Tips Apabila Handphone Terkena Air


Air adalah musuh utama handphone. Setakat ini, tidak banyak handphone yang mempunyai ciri kalis air. Menurut Tuan Ahmad Zailani, mentor saya, hanya 20 peratus sahaja handphone yang dimasuki air dapat dibaiki semula. Kebanyakan handphone yang dihantar ke kedai untuk dibaiki, tidak lagi boleh diselamatkan.

Hal ini mungkin disebabkan kekurangan pengetahuan oleh pengguna mengenai cara menghadapinya, dan kerosakan handphone yang dimasuki air adalah rumit untuk dibaiki. Justeru, apabila handphone kita terkena air atau jatuh ke dalam apa-apa jenis cecair, apa yang perlu kita lakukan?

  1. Segera cabut bateri dan punca kuasa handphone. Tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa handphone kita. Setiap saat begitu berharga. Setiap titis air yang terkena pada jalur litar boleh menyebabkan litar pintas dan kerosakan. Semakin lama arus elektrik mengalir, semakin banyak kawasan yang rosak. Jangan sekali-kali membuka suis handphone sebelum air itu kering sepenuhnya. Sekiranya handphone kita terpadam sendiri selepas terkena air, itu bermakna, kerosakan yang berlaku sukar dipulihkan.

  2. Pastikan betul-betul keadaan handphone kita sama ada air termasuk ke dalam kawasan papan litar atau tidak. Sekiranya kita tidak dapat memastikannya, kerana kekurangan peralatan, dapatkan bantuan juruteknik.

  3. Apabila handphone terkena cecair selain air biasa, kita boleh gunakan thinner dan berus untuk mencuci kawasan yang kotor. Elakkan thinner terkena pada LCD dan bahagian handphone yang diperbuat daripada plastik. Selepas itu barulah dikeringkan dengan wap panas.

  4. Kita juga boleh mengeringkan handphone kita sendiri. Buka housing handphone sepenuhnya dan keringkannya dengan menggunakan pengering rambut. Tujukan juga wap panas tersebut ke bahagian bawah cip di papan litar. Banyak kes terjadi apabila air terperangkap di bawah cip, dan kita tidak mengesannya, apabila handphone dibuka suisnya, cip itu menjadi rosak.
  5. Handphone juga boleh dikeringkan dengan memasukkan gel silika (silica gel) ke dalam bekas kedap udara, dan dibiarkan semalaman. Handphone perlu dikeringkan sekitar 1 hingga 3 hari dalam persekitaran kering supaya semua partikel cecair dapat kering dengan sempurna.

Handphone yang dimasuki air, lazimnya akan rosak juga selepas beberapa lama. Handphone tersebut mungkin akan mati selama-lamanya, setelah melalui beberapa tempoh waktu. Ini disebabkan partikel cecair yang telah merosakkan sebahagian komponen, akan ‘memakan’ komponen-komponen lain sedikit demi sedikit. Oleh itu, saudara perlu bersedia apabila handphone itu rosak kelak.

Advertisements

Urdun Yang Ditinggalkan


Salam sejahtera.
Memo ini kucatatkan sebagai mencarik tabir setahun lalu yang kualaskan permaidani rumah yang terpaksa kutinggalkan demi sesuap ilmu.

Alhamdulillah…

Setelah hampir setahun, barulah saya dapat kembali menulis di sini. Terlalu banyak perkara yang telahpun berlaku sepanjang setahun. Alhamdulillah. Saya telah tamat pengajian di Jordan sekitar musim panas 2008 lalu, dan kini telah selamat menjadi usahawan bebas (lebih kurang macam penceramah bebas jugalah), membuka rangkaian kedai perkhidmatan dan peruncitan di Nilai, Negeri Sembilan. Telah hampir 5 bulan saya pulang. Dan alhamdulillah, rezeki perancangan Allah yang Maha Sempurna, saya dapat mencapai sebahagian impian saya selama ini.

Kedai apa yang saya (dan kami, ahli keluarga saya)usahakan?
1) Kedai runcit diberi nama Shabab Shoppe. Kedai ini dibuka pada awal Januari 2009.

2) Kedai perkhidmatan serbaneka : Batik, songket, busana muslim/ah(t-shirt, tudung, jubah, stokin kaki/lengan dll), perkhidmatan membaiki telefon bimbit/komputer dan aksesorinya, perkhidmatan dobi, menggambar foto pasport, perkhidmatan tambah nilai telefon bimbit,menjual buku ilmiah, cd kaset agama dan lain-lain. Diberi nama Shabab Variety Services. Kedai ini telah berusia lebih setahun.

3) Kedai Dobi yang diberi nama Dobi Shabab Jati. Kedai ini juga hampir setahun usianya.

4) Kerjasama dengan syarikat Simple.Com membuka kios runcit di Pusat Komuniti Pelajar USIM, Nilai. Seminggu selepas membuka kedai runcit, kami mendapat tawaran ini.

Apa jadi dengan penulisan?

Benar kata Kak Nisah Haron, apabila berniaga, masa menulis banyak dicuri ke arah perniagaan. Setakat ini, saya baru selesai mengikuti beberapa bengkel. Salah satunya Bengkel Penulis Bebas, yang dikendalikan oleh Penulis Bebas Prolifik, sahabat ‘hampir ketat’ saya, Tuan Zamri Mohamad. Benar penulis tidak lahir daripada bengkel. Tapi penulisan yang lahir selepas penulis dibengkelkan.

Jadi, sekarang ini, masih mengejar dan mencuri masa sendiri untuk menulis. Oh!

Telefon Bimbit

Saya sempat mengikuti beberapa siri bengkel membaiki telefon bimbit. Alhamdulillah, Allah temukan dengan seorang tenaga pengajar yang sangat baik, tidak lokek ilmu, bantuan sepanjang masa, murah yurannya dan cepat dapat ilmunya. Kini saya boleh membaiki telefon bimbit!

Apa relevannya seorang graduan Fakulti Syariah Jurusan Usuluddin membaiki telefon bimbit?

Menjadi usahawan telefon bimbit dan telekomunikasi, adalah satu kerjaya yang mengasyikkan, bukan kerana kerjaya ruwet membaiki masalah-masalah telefon itu sendiri, tapi lebih kepada kepuasan menambah nilai ilmu diri, dan membantu memperbaik komunikasi dengan manusia. Kata hukamak : “Kalau mahu hubungan dengan manusia elok, maka perelokkkanlah hubungan kita dengan Allah.” Itulah yang saya rasa. Segala yang kita perbuat, dalam kerjaya, amat berkait rapat dengan ibadah. 🙂 Di situlah letaknya nilai kerjaya berdasarkan minat. Doakan kami menjadi usahawan yang bertaqwa…Fuh..Susah tu… Lagipun, apabila kita berkerjaya memperbaiki komunikasi manusia dengan manusia, secara tidak langsung, kita terdidik memperbaiki komunikasi kita dengan Allah.  Komunikasi telefon bimbit hari ini telah banyak terseleweng dan tersekular. Tugas kamilah yang sedar untuk memperislamkan kembali teknologi.

Lebih relevan lagi, apabila teknologi telekomunikasi hari ini terlalu disalahgunakan oleh masyarakat. Maka, kita perlu usahawan-usahawan telekomunikasi yang lebih proaktif dakwah dan bernilai murni agar dapat mencegah penyakit salahguna telefon bimbit daripada berleluasa. Terlalu banyak pula senarai penyakit untuk disebut, memadailah merujuk akhbar harian..:)

Saya tidak pernah termimpi untuk menjadi juruteknik telefon bimbit, tapi ini adalah impian baru dalam hidup…Lebih puas lagi, dapat menjadi agen menjual peralatan telefon bimbit dan gajet Al-Quran yang semakin popular dewasa ini. Rujuk Harakah untuk iklan telefon bimbit Al-Quran.

Akan datang…Bagaimana?

Akan datang, saya ingin menikah!

%d bloggers like this: