kerana kesannya, walaupun saya tidak ke Madinah, tapi akhirnya saya ke Jordan. Selepas menjejakkan kaki di Jordan, saya terus jatuh cinta untuk mengumpul kitab agama berbahasa Arab pula. Alhamdulillah…

Prestasi Bacaan
Biasa sahaja sebenarnya. Cuma kadangkala, satu novel satu malam sempat mengkhatamkannya. Untuk buku agama berbahasa Melayu, sama tahap kelajuan membacanya dengan novel biasa. Manakala kitab berbahasa Arab, hanya 10 mukasurat satu jam. Saya sudah cuba menggandakannya lagi, namun tidak berjaya.

Walaupun saya banyak membaca, namun, tahap pembacaan saya tidak melayakkan saya menjadi tokoh nilam di mana-mana peringkatpun! Bahkan prestasi bacaan saya agak menurun selepas terkena penyakit komik. Ghairah untuk membaca bahan ilmiyah atau bahan sastera juga agak berkurangan. Mujur, tinggal di Jordan mengurangkan sedikit pembacaan komik kerana saya perlu membaca kitab-kitab lain yang lebih banyak. Doakan saya dapat membaca apa yang pernah saya beli dan saya simpan…

Zaman Yang Beredar

Daripada buku bergambar ke buku novel kanak-kanak ke buku novel dewasa, terus ke buku-buku agama, dan terjatuh pada pangkuan komik, bangkit lagi membaca kitab berbahasa Arab pula dan kini, saya jatuh cinta pula dengan e-kitab. Zaman berubah dan semakin banyak laman yang menyediakan kitab elektronik. Satu penjimatan yang sangat diperlukan ketika kitab kini semakin naik harganya dan semakin susah diperolehi. Kerana adalah sangat penting mempunyai maktabah sendiri, dalam pelbagai jurusan ilmu, tapi dalam keadaan kurang mampu, e-kitab adalah alternatif terbaik. Saya pula terpaksa memilih untuk mengumpul kitab berbahasa Arab kerana di dalam keluarga besar saya, tidak ada yang memilih pengajian Islam. Jadi mahu tidak mahu, saya perlu mengorbankan sebahagian besar wang bulanan saya untuk kitab, kalau tidak, saya tiada bahan untuk menambah ilmu nantinya.

Saya dalam proses memuatturun ribuan kitab elektronik dari beberapa lawan sawang yang ada. Selepas itu, barulah saya puas hati dan kegilaan mengumpul kitab akan berkurangan sementelah saya perlu tumpukan bagaimana untuk saya hantar pulang segala-galanya yang saya kumpul selama bertahun-tahun itu. Oh!

Saya, Perpustakaan & Buku Akan Datang
Saya mengimpikan membina maktabah sendiri. Alhamdulillah Allah perkenankan impian itu di Jordan. Saya impikan untuk menjadi pembekal kitab atau buku. Insya-Allah, sedikit masa lagi Allah akan kabulkan, saya adalah pengurus menanti untuk kedai-kedai Abah!

Maktabahku...Kitab di rak tak pernah kurang, tapi ilmu di dada makin berkurang.

Saya pernah impikan untuk menjadi pembekal kitab berbahasa Arab bagi para pencinta ilmu di Malaysia, kerana kitab arab selepas dieksport ke Malaysia akan bertukar harganya menjadi berkali-kali ganda, dan ia adalah satu kemalangan yang agak ketara. Contoh yang selalu saya ambil, kitab Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-Asqalani, cetakan berkualiti dan terbaik hanya sekitar 45JD (RM225+-) dan cetakan yang sama saya temui di UIA berharga RM1000++! Tidak berbaloi untuk mencicip kitab di Malaysia dan saya yakin ramai yang mengakui perkara tersebut. Dan kiranya Allah izinkan saya menjadi pembekal kitab, insya-Allah, saya sudah mempunyai beberapa perancangan ke arah itu.

Saya juga impikan untuk membina sebuah maktabah elektronik atau digital. Mungkin di dalamnya lebih banyak CD, DVD, kaset daripada buku, atau mungkin hanya sebuah komputer, tapi lautan ilmu di dalamnya lebih luas. Sebahagian impian itu juga Allah sudah kabulkan. Mungkin dalam masa 10 tahun akan datang, saya dapat membina sebuah perpustakaan awam milik persendirian yang menjadi pusat rujukan ilmiah komuniti universiti.

Impian dan panjang angan-angan adalah kelemahan manusia yang lupa bahawa hayatnya cuma sebentar saja! Adeh…

Buntu-buntu Awal Mei


Assalamualaikum…

Maafkan saya meninggalkan kalian tanpa entri baru dalam hampir sebulan, atau dah sebulan tepat pun. Saya dikejar buru-buru buntu peperiksaan dan projek bahas (tesis subjek) serta kerja-kerja rumah yang agak banyak. Baru saja usai peperiksaan pertengahan semester akhir bulan 4, awal bulan 5 ini sudah digertak buntu-buntu peperiksaan kedua (sepatutnya tiada, tapi ramai doktor yang suka adakan juga) yang mini berbanding peperiksaan pertengahan semester. 4 tesis subjek juga perlu dihantar. Lelah juga saya dikejar tarikh matinya. Belum dicampur 2 tawaran menulis lagi yang juga perlu diselesaikan pada akhir Mei.

Imtihan

Imtihan kalau mengikut mafhum dalam kamus Arab, adalah perbuatan membakar logam sehingga cair demi membuang sisa-sisa bukan logam padanya. Justeru, bila imtihan yang dilakukan berulangkali, akan menambah nilaiĀ  sesuatu logam itu, padu atau tidak. Seperti emas, dibakar beberapa kali hingga akhirnya membentuk logam emas yang padu, betul-betul tinggi nilainya.

Perkara imtihan ini disebut oleh Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 3, yang mana Allah menyatakan bahawa orang-orang beriman yang diuji dengan arahan Allah dan Rasul, merekalah orang yang diuji hati mereka agar menjadi bertaqwa, supaya mereka mendapat pahala dan keampunan yang besar.

Apabila direnung-renungkan kembali, mungkin imtihan perlu dilakukan beberapa kali, agar kefahaman terhadap sesuatu ilmu itu menjadi lebih mantap, dan kekal utuh di minda dan di jiwa setelah menjadi amalan. Peri pentingnya memahami sesuatu ilmu itu setelah belajar, apatah lagi ilmu agama, adalah kerana ilmu agama itulah yang harus diajarkan kepada masyarakat nantinya. Justeru, bagaimanalah kalau ilmu yang dipelajari tidak difahami dengan baik dan utuh malah disalahfahami pula?

Tesis

Tesis subjek adalah satu projek akhir semester yang saya suka buat. Cumanya, akhir-akhir ini baru saya dapat peluang untuk membuatnya. Tidak terlalu susah, cuma perlukan sedikit ketekunan dan kerajinan untuk menyusun, menganalisa dan menaip dengan cermat. Kalau malas, mungkin boleh tulis tangan. Cuma, keburukannya ialah, apabila tulisan tangan tidak dapat diedit sekiranya tersilap. Saya tidak mahu kertas tesis dipenuhi comotan liquid paper. Dalam kepeningan demi 4 buah kecermatan, dapatlah saya membikin tajuk kitab yang menarik. šŸ™‚ Saya kongsikan di bawah:

  • Tuhfatul Banin Fi Ma’rifah Pala Penin (tak tahu nak terjemah cemana)
  • Majma’ul Badrain Tamyizan Baina Suda’ Wal Migrain (Kumpulan bulan, pembeza pening kepala & migrain)
  • Raudhul Murabba’ Syarah Perut Lapar Murtabak (taman 4 segi, syarahan buat perut lapar murtabak)
  • I’anatud Darisin Li Man Kuat Bersin (bantuan pelajar bagi mereka yang kuat bersin)
  • Mafatihul Hasanat Fi Jasad Yang Penat (Kunci-kunci kebaikan bagi jasad yang penat)
  • Ittila’ul Budur Mukhtasar Kelip-Kelap Mata Nak Tidur (Kemunculan bulan-bulan, ringkasan mata terkelip-kelip mahu tidur)

Seronok pula bikin tajuk kitab. Ulama’-ulama’ zaman kurun ke-6 Hijrah ke atas, ketika zaman kemunduran fiqh, banyak membikin syarah dan mukhtasar kitab mazhab. Jadi, pada masa itulah muncul banyak tajuk kitab yang berbunyi seolah-olah bersajak. Atau bermetafora. Teman-teman serumah pula, ada yang acap kali bikin tajuk kitab sambil bersembang atau makan-makan. Cita-cita mereka hebat! Ada yang ingin tulis kitab Tafsir dalam ISA, ada yang mahu bikin kitab radd kitab kawan yang lagi satu dan macam-macam lagi. Moga cita-cita mereka tersalur pada realiti, dan hakiki, bukan sekadar sembang-sembang kala mengadap rezeki!

Karya

Seharusnya saya fokuskan sedikit masa saya untuk karya. Tapi akhir-akhir ini tak berkesempatan langsung. Saya sedang ubah jadual hidup saya agak bertepatan dengan masa sebagai hamba, pelajar, anak dan pembawa Quran. Agak susah bila kadangkala tak sempat buat semua sekali. Tapi saya mohon Allah susun jadual hidup saya agar lebih berkemampuan membuat semua perkara yang sepatutnya saya buat dalam usia yang telah melebihi suku abad ini. Han Ri jemput saya menyertai komik di Mesir. Saya ada bikin sajaknya, cuma belum ada follow up daripada Han Ri sendiri. Fahd Razy pula jemput saya menyertai Antologi 50 Penulis untuk GKLN. Insya-Allah saya akan hantarkan karya sedikit masa lagi. Dan, Ustazah Ummu Hani (yang telah buka kedai buku baru-baru ini di Tesco , Mergong,Ā  Kedah), juga belum respon tentangĀ  karya cerpenĀ  untuk antologiĀ  Jabatan Dakwahnya.

Saya berhasrat, dalam separuh tahun yang kedua ini, untuk menembusi media perdana. Tak dapat cerpen, dapat sajak pun sudah cukup berbaloi. Hasrat itu saya perlu tukar jadi azam. Saya tidak mahu menulis kerana antologi sahaja, dan tidak mahu menulis bermusim. Biarkan saya jadi penulis kerana ingin menulis dan kerana Allah. Hasrat kedua, saya ingin menterjemahkan beberapa buah buku kecil sebagai panduan mereka yang ingin mendekati Quran sebelum saya pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, saya telah jumpa beberapa buah buku kecil, yang sangat sesuai dibaca oleh khalayak. Tidak kira jika ia diterbitkan secara bercetak atau tidak nanti selepas siap terjemahan, yang penting saya mahu isi buku ini sampai kepada khalayak. Saya cemburu pada Said M. Jamaluddin yang sudahpun berjaya menerbitkan beberapa buku ilmiah, di Malaysia dan di sini, meskipun beliau sering diburu kesibukan. Sudah sampai masanya pelajar-pelajar Jordan, menulis buku dengan lebih giat lagi. PMRAM juga sudah lama menawarkan kesudian mereka untuk mencetak buku-buku tulisan pelajar Jordan, sekiranya kewangan dan kos percetakan yang membebankan yang menjadi masalah. Cuma, keazaman untuk menulis yang perlu disemai dan disematkan di minda, hati juga tangan. Insya-Allah, jika niat kita menulis kerana Allah, Allah akan gantikan kesukaran dan kepayahan kita menulis dengan ganjaran yang tidak putus-putus apabila buku kita dibaca dan diamalkan.

Kita harus cemburu dengan ulama silam. Stamina mereka menulis kitab mengkagumkan. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah menulis kitab setebal beberapa ratus muka surat, dalam satu malam sahaja. Imam At-Tabari, menulis kitabnya dalam masa 7 tahun, untuk kitab setebal 30 jilid, lengkap dengan dalil-dalil naqli (Sunnah, Athar Sahabat & Tabiin), dalil aqli (perbandingan pendapat dan pemilihan pendapat terbaik berdasarkan dalil naqli dan sumber-sumber lain seperti bahasa Arab, ijma’ dan qiyas) sehingga menjadi kitab tafsir induk yang paling lengkap dan ulung (walaupun ada beberapa kekurangan seperti riwayat Israiliyyat dan Syi’iyyat, tapi kekurangan itu ditampung olehĀ  sanad-sanad yang turut ditulis bersama, dengan ini, Imam Tabari terlepas daripada menanggung kesalahan pembawa riwayat). Dan ramai lagi ulama yang hebat hatta di zaman kita ini. Bila lagi kita mahu turuti jejak para ulama’?

KARISMA

Kerana tesis dan sakit yang tidak dapat dimaklumkan, saya terpaksa mengundur diri daripada menjadi ahli pasukan tarik tali untuk Amman. Alhamdulillah, dalam sekian banyak pertandingan yang dipertandingkan, cuma 5 acara sahaja yang Amman sempat wakili dan 3 daripadanya memenangi pingat. 1 emas (tarik tali), 1 perak( Pidato BA oleh Adik Syahirah, anak us Mujahid) & 1 gangsa (pingpong Us Mujahid). Alhamdulillah, kemenangan yang tak dijangka.Ā  Bola sepak juga mendapat kedudukan yang agak tinggi berbanding tahun-tahun sudah. Semoga semangat yang ditunjukkan berkekalan sampai tahun-tahun akan datang.

Kitab

Saya sedang gila kitab sekarang ini. Minggu lepas, memborong kitab syeikh Abu Faris, Dr Fadhal, Syeikh Solah dan Dr Yusuf Qaradhawi di samping kitab-kitab lain. Minggu ini, saya teruskan kegilaan itu dengan memborong pinjam buku-buku Dr Yusuf Qaradhawi di perpustakaan jamiah, setiap kali pinjam 4 buah. Dan saya keluar fotostat kitab-kitab yang jarang dan sangat susah didapati di pasaran itu. Inilah antara sebab mengapa saya terpaksa pinjam. Kalau ada di pasaran, memang saya sanggup beli walaupun mahal. Setakat ini, sudah 60% kitab syeikh yang berjaya saya kumpul. Insya-Allah, seminggu lagi saya akan habiskan koleksi ini, selepas itu saya akan tumpukan pada kitab Anwar Jundi dan Syeikh Abu Hassan Ali An-Nadwi. Sambil-sambil baca buku untuk imtihan, seronok juga baca buku untuk kefahaman Islam. Semoga ilmu yang dibaca dapat diterapkan dalam amalan. Insya-Allah…

%d bloggers like this: